KEPALA BATAS, 12 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM27.2 juta untuk program aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan buat pekebun kecil di seluruh negara.
Pengerusinya Rosely Kusip hari ini berkata daripada jumlah itu RM1 juta diperuntukkan kepada pekebun-pekebun kecil di Pulau Pinang.
"Program pembangunan keusahawanan dan aktiviti ekonomi yang dirangka RISDA pada tahun ini adalah usaha untuk meningkatkan lagi kualiti hidup pekebun kecil selain mengurangkan penggantungan kepada komoditi getah dan sawit semata-mata," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan cawangan ke-14 RISDA Smallholders Mart (RisSMart) di Seberang Menerong di sini hari ini.
Menurutnya RISDA turut mensasarkan untuk melahirkan 20,000 usahawan melalui program kelolaannya menjelang tahun 2020 dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 setiap bulan.
Menyentuh tentang RisSMart, Rosely berkata ia merupakan salah satu inisiatif program pembangunan keusahawanan menerusi penyediaan kemudahan premis perniagaan dan promosi produk usahawan pekebun kecil RISDA.
Katanya ia merupakan salah satu usaha berterusan untuk menjenama semula RISDA dalam membantu pekebun-pekebun kecil meningkatkan taraf hidup mereka.
"RISDA perlu dijenamakan semula dan (RisSMart) perlu menjadi saluran untuk mempromosikan produk-produk daripada desa khususnya hasil buatan para pekebun kecil,” katanya.
Menurutnya, RISDA juga sedang berusaha untuk memasarkan produk tempatan khususnya produk-produk yang dijual di RisSMart ke China.
"Dalam masa enam bulan, kita akan cuba mencari jalan (merangka strategi) untuk memasarkan produk ke sana. Saya mensasarkan dalam tempoh lima tahun usaha (memasarkan produk usahawan RISDA ke China) ini akan berjaya dicapai," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment