Monday, July 8, 2019

PAS TERENGGANU TOLAK PELAWAAN MAHATHIR BERGABUNG SERTAI BERSATU



KEMAMAN 6 Julai - Pas Terengganu hari ini menolak pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu bergabung menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Sebaliknya, Pengerusi Bersatu serta seluruh pemimpin dan ahli parti itu dipelawa menyertai Pas dan juga UMNO.


Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebenarnya parti Bersatu yang menyebabkan perpecahan orang Melayu di negara ini.

“Sepatutnya semua balik kepada induk, saya rasa Pas dan UMNO dah boleh bekerjasama dan kami merupakan parti ibu atau induk. Pas sendiri dah berusia lebih 60 tahun, begitu juga UMNO dah lebih 70 tahun,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-4 Teknologi Kejuruteraan (ICET) 2019 Kolej Universiti TATI (TATIUC) di Dewan Datuk Seri Tuan Guru, Pusat Latihan Darul Iman (DITC) Teluk Kalong, Kemaman hari ini.

Yang hadir sama, Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad serta Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan, Dr. Rosliza Ramli.

Satiful Bahri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, berkata, sepatutnya ahli Bersatu kena kembali kepada UMNO memandangkan keahlian parti tersebut hanya sekitar 200,000 orang.

“Perpecahan di kalangan orang Melayu merupakan perebutan jawatan dalam parti sehingga tertubuh parti baharu. Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan serpihan daripada Pas kerana tidak berpuas hati tidak dilantik sebagai pemimpin.


“Sepatutnya mereka kena berkorban cita-cita peribadi dan kembali semula kepada parti ibu atau induk. Kita ni dah terlalu lama, elok sangat dah bersara dan bagi peluang kepada generasi baharu pula,” katanya

No comments:

Post a Comment