KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Tindakan beberapa anggota parlimen pembangkang terutama PAS yang tidak bersetuju dengan usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dilihat sebagai penolakan politik semata-mata, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu Senator Datuk Razali Idris.
Beliau berkata pemimpin PAS itu hanya bertindak untuk membangkang apa sahaja usaha yang ingin dilakukan oleh kerajaan tanpa melihat kepentingan dan kebaikannya.
“Apa yang kerajaan buat dia (PAS) tidak setuju, itu sahaja yang saya nampak. Dia tidak lihat perkara yang dicadangkan itu penting atau tidak, yang pentingnya apa yang dicadangkan kerajaan dia tolak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri Bersatu Terengganu, di sini, hari ini.
Beliau yang mengulas mengenai usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan di Parlimen semalam berkata, Anggota Parlimen PAS tidak perlu takut untuk mengisytihar harta mereka sekiranya ia diperolehi dengan cara yang betul dan tidak menyalahi undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan usul itu berkata ia akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen serta suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, di samping pemegang amanah berkaitan, dan beberapa anggota Parlimen PAS telah menyuarakan rasa tidak setuju mereka terhadap usul itu.
No comments:
Post a Comment