Wednesday, November 1, 2017

DOKTOR MATI KERACUNAN MAKANAN

KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Bernama) -- Seorang doktor perubatan ditemui mati dipercayai akibat keracunan makanan di bilik sewanya di Kampung Nyiur Sepohon, Kuala Terengganu malam semalam.

Mayat Dr Mohd Muaz Mohd Sabri, 29, dijumpai pada pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil setelah pintu bilik sewanya berjaya dibuka oleh anak pemilik bilik sewa berkenaan yang hairan Allahyarham tidak keluar rumah sejak beberapa hari

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar berkata Allahyarham yang mula berkhidmat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Disember 2013 dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lepas.

Katanya Allahyarham dan tunangnya yang juga doktor di hospital sama sebelum ini terkena keracunan makanan selepas makanan yang dibeli di pasar malam Kuala Ibai, di sini tercemar.

Dr Mohammad Omar berkata tunang Allahyarham ditahan di wad beberapa hari untuk rawatan lanjut, bagaimanapun Allahyarham enggan ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebaliknya ingin berehat dan tidak kelihatan keluar dari bilik sewanya sejak dari hari itu.

Beliau berkata bedah siasat sudah dijalankan dan dimaklumkan tiada sebarang unsur jenayah, bagaimanapun punca kematian akan mengambil sedikit masa untuk dikesan.

No comments:

Post a Comment