Tuesday, February 19, 2019

PENGUNDI SEMENYIH MAHU MASALAH BANJIR DIATASI

SEMENYIH, 19 Feb (Bernama) Rumah dinaiki air sehingga harta benda rosak dan tanaman musnah akibat banjir. Itulah igauan ngeri yang membelenggu penduduk di beberapa kawasan di Semenyih setiap kali hujan lebat.

Menurut penduduk tempatan, kawasan di sepanjang Sungai Semenyih dan Sungai Rinching adalah lokasi yang sering terjejas akibat banjir berikutan limpahan air sungai berkenaan selain beberapa kawasan rendah yang turut berdepan risiko banjir kilat setiap kali hujan lebat dalam tempoh yang lama.

Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata pengundi di Semenyih mahukan penyelesaian jangka panjang kepada isu banjir yang diibaratkan sebagai dugaan ´wajib´ apabila hampir setiap tahun bencana itu melanda mereka.

Peniaga, Saliza Rahaman, 42, berkata isu banjir bukan sahaja berlaku di kawasan berdekatan sungai-sungai utama, malah kawasan di pekan khususnya kawasan rendah turut berisiko dinaiki air.

"Jangankan kawasan dekat dengan sungai, di pekan pun kalau hujan dua, tiga jam sudah dinaiki air…lebih-lebih lagi di kawasan yang rendah. Rumah habis rosak, kebun pun rosak. Saya harapkan bukan sahaja projek tebatan banjir diperbanyakan, malah kerja-kerja penyelenggaraan saliran di kawasan pekan juga perlu diutamakan supaya tiada lagi berlaku banjir kilat, " katanya kepada Bernama.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Normah, 39, berkata kawasan rendah seperti Jalan Semenyih di hadapan Klinik Kesihatan Kajang, antara lokasi yang kerap dinaiki air apabila hujan lebat.

"Jalan Semenyih ini adalah jalan utama di Semenyih, bayangkan pengguna jalan terperangkap dan terpaksa menunggu hingga hampir sejam apabila air dari parit berdekatan melimpah setiap kali hujan lebat, " katanya.

Data banjir Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Negeri Selangor menyenaraikan kawasan berhampiran dua sungai berkenaan iaitu Kampung Batu 3, Kampung Rinching Hulu, Kampung Rinching Hilir dan Kampung Rinching Tengah sebagai kawasan yang paling kerap dilanda banjir.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Selangor menerusi JPS negeri telah melaksanakan rancangan tebatan banjir (RTB) di Sungai Semenyih (siap 2018) dan merancang melaksanakan projek sama di Sungai Rinching bagi mengatasi isu banjir di Semenyih.

Penduduk Kampung Batu 3, Khanafi Mohd Mokhsin, 40, berkata antara punca berlaku banjir yang dikenal pasti adalah kesan pembangunan projek berdekatan sungai berkenaan.

"Selama 40 tahun menetap di sini, tak pernah berlaku banjir… tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan kami kerap dilanda banjir lebih-lebih lagi sejak wujudnya projek perumahan berdekatan sungai ini,

"Projek tebatan banjir akan jadi sia-sia jika pihak berwajib tidak memantau projek-projek yang tidak mematuhi peraturan dengan membiarkan sisa pembinaan mengalir ke dalam sungai, " katanya.

Sementara itu, penduduk Rosni Jamaludin, 55, berharap wakil rakyat baharu yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini akan memberi fokus untuk menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi oleh pengundi di sini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment