Friday, July 12, 2019

KEDIAMAN UNIK PINE HILL'S HILL GARDEN TARIK PELANCONG KE MARANG

MARANG, 12 Julai (Bernama) -- Pertama kali menjejakkan kaki ke Pine Hill's Garden, di sini terasa bagaikan berada di sebuah rumah di perkampungan England.

Demikian reaksi kebanyakan pengunjung yang datang ke kediaman milik Mohammad Salleh Angullia Isa yang terletak di ketinggian 200 kaki dari paras laut di Kampung Bukit kemas di Kelulut, yang pekarangan hadapan rumah itu dipenuhi dengan puluhan pokok pine manakala bahagian belakangnya dipenuhi dengan tanaman anggur, strawberi, pokok markisa dan pokok buah tin.

Pemuda berusia 26 tahun, yang mesra disapa dengan nama panggilan Salleh, tidak menyangka kediaman peribadinya itu menjadi tumpuan ramai sejak ia tular di media sosial bermula selepas mengadakan rumah terbuka pada hari ketiga Aidilfitri baru-baru ini, untuk mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

"Namun, tanpa disangka gambar Pine Hill's Garden yang mereka muat naik di media sosial menjadi perhatian sehinggakan saya menerima kunjungan orang ramai secara mendadak tanpa henti.

"Setiap hujung minggu, saya terima kunjungan antara 800 ke 1,000 orang. Sehingga kini, lebih 10,000 pengunjung datang ke kediaman saya untuk melihat sendiri pokok anggur secara dekat dan merakamkan pemandangan indah yang mereka umpamakan seperti Mini England," katanya ketika ditemui Bernama.

Mengimbau semula pengalamannya membangunkan Pine Hill's Garden, Mohammad Salleh berkata beliau membeli tanah seluas 4.8 hektar di kawasan hutan itu pada 2014 dengan hasrat menjadikan kediaman itu sebagai rumah persinggahan keluarga.

"Saya mahu membina sebuah rumah ala Inggeris, sudah tentulah saya mahukan landskap yang istimewa dengan tanaman unik dan sesuai seperti di sebuah perkampungan Inggeris.

"Takkan saya hendak tanam kelapa… di situlah tercetus idea untuk saya menanam anggur dan strawberi sebagai tanaman di belakang rumah. Namun, ia tidaklah mudah kerana percubaan kali keempat, barulah anggur yang saya tanam mengeluarkan hasil," katanya yang membeli benih pokok itu dari Rusia.

Mohammad Salleh, yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan, berkata beliau tidak mempunyai ilmu berkaitan pertanian secara formal, namun mempelajarinya daripada Internet dan sehingga kini masih membuat rujukan dan kajian setiap kali berdepan dengan masalah tanaman.

"Anggur yang dituai ini bukanlah untuk tujuan komersil, sebaliknya ia hanya untuk dinikmati keluarga sahaja," kata Mohammad Salleh, yang banyak meminta nasihat daripada bapanya, seorang pemilik sebuah resort terkenal di Marang.

Pada masa ini, Mohammad Salleh, yang mempunyai lima varieti anggur yang menghasilkan rasa manis dan saiz besar setanding anggur dari luar negara, berhasrat mahu menanam sembilan lagi varieti anggur pada tahun depan.

Pine Hill's Garden tidak hanya dikunjungi komuniti setempat, malah ada rakan Mohammad Salleh yang sanggup datang dari Singapura dan Melaka semata-mata mahu melihat sendiri keunikan landskap di rumah itu.

Ketika ini, pengunjung yang datang tidak dikenakan sebarang bayaran untuk melihat tanaman anggur secara dekat, malah lokasi rumahnya yang menghadap Pulau Kapas itu 'diintai' beberapa rumah produksi untuk dijadikan lokasi penggambaran iklan dan drama.

Paling mengujakan Mohammad Salleh apabila Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut berkunjung ke kediamannya dan memuji usahanya menjadikan Pine Hill's Garden sebagai daya tarikan baharu di Terengganu.

"Maklum balas positif yang saya terima setakat ini telah memberi suntikan motivasi untuk saya memajukan lagi Pine Hill's Garden sebagai satu produk agropelancongan di Pantai Timur.

"Impian saya mahu mewujudkan resort di sekitar kawasan ini untuk memberi pengalaman unik seperti berada di pusat peranginan terkenal kepada pengunjung tanpa mereka keluar jauh dari Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment