Sunday, February 24, 2019

TERENGGANU NEGERI KEDUA SELEPAS MELAKA TANDATANGAN IBR



KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Bernama) -- Seramai 24 orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu hari ini melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komited memerangi rasuah dan menentang sebarang perlakuan tidak berintegriti dalam kalangan ahli politik di negeri ini.

Lafaz dan tanda tangan IBR itu yang turut melibatkan Yang Dipertua DUN Terengganu itu disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam satu majlis di Wisma Darul Iman, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga ADUN Rhu Rendang berkata kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan rasuah kerana ia mendatangkan kerugian kepada rakyat dan negeri.

"Kita tahu bahawa dalam sesebuah kerajaan, apabila berlaku kebocoran, tidak ada integriti dan rasuah, ia akan menyebabkan kehilangan dana kerajaan dan akan memberi kesan kepada bajet negara.

“Dalam negara kita, kehilangan akibat tidak berintegriti dan rasuah ini boleh sampai kepada puluhan bilion dan sudah tentunya jumlah yang sedemikian sekiranya diurus dengan baik akan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Walaupun jumlah (akibat rasuah) mungkin tidak sebesar itu di peringkat Terengganu… tetapi ini menunjukkan kita serius dan berharap agar penggal pemerintahan kali ini kekal dalam keadaan bersih tanpa isu integriti dan rasuah," katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata Terengganu adalah negeri kedua selepas Melaka yang menandatangi IBR selepas pilihan raya umum ke-14.

"IBR ini tiada paksaan… ia adalah inisiatif pimpinan kerajaan di sesebuah negeri untuk memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

"SPRM juga sangat menyambut baik hasrat Menteri Besar untuk memperluaskan IBR di setiap anak syarikat milik kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Terengganu selepas ini," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment