Tuesday, July 9, 2019

TERENGGANU PERKENAL DASAR PERUMAHAN MESRA PEMAJU

HULU TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu dijangka memperkenalkan dasar perumahan swasta baharu di negeri ini, termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) yang lebih mesra kepada golongan pemaju, bulan depan.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui dasar baharu itu, kerajaan negeri antara lain akan meminimumkan kos tanah supaya kos pembinaan rumah dapat diturunkan, sekali gus menjadikan harga rumah lebih murah.

“Kami akan pertimbangkan antaranya tanah itu sendiri dan dengan dasar baharu ini, kos tanah akan diminimakan supaya kos pembinaan rumah akan diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah RMM Tajin, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata 250 unit RMM Tajin mula dibina sejak Jun tahun ini, dan dijangka siap pada Jun 2021.

Beliau berkata kos keseluruhan pembinaan rumah teres di atas tanah berkeluasan 10 hektar itu ialah kira-kira RM29 juta dan ia dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Rumah ini setiap satu berharga RM117,000, tetapi ia akan dijual kepada pembeli dengan hanya RM68,000 sebagai rumah mampu milik,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment