Sunday, July 21, 2019

UMNO YANG BODOH DIPELAWA SERTAI BERSATU



SUNGAI SIPUT 21 Julai - Kutukan dan penghinaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed ke atas pemimpin dan ahli UMNO bukanlah perkara pelik kerana beliau sendiri telah terbiasa menghina orang Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebaliknya secara sinis berkata, apa yang patut dihairankan adalah apabila kumpulan yang dikatakan bodoh itu jugalah yang dipelawa pemimpin tersebut untuk menyertai parti pimpinannya.


“Itu yang saya pelik dengan Tun Dr. Mahathir, dalam beliau mengatakan ahli UMNO tidak guna, bodoh, sombong, perompak dan pencuri, itu jugalah yang dia minta masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Maknanya Tun Dr. Mahathir ini dalam hati sebenarnya mengaku yang ahli UMNO ini cerdik, mulut sahaja mengata kita bodoh. Tak akan beliau mahu ambil orang bodoh (sertai Bersatu)?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zolkafly Harun di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

Dr. Mahathir menerusi portal berita pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu di ibu negara semalam dilaporkan berkata, parti itu perlu mengambil ikhtibar budaya pemimpin yang mementingkan diri sendiri dengan menyekat penyertaan ahli parti yang lebih cekap daripada mereka.

Mahathir berkata, situasi itu dapat dilihat di dalam UMNO dengan mengambil contoh pemimpin cawangan parti itu yang dikatakan tidak membenarkan orang yang lebih pandai untuk menyertai parti dan hanya dibuka kepada orang yang lebih bodoh.

Mengulas lanjut Saarani berkata, beliau percaya, pemimpin dan ahli UMNO yang cerdik dan mampu berfikir secara matang tidak akan sama sekali terpengaruh dengan pelawaan Pengerusi Bersatu itu untuk menyertai beliau.

Malah beliau berkata, penghinaan oleh Dr. Mahathir itu juga tidak akan melemahkan semangat mereka malah berasa tercabar sekali gus bangkit mempertahankan parti keramat orang Melayu itu.

“Ini bukan perkara pelik untuk lihat beliau menghina UMNO. Beliau bukan sahaja hina UMNO, orang Melayu pun dihina dengan dikatakan malas tambahan sekarang UMNO adalah musuhnya.

“Orang UMNO ini bukan boleh tidur begitu sahaja. Bila beliau buat benda (menghina UMNO), kita akan tercabar dan bangkit. Lagi kuat dihina, lagi kuat orang UMNO bangkit,” katanya.

No comments:

Post a Comment