KEMAMAN: Dua hari lepas sahabat baik saya, Khalid Awang, bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman call saya tanya bila saya nak balik ke Kemaman. Saya jawab belum pasti. Sepatutnya pagi semalam saya balik ke Kemaman tapi tak jadi apabila saya last minute ada temujanji dengan Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas pada petang semalam.
Kalau Kayveas tak jadi jumpa saya semalam, sempat saya temui Khalid Awang pagi ini. Biasanya kami selalu minum bersama dengan bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Kemaman (1995-1998) Yusof Jaafar dan Che Wan Zamri Che Wan Sulaiman.
Pagi tadi Che Wan Zamri call Khalid ajak minum di Chukai. Biasanya Che Wan Zamri ambilnya di rumahnya di Pantai Kijal dan bawanya ke Chukai. Tapi pagi ini Khalid kata dia nak bawa sendiri keretanya ke Chukai.
Saya difahamkan dalam perjalanan balik ke Kijal bersama isterinya tiba tiba beliau diserang sakit jantung ketika sedang memandu kereta dan kereta terbabas ke tepi jalan di Chukai Utama. Beliau disahkan meninggal dunia di dalam kereta tersebut.
Begitulah perjalanan akhir sahabat baik saya, Khalid Awang yang saya kenali pada tahun 1995 kira kira 22 tahun lalu ketika sama sama bertanding ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman pada tahun tersebut.
Khalid yang juga ketua pemuda Umno Cawangan Padang Kemunting bawa nama saya kepada para perwakilan Kijal. Saya menang dalam pertandingan tersebut menduduki tempat ketujuh dengan undi yang sama banyak (72 undi) dengan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (kini Datuk). Arwah tak silap saya dapat undi kelima tertinggi.
Sejak itu kami berkawan. Ketika kami ke Switzerland pada tahun 1997, saya sempat bergambar dengan arwah, Haji Mustafa Abdul Rahman (kini Datuk), Haji Azmi Karim dan Suhaimi Hassan. Minggu lepas saya temui gambar itu dalam handphone saya yang baru diformat semula.
Setiap kali saya balik ke Kemaman saya akan berkunjung ke rumahnya di Pondok Limau atau di Pantai Kijal. Dia rajin call saya sejak akhir akhir ini mengenang kembali perjuangan kami dalam pemuda dari tahun 1995 hingga 1998.
Malah jika beliau datang ke Kuala Lumpur saya pergi temuinya di hotel beliau menginap. Paling lucu lima bulan lepas kami ingin makan ikan singgang di Medan Tuanku dan kami naik monorel dari stesen Titiwangsa ke stesen Medan Tuanku. Saya sudah masuk ke dalam monorel tetapi arwah bersama Che Wan Zamri tertinggal di belakang apabila monorel terus bergerak. Maka saya terpaksa turun semula di stesen Chow Kit dan patah balik ke stesen Titiwangsa untuk mengambil mereka berdua kerana ketika itu handphone saya sudah kehabisan bateri.
Khalid bukan tokoh besar dalam politik Kemaman tetapi percakapan beliau amat ditakuti oleh ramai pemimpin Bahagian kerana beliau suka cakap berterus terang. Sebab itu beliau kurang disenangi oleh pemimpin Bahagian. Malah beliau pernah menyuruh saya menulis buku "Penyu Menangis Di Teluk Kalung" yang tidak sempat diterbitkan. Hari ini beliau sudah meninggalkan kita semua. Saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah buat Khalid Awang.
No comments:
Post a Comment