Sunday, October 30, 2016

250 ORANG HADIRI MESYUARAT AGUNG PERKASA DAERAH KEMAMAN



KEMAMAN: Presiden Pertubuhan Pribuni Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh Perkasa Parlimen Kemaman kepadanya Sabtu lalu.

Beliau disambut dengan bunga manggar dan persembahan silat yang menyebabkan beliau bergurau kalau sambutan macam ini, beliau pun mahu jadi Perdana Menteri.

Sambutan yang gah di luar dewan tidak sama dengan sambutan di dalam dewan yang penuh dengan kerusi kosong. Hanya 250 orang yang hadir sedangkan Perkasa negeri diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Umno Bahagian Kemaman sendiri.

Sudah tentu ia memberi isyarat kepada Ahmad Said bahawa mengetuai Umno Bahagian tidak sama dengan mengetuai sebuah NGO seperti Perkasa. Apatah lagi orang melihat ahli jawatankuasa Perkasa parlimen Kemaman sama dengan ahli jawatankuasa Umno Bahagian.

Ada yang berpendapat bahawa perjuangan Perkasa amat bagus kerana ia berani membela nasib orang Melayu tetapi melantik orang yang sudah ditolak oleh orang ramai sebagai pemimpin Perkasa menyebabkan orang ramai lebih tidak tertarik untuk menyertai Perkasa.

Apatah lagi selaku Pengerusi Perkasa Terengganu, Ahmad Said melantik bekas setiausaha politiknya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid sebagai Pengerusi Perkasa Parlimen Kemaman yang kalah teruk dalam PRU lalu di DUN Chukai.

Walaupun semua ketua cawangan dan ahli jawatankuasa Umno cawangan dijemput hadiri mesyuarat agung tersebut tetapi mereka tidak datang kerana ia bukanlah majlis Umno. Whatsapp Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Rohani Abdullah kepada ahli-ahli wanita lebih memilukan kerana perjuangan Perkasa dianggap sebagai satu jihad. Walaupun ditawarkan duit minyak tetapi kenapa ramai yang tidak hadiri mesyuarat aging tersebut?

Ini yang perlu difikirkan oleh Ahmad Said bahawa ahli Umno Kemaman  tidak akan mengikuti beliau dalam Perkasa. Kononnya semua ADUN BN di Kemaman telah meminta ahli-ahli Umno memboikot majlis Perkasa tidak timbul kerana jika mereka sedar Perkasa amat relevan kepada orang Melayu, mereka tetap akan hadir mendengar ucapan Ibrahim Ali. Ini menunjukkan bahawa ahli Perkasa tidak suka Perkasa Terengganu diambilalih oleh Ahmad Said and the gang. 

Dalam ucapannya, Ibrahim Ali mengingatkan lebih 700,000 ahli Perkasa agar jangan sekali-kali menggunakan pertubuhan itu untuk kepentingan politik, sebaliknya menjadikan Perkasa sebagai platform untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan agama Islam.

Ibrahim Ali

Presidennya berkata, kewujudan pelbagai parti politik yang disertai orang Me­layu kebelakangan ini hanya akan mencetuskan perpecahan dalam kalangan kaum Melayu itu sendiri sedangkan Perkasa adalah pertubuhan yang menyatukan kaum itu.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli Perkasa supaya tidak melupakan prinsip asas pertubuhan kita (Perkasa) yang menjadi titik-tolak dan jambatan untuk menghubungkan orang Melayu dalam memperjuangkan hak mereka.

“Dalam Perkasa, kita ada lebih 700,000 ahli yang merupakan ahli pelbagai parti politik, antaranya UMNO, Pas, Amanah dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan kita bersatu untuk perjuangkan hak-hak orang Melayu.

“Namun, jangan sesekali gunakan Perkasa ini untuk jalankan kempen parti masing-masing kerana Perkasa bukannya sebuah pertubuhan yang menyokong atau bersekongkol dengan mana-mana parti politik,” katanya selepas me­rasmikan Persidang­an Tahunan Perkasa Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, di sini Sabtu lalu.



Yang hadir sama Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; Ketua Penerangan, Hassan Basri; Ketua Wiranita, Datin Paduka Norhaila Jamaluddin; Yang Dipertua Perkasa Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Asri Ali dan Pengerusi Perkasa Parlimen Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

No comments:

Post a Comment