Friday, October 7, 2016

GRUP WHATSAPP PERTAMA DI MALAYSIA YANG BUAT MAJLIS MAKAN MALAM

Grup whatsapp Kemaman Kiter baru sahaja berusia satu bulan tetapi grup whatsapp ini telah berjaya mengumpulkan  seramai 196 orang ahli. Ia diuruskan oleh bekas pengerusi tetap Umno Bahagian Kemaman (2000-2004), Mat Dalam Awang yang telah menentang ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Ahmad Said pada tahun 2013.

Grup whatsapp tersebut telah dinaungi bekas naib ketua Umno Bahagian (2000-2008), Datuk Mohamed Rahim Husin, seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur. Malam tadi seramai 180 orang ahli grup whatsapp tersebut telah berkumpul beramah mesra sesama mereka dalam majlis silaratul rahim di Hotel Legend, Cherating.

Datuk Rahim telah mengarahkan admin grup whatsapp tersebut, Mat Dalam,  mengadakan majlis suaikenal dengan ahli-ahli grup whatsapp Kemaman Kiter. Beberapa orang telah berucap di majlis tersebut yang mewakili DUN masing-masing. Norzilam Mohamed, bekas Pengarah BTN Terengganu yang mewakili DUN Air Putih mencadangkan supaya Kemaman Kiter menganjurkan kursus kepada golongan pemuda di seluruh daerah Kemaman supaya mereka tahu mengenai perlembagaan negara dan isu semasa.

Beliau berkata kursus ini hemdaklah diadakan oleh pihak swasta dan bukannya oleh BTN kerana mereka alergik mendengar nama BTN. Che Ku Maznah Che Ku Awang yang mewakili DUN Chukai meminta Kemaman Kiter menggariskan hala tuju grup tersebut supaya mereka yang tiada jawatan di peringkat cawangan dan bahagian dapat membantu BN apabila tiba pilihanraya umum.

Mizani Mohamad yang mewakili DUN Kemasik meminta ATRA memainkan peranan yang lebih berkesan membantu setiap Peti Daerah Mengundi (PDM).  Kamaruddin Ali yang mewakili DUN Kijal meminta semua ahli grup memberi sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman. Beliau berkata semua ahli grup Kemaman Kiter jangan dengar khabar khabar angin yang mahu MB ditukar setiap bulan. Haji Mohamad Awang yang mewakili veteran mahu Umno Bahagian Kemaman tidak meminggirkan golongan veteran kerana golongan veteran sentiasa bersedia membantu calon-calon BN pada PRU yang akan datang.

Haji Ayob Mamat yang mewakili Kesatuan Wartawan Terengganu (KAWAT) mahu ahli grup whatsapp Kemaman Kiter bekerja kuat memenangkan BN pada PRU yang akan datang. Katanya, KAWAT sedia membantu calon-calon BN dengan menyediakan wartawan yang pandai berkempen untuk calon-calon BN. Beliau berkata jika BN Terengganu tumbang kali ini, ia akan lebih teruk dari sejarah pahit 1999.

Khairul yang mewakili cybertrooper Umno mahu ahli-ahli grup memberi info yang terkini supaya mereka dapat keluarkan dalam Facebook Siasah yang kini mendapat 11,000 penonton setiap posting walaupun Facebook itu baru seminggu dilacarkan.

Majlis itu juga turut diserikan dengan penceramah undangan, Shahbudin Embun yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu dan ahli sahabat penyokong Datuk Seri Zahid Hamidi. Dalam ceramahnya itu beliau mengajak ahli Umno Kemaman mengekalkan kerajaan BN Terengganu dengan memberi kemenangan besar  dengan majoriti dua pertiga sebagai tanda sokongan kepada MB, Ahmad Razif.

Dalam ucapan penutup, Datuk Rahim mahu ahli grup whatsapp bersatu supaya Kemaman lebih maju di masa akan datang. Katanya, kita sepatutnya membandingkan Kemaman dengan kawasan parlimen lain yang mana ahli parlimen mereka membawa pelbagai pembangunan di kawasan mereka sedangkan Kemaman yang merupakan bandar minyak amat ketinggalan dari segi pembangunan seperti hospital baru, terminal bas yang baru serta pasar yang baru.

Datuk Rahim menjelaskan visi Kemaman Kiter yang mahu membantu MB kerana ketua Umno Bahagian yang tidak selari dengan MB. Maka sokongan kepada MB perlu diberi walaupun Kemaman Kiter dianggotai oleh bekas ketua cawangan, bekas ahli jawatankuasa pemuda, wanita, puteri bahagian. Beliau sedia membantu Kemaman Kiter dari segi kewangan kerana beliau mahu Kemaman Kiter menjadi satu grup yang boleh membantu MB. Beliau berharap tidak ada pihak yang perlu bimbang kerana Kemaman Kiter akan memberi sokongan penuh kepada calon-calon BN yang dipilih oleh PM dan MB.

Dengan terungkai motif penubuhan grup whatsapp Kemaman Kiter, maka jelas bahawa Datuk Rahim tiada agenda politik. Sebaliknya beliau mahu membantu Kemaman supaya ia menjadi maju seperti kawasan parlimen yang lain. Syabas kepada Datuk Rahim dan Mat Dalam yang berjaya mengadakan majlis silatulrahim dengan ahli-ahli grup whatsapp Kemaman Kiter. Saya rasa ini adalah grup whatsapp yang pertama di negara ini yang berjaya mengadakan majlis seumpama ini di hotel.














No comments:

Post a Comment