Monday, November 27, 2017

NAFAS DIGESA KENALPASTI PRODUK MAKANAN UNTUK TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digesa mengenal pasti produk-produk agro makanan dan pertanian yang boleh dijadikan sebagai produk juara untuk menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi lambang kebanggaan petani di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika negara-negara Eropah boleh berbangga dengan produk pertanian mereka seperti buah epal dan anggur, Malaysia juga perlu menghasilkan produk pertaniannya untuk bersaing di pentas antarabangsa.

"Mungkin kalau beras kita tidak dapat menandingi negara-negara pengeluar lain seperti Thailand yang menghasilkan begitu banyak hasil dan berkualiti, jadi pasti ada produk atau hasil pertanian lain yang boleh kita fikirkan bersama."

"Saya percaya Nafas boleh melakukannya, kita boleh fikirkan bersama bagaimana untuk mencari idea ini dan mengembangkannya termasuk trend penggunaan perniagaan dalam talian yang boleh menggerakkan keupayaan produk kita itu nanti," katanya semasa berucap pada majlis makan malam dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Nafas ke-44 di sini malam ini.

Ahmad Shabery berkata langkah itu bagi meningkatkan keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import.

Katanya ia juga bagi mengimbangi perdagangan negara dalam sektor makanan dan produk pertanian dengan ketika ini nilai import negara terlalu tinggi berbanding nilai eksport, sekali gus memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Majlis itu turut menampilkan seorang penyanyi Indonesia, Jamal Mirdad dan dua orang penyanyi tempatan, Ayda Jebat dan Anuar Zain.

No comments:

Post a Comment