Thursday, March 8, 2018

47 SEKOLAH ADA STPM TERIMA RM5,000


KUALA NERUS, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menyumbang RM5,000 masing-masing kepada 47 sekolah yang mempunyai pelajar Tingkatan Enam di negeri ini bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri juga memberi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan peruntukan RM4 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi tujuan sama.

"Kerajaan negeri membuat pelaburan besar terhadap pendidikan kerana menyedari modal insan adalah sangat penting...kerajaan negeri mahu menyediakan lebih banyak peruntukan bagi memastikan kejayaan lebih besar diraih pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anuerah Kecemerlangan Pelajar STPM negeri Terengganu 2017 dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di sini. Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin.

Pada majlis itu, seramai 100 pelajar cemerlang STPM 2017 masing-masing menerima sebuah komputer riba dan tablet serta wang tunai RM500 selain RM1,500 lagi apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat unviersiti.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri kecewa dengan pihak yang menyebarkan berita negatif terhadap pemberian bantuan 'one off' sebanyak RM1,500 kepada imam dan bilal di negeri ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 baru-baru ini.

"Memang tidak patut dan tidak wajar perkara itu dilakukan. Dalam soal ini, janganlah dilakukan kerana ia memberi pandangan tidak baik kepada imam dan bilal.

"Saya telah menasihatkan Pejabat Hal Ewah Agama Terngganu (JHEAT) untuk ambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment