Sunday, March 4, 2018

18,000 PELUANG PEKERJAAN DIWUJUDKAN DI TOK BALI SUPPLY BASE

PASIR PUTEH, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 18,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pembangunan projek Tok Bali Supply Base (TBSB) di Tok Bali di sini bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia membabitkan 3,000 pekerjaan secara langsung di TBSB manakala bakinya menerusi pembangunan sektor pelancongan seperti hotel dan restoran.

"Projek berkenaan mempunyai 40 penyedia perkhidmatan dan syarikat itu berhasrat menambah sehingga 120 penyedia perkhidmatan dalam beberapa tahun akan datang, selain menjangkakan 600 kapal akan berlabuh tahun ini berbanding 309 kapal pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek berkenaan pejabat Tok Bali Supply Base (TBSB) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Tok Bali Supply Base (TBSB) Sdn Bhd yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat.

Tok Bali Supply Base menyediakan kemudahan prasarana bagi menyokong industri petroleum luar pantai di kawasan utara Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) berkata dalam pada itu, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) juga akan membangunkan 80 hektar tanah di sekitar kawasan Tok Bali sebagai kawasan industri.

"ECER telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dan agensi tersebut memperuntukkan RM200 juta bagi pembangunan projek itu.

TBSB juga akan membangunkan kawasan seluas 80 hektar sebagai taman daerah kira-kira tujuh kilometer dari tempat mereka beroperasi," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment