Sunday, March 11, 2018

KKMM AKAN AMBIL TINDAKAN BERITA PALSU MENGENAI 1MDB

SIK, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutamanya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menimbulkan fitnah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata sehubungan itu, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang memantau perkara berkenaan.

"Dalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara.

"Terbaru, dalam usaha mencemar dan menjatuhkan kredibiliti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang telah menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan sebuah kapal layar mewah oleh pihak berkuasa negara tetangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri merangkap anggota Dewan Undangan Negeri Belantik Datuk Mohd Tajudin Abdullah serta Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Jailani berkata portal yang telah dikenal pasti itu adalah Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan yang terbaru MSNBC menyiarkan berita palsu mengenai 1MDB sejak minggu lepas.

"Kementerian melalui SKMM memantau perkara ini dan menasihatkan portal-portal ini berhenti menyiarkan berita-berita palsu terutamanya berhubung kes 1MDB yang telah dibuktikan hasil siasatan-siasatan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang tersebut tidak benar,"katanya.

Beliau berkata semua sedia maklum bahawa kes 1MDB telah pun disiasat pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai anggota Parlimen pihak pembangkang dengan akhirnya mendapati dakwaan penyalahgunaan wang itu adalah tidak benar sama sekali.

"Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha akhir beragenda politik yang cuba memfitnah dan mencemar nama baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita menjelang PRU14 (pilihan raya umum ke-14) tidak lama lagi,"katanya.

Pada pelancaran program itu, seramai 30 penduduk kampung dari Mukim Sok di daerah ini menerima bantuan berupa barangan keperluan harian sumbangan Telekom Malaysia (TM).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menyumbang 10 unit peralatan siaran digital ASTRO NJOi berserta televisyen kepada penduduk kurang berkemampuan dari kampung di bawah mukim berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment