Friday, October 21, 2016

BAJET 2017 BUKTI NEGARA TIDAK MUFLIS

KUALA NERUS, 21 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan bajet inklusif yang membantu rakyat mengharungi kehidupan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Katanya, bajet berjumlah RM260.8 bilion itu sekali gus berjaya menepis tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa rakyat akan berdepan dengan kesusahan dan negara akan muflis.

"Kita nampak bajet ini menjurus kepada menjaga kebajikan semua kalangan rakyat terutama rakyat B40 dan ini berjaya menangkis isu-isu yang disebut pembangkang bahawa negara kita akan muflis, berlaku kenaikan GST (cukai barang dan Perkhidmatan), membebankan rakyat terutama golongan miskin.

"Jadi jelas sekali menunjukkan tohamahan itu tidak benar dan tidak betul kerana manakan boleh negara ini muflis kerana menerusi bajet ini, banyak pihak dapat manfaat yang mampu merangsang ekonomi, bayaran BR1M ditingkatkan, bantuan untuk golongan sasaran diperluaskan, pinjaman perumahan untuk kakitangan kerajaan juga ditingkatkan dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau mengulas pembentangan bajet di Dewan Rakyat yang diikutinya di pejabat UMNO Dewan Undangan Negeri Seberang Takir di sini hari ini.

Ahmad Razif dalam pada itu mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada Terengganu untuk terlibat dalam projek mega berjumlah RM55 bilion iaitu pembinaan landasan keretapi East Coast Rail bermula dari Gombak, Selangor hingga ke Tumpat, Kelantan.

"Ia secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada perkhidmatan pengangkutan sedia ada iaitu LPT 2 dan pelabuhan-pelabuhan di negeri ini.

"Projek berkenaan akan melalui jajaran negeri ini dari Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu hingga ke Besut di mana ini akan memberikan impak besar kepada ekonomi negeri ini dan merancakkan lagi industri sedia ada di negeri ini," katanya.

Mengulas mengenai pemberian bantuan musim tengkujuh berjumlah RM200 sebulan kepada pekebun kecil getah, katanya ia sedikit sebanyak membantu golongan itu meneruskan hidup dalam keadaan harga komoditi yang tidak menentu.

"Ia sekali gus meningkatkan ekonomi mereka serta merancakkan ekonomi domestik kerana bila mereka mempunyai wang mereka akan berbelanja," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment