Friday, March 9, 2018

KERAJAAN SUDAH LAKSANAKAN JAMINAN KESELAMATAN MAKANAN

CYBERJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Janji pakatan pembangkang dalam manifesto yang dilancarkan semalam untuk menjamin keperluan makanan rakyat, sudah lama menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ranking Malaysia dalam keselamatan makanan di Asia Tenggara adalah antara yang terbaik iaitu kedua selepas Singapura.

"Keselamatan makanan bukan hanya menghasilkan lebih banyak beras tetapi menjamin makanan boleh diperoleh pada kadar mengikut kemampuan rakyat Malaysia di mana-mana lokasi di seluruh negara," katanya, dengan memberikan contoh beras boleh dibeli di Kuala Lumpur dan juga di Kapit, Sarawak atau di mana-mana ceruk di negara ini.

Mengulas manifesto pakatan pembangkang selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini, Ahmad Shabery berkata selain tiada perkara baharu yang diketengahkan berkaitan pertanian dan industri makanan, manifesto berkenaan juga berisiko mengancam kehidupan pesawah.

Merujuk kepada janji pembangkang untuk menghapuskan pengimport tunggal bagi beras, Ahmad Shabery berkata perkara itu boleh dibahaskan kerana sekiranya import beras dibebaskan, sesiapa sahaja boleh mengimport beras dan menjual mengikut harga yang ditetapkan sendiri.

No comments:

Post a Comment