Thursday, March 29, 2018

UNIT KHAS UNTUK SELESAIKAN BUDAYA SABOTAJ CALON

KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- UMNO Bahagian Kuala Terengganu menubuhkan satu unit khas di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu bagi memastikan tiada budaya sabotaj atau pengkhianatan (peteh keting) terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata ini kerana isu peteh keting dalam kalangan anggota UMNO pada PRU lepas, dikenal pasti antara punca Parlimen Kuala Terengganu jatuh ke tangan pembangkang.

"Justeru, unit ini yang terdiri dalam kalangan jentera parti, ditubuhkan khusus bagi memantau sebarang pengkhianatan atau sabotaj terhadap calon BN yang dilakukan anggota UMNO sendiri, tidak berulang pada PRU kali ini.

"Seperti pada PRU lepas, kita mendapat maklum balas ada calon diboikot secara senyap-senyap apabila pengundi dihasut supaya jangan undi calon dipilih dan akhirnya kita kalah.

"Bukan itu sahaja, selepas PRU pihak didapati melakukan sabotaj itu tidak dikenakan sebarang tindakan malah tetap menikmati manfaat apa yang UMNO berikan (kepada anggota parti)," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama J3K Parlimen Kuala Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata unit itu yang identiti mereka dirahsiakan, akan digerakkan sebaik sahaja calon BN bagi Parlimen kawasan berkenaan diumumkan pucuk pimpinan parti.

Mereka juga bakal diberikan pelbagai peralatan seperti alat perakam video bagi memastikan bukti pengkhianatan yang dilakukan dapat dirakam, katanya.

"Ia juga sebagai satu amaran dan peringatan kepada pihak yang cuba menjatuhkan calon-calon yang dipilih di mana tindakan tegas dikenakan terhadap mereka jika didapati bersalah daripada bukti yang kita dapat.

"Jika mereka tidak mahu sokong BN dan UMNO tidak perlu berada dalam parti. Kita, parti yang mengikut kata ketua. Jika ketua dah umumkan calon, kita kena sokong sebab parti, bukan sebab individu, sebab kita nak menangkan parti," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment