Monday, July 15, 2019

TERENGGANU BERJAYA TARIK PELABURAN RM800 JUTA SEJAK JUN 2018

KUALA TERENGGANU, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM801.5 juta dalam tempoh setahun sejak Jun 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata daripada jumlah itu, RM480.6 juta adalah pelaburan asing dan baki RM320.9 juta, menerusi pelaburan domestik.

"Pelaburan ini juga menyediakan 2,096 peluang pekerjaan di seluruh Terengganu. Setakat ini, pelaburan tertumpu dalam industri bio-kimia di Kerteh, industri perkilangan besi serta petroleum dan gas di Kemaman, manakala di Wakaf Tapai, pelaburan dalam bentuk industri berasaskan perkayuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) yang ingin tahu nilai pelaburan industri di Terengganu dari Jun 2018 hingga Jun 2019, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Tengku Hassan yang juga ADUN Ladang berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin melabur di Terengganu, terutama dari segi kemudahan prasarana dan memastikan suasana selamat serta kestabilan politik di negeri itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata seramai 528 usahawan dan peniaga kecil mendapat pinjaman berjumlah RM4.5 juta daripada Tabung Usahawan (TUGAS), setakat Jun tahun ini.

"Sejak tabung itu dilancarkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pada Januari lepas, YPU menerima sebanyak 642 permohonan.

"Ketika ini, 80 permohonan sedang di peringkat akhir proses, dan kita jangka RM1.2 juta lagi akan disalurkan sekiranya kesemua permohonan ini diluluskan nanti," katanya menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang ingin tahu jumlah penerima bantuan pinjaman TUGAS setakat ini.

Dalam Bajet 2019, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk TUGAS bagi memberi peluang kepada usahawan mendapatkan pinjaman patuh syariah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment