Monday, November 13, 2017

SOKONGAN PENGUNDI INDIA DI TERENGGANU MENINGKAT

KEMAMAN, 13 Nov (Bernama) -- Sokongan masyarakat India di Terengganu kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan peningkatan mendadak berbanding ketika Pilihan Raya Uumum ke-13 (PRU13) yang lalu, kata Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata peningkatan sokongan itu adalah hasil kerja kuat parti MIC selama ini yang tidak henti-henti mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat India di negeri itu.

"Sebelum ini, masyarakat India di Terengganu juga terpengaruh dengan pelbagai perkara yang tidak benar yang disebarkan melalui media sosial.

"Tetapi dengan kesungguhan...gerakan penerangan yang dibuat, masyarakat India di sini mula faham apa sebenarnya yang berlaku dan saya berkeyakinan penuh bahawa BN akan terus dapat mengekalkan kuasa di peringkat pusat dan Terengganu dengan majoriti dua pertiga," katanya.

Ahmad Razif, yang juga Menteri Besar, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian wang dana khas Deepavali kepada 140 penerima di Lembah Jabor, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi MIC Terengganu, Dr Dayal Krishnan dan Ketua MIC Bahagian Kemaman, S Siva Kumar.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menyalurkan sebanyak RM89,000 wang dana khas Deepavali kepada 244 penduduk kaum India termasuk ketua keluarga, ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan terus membantu masyarakat India di negeri itu sama seperti rakyat lain tanpa mengira agama dan bangsa.

"Walaupun mereka golongan minoriti di Terengganu, kerajaan negeri akan terus bantu terutama dari tiga aspek yang menjadi fokus utama ketika ini iaitu menangani peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan perumahan,"katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment