CHUKAI: Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata BN mesti menang di DUN Chukai jika mahu kerajaan mengangkat daerah Kemaman sebagai daerah yang terhebat di Terengganu.
Katanya, Kemaman pernah jadi fixed deposit BN Terengganu kini tercemar apabila DUN Chukai tewas pada PRU lalu sedangkan tiga DUN lain, Kemasik, Kijal dan Air Putih kekal di tangan BN.
Sehubungan dengan itu beliau minta pengundi Cina sebagai penentu kemenangan DUN Chukai kembali menyokong BN.
"Saya mahu semua pengundi Cina kembali menyokong BN jika mahu tuntutan masyarakat Cina didengar oleh kerajaan," katanya di majlis ramah mesra dengan masyarakat Cina di sini malam tadi.
Kira kira 5,000 orang dari 23 NGO masyarakat Cina Kemaman hadiri majlis tersebut yang turut dsertai oleh masyarakat Melayu.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mahu rakyat Terengganu yang berbilang kaum hidup seperti zaman dahulu di mana orang Melayu bebas bergaul dengan orang Cina.
"Saya kesal sejak akhir akhir ini politik songsang telah memecahbelahkan solidariti di antara orang Melayu dengan orang Cina," tegasnya.
Beliau mahu orang Cina sekarang hidup seperti orang Cina Terengganu zaman dahulu yang pakai kain pelikat dan berbaju kebaya. Malah dahulu ada orang Cina yang pandai baca tulisan jawi.
Ahmad Razif berharap kehadiran ramai masyarakat Cina malam tadi dapat memberi tanda yang baik kepada BN bahawa BN dapat menawan semula kerusi DUN Chukai.
Katanya, bila tiba pilihanraya, jangan persoal siapa jadi calon kerana yang penting BN mesti menang di DUN Chukai.
Beliau juga mahu menarik lebih ramai pelancong dari negara China datang ke Terengganu supaya mereka dapat membeli belah di Terengganu.
No comments:
Post a Comment