KOTA BELUD, 10 Mac (Bernama) --Penduduk Kota Belud bakal mendapat informasi terkini tentang perkembangan semasa dan pembangunan dibawa kerajaan di Sabah khususnya di daerah itu menerusi penerbitan Tabloid Mingguan Rontog Edisi Khas Kota Belud.
Tabloid diasaskan Musli Oli selaku ketua pengarang tabloid berkenaan telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, hari ini.
Salleh berkata Tabloid Mingguan Rontog itu diharap akan dapat memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat setempat sekali gus menjelaskan segala isu semasa berhubung pembangunan dan pembaharuan dilakukan kerajaan selama ini.
"Penerbitan Tabloid Mingguan Rontog ini amat bertepatan dalam memastikan masyarakat setempat khususnya di Kota Belud mendapat maklumat tepat tentang segala usaha dilakukan kerajaan bagi mengelak masyarakat daripada terus terpengaruh dengan maklumat tidak tepat disebarkan melalui media sosial.
"Dengan adanya penerbitan tabloid ini juga akan dapat melahirkan masyarakat lebih matang, bijak serta berilmu dalam mempertimbang serta menilai kesahihan sesuatu berita sama ada ia benar atau palsu," katanya berucap melancarkan tabloid mingguan itu, di sini.
Salleh berkata kerajaan telah membawa banyak kemajuan di Kota Belud yang jelas merubah landskap pembangunan di daerah itu termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian serta kemudahan prasarana jalan raya demi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Mengambil contoh pembinaan jaringan jalan raya di Kota Belud, Salleh berkata, banyak kawasan baharu diwujudkan selain turut memberi peluang kepada masyarakat membangunkan perniagaan, menyediakan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.
"Dahulu, ada (penduduk Kota Belud) yang kerja di Kota Kinabalu tinggal di Kota Kinabalu, tetapi sekarang mereka yang kerja di Kota Kinabalu boleh tinggal di Kota Belud kerana jaringan jalan raya memudahkan perjalanan mereka. Lebuhraya Pan Borneo kelak akan memacu lagi pembangunan," katanya.
Sehubungan itu, Salleh berkata, tabloid berkenaan akan dapat membantu memberi penerangan terhadap semua pembangunan dalam konteks sebenar dilakukan kerajaan sekali gus menangkis segala berita-berita tidak sahih terhadap kerajaan yang tular di media sosial.
Sebanyak 2,000 naskah berita akan diterbitkan setiap minggu dan tabloid itu akan diedarkan secara percuma kepada masyarakat setempat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment