Tuesday, March 6, 2018

KOMPUTER RIBA UNTUK 100 PELAJAR CEMERLANG STPM

KUALA TERENGGANU, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan mengagihkan hadiah khas iaitu komputer riba dan tablet kepada semua 100 pelajar Tingkatan Enam di Terengganu yang memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata satu majlis istimewa akan diadakan untuk mereka pada Khamis ini.

"Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) terlalu gembira dengan keputusan yang sangat cemerlang ini kerana Terengganu juga berjaya mencapai minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) terbaik setakat ini iaitu 2.91 mengatasi PNGK peringkat kebangsaan iaitu 2.76.

"Sehubungan itu, seramai 23 pelajar terbaik yang memperoleh 4A akan diberi satu unit notebook manakala 77 pelajar lagi yang memperoleh 4A (kombinasi A dan A-) pula akan diberi satu unit tablet setiap seorang pada majlis itu," katanya dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2017 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, ketua-ketua sektor di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta Pegawai Pendidikan Daerah seluruh negeri.

Pada tahun lalu juga, pencapaian pelajar di kawasan luar bandar merekodkan keputusan cemerlang iaitu PNGK 2.92 mengatasi pelajar kawasan bandar, iaitu PNGK 2.89.

A. Latiff berkata lebih menggembirakan apabila keputusan STPM itu mengatasi sasaran empat peratus yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini.

"Di Terengganu, sasaran kita ialah 10-10-5-4 untuk setiap peperiksaan awam negara iaitu 10 peratus calon cemerlang bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan Tiga, lima peratus calon cemerlang untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan empat peratus calon cemerlang bagi STPM.

"Alhamdullillah, jumlah calon cemerlang bagi STPM 2017 ialah 4.16 peratus, sudah melepasi sasaran yang kerajaan negeri tetapkan...tahun ini kita sasarkan jumlah itu meningkat kepada lima peratus pula," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment