Thursday, February 21, 2019
KERAJAAN AKAN BELA NASIB 40 ORANG PENGAYUH BECA
KUALA TERENGGANU, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu dalam memastikan nasib hampir 40 pengayuh beca yang kebanyakannya warga emas di sekitar bandaraya ini terbela.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial negeri, Haafiah Mat berkata ketika ini semua pengayuh beca berkenaan menerima bantuan wang tunai RM200 setiap bulan daripada kerajaan negeri.
"Namun, kita maklum dalam keadaan ekonomi mencabar sekarang, jumlah itu memang tidak cukup untuk mereka. Saya akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mencari mekanisme terbaik membantu golongan ini.
"Mungkin bentuk bantuan lain yang sesuai adalah memastikan pengayuh beca ini mendapat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau bantuan lain di bawah portfolio saya," katanya kepada pemberita dalam aktiviti turun padang ke Pasar Besar Kedai Payang di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Hanafiah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai meluangkan masa lebih sejam untuk beramah mesra dan mendengar permasalahan yang dihadapi golongan penarik beca.
Beliau tidak menafikan perkembangan teknologi pengangkutan menyebabkan industri beca semakin suram sejak kebelakangan ini di mana hanya segelintir kecil pelancong dan orang tempatan masih mahu menggunakan khidmat pengayuh beca.
"Kebanyakan mereka berusia lebih 60 tahun, apalah pilihan yang ada untuk mereka dalam mencari rezeki selain mengayuh beca kerana sudah sebati dengan pekerjaan itu sejak mereka masih muda.
"Kehidupan anak-anak mereka juga tidak begitu bernasib baik..bagaimana penarik beca ini mahu mengharapkan bantuan kewangan dari anak-anak kerana mereka juga kurang berkemampuan...insyaallah golongan ini akan menjadi perkara penting kerajaan negeri untuk diberi tumpuan," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment