Thursday, January 18, 2018
TERENGGANU TAK LEPAS TANGAN ATASI MASALAH PENGANGGURAN
KUALA TERENGGANU, 18 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu sentiasa peka dan tidak pernah 'lepas tangan' dalam mengatasi masalah pengangguran dengan melakukan pelbagai inisiatif.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata dakwaan pemimpin PAS baru-baru ini, seolah-olah pimpinan kerajaan negeri menjadi punca masalah tersebut adalah tidak adil kerana ia turut melibatkan beberapa faktor lain termasuk kejatuhan harga besi dan minyak di pasaran dunia.
"Disebabkan kejatuhan harga dua komoditi utama dunia itu, semakin ramai pekerja Terengganu terutama di Kemaman diberhentikan kerana kilang yang terlibat dengan dua industri tersebut tidak lagi beroperasi.
"Ia menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi lebih tinggi daripada kadar nasional untuk tahun 2015 (4.0 peratus berbanding 3.2 peratus) dan pada tahun 2016 (4.2 peratus berbanding 3.4 peratus)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai siaran video oleh seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada PAS melalui laman Facebook baru-baru ini yang mendakwa kadar pengangguran di negeri ini adalah yang tertinggi di Semenanjung pada tahun 2016 dan ia berbeza dengan era pemerintahan PAS.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim berkata harga besi yang merudum ketika itu telah menyebabkan penutupan sepenuhnya kilang besi Perwaja di Kemaman pada tahun 2015.
"Ribuan pekerja telah diberhentikan dan proses pemberhentian pekerja ini sudah bermula sejak tahun 2012 lagi.
"Perancangan kerajaan negeri ialah sebuah lagi kilang besi di Kemaman iaitu Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) akan mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan Perwaja Steel ini, bagaimanapun ESSB turut terjejas dan terpaksa menangguhkan operasi mereka disebabkan harga pasaran besi yang jatuh merudum pada tahun 2015," katanya.
Menurut beliau dalam masa yang sama, kejatuhan harga minyak telah memperlahankan aktiviti teroka cari gali minyak serta aktiviti-aktiviti huluan dan ia memberi impak yang negatif kepada kegiatan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).
Ekoran situasi itu, jumlah pekerja yang diberhentikan semakin ramai sekali gus menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi tinggi daripada biasa.
Wan Abdul Hakim yang juga ADUN Air Putih berkata bagaimanapun, situasi itu dijangka kembali pulih seperti biasa sejajar dengan peningkatan harga besi dunia yang semakin stabil ketika ini.
"Eastern Steel akan mula beroperasi sepenuhnya pada Mei ini dan pengambilan pekerja akan dibuat tidak lama lagi.
"Satu syarikat gergasi dari China yang mengeluarkan bitumen pula akan mengambil alih aset-aset Perwaja Steel dan akan menawarkan ribuan pekerjaan baharu di Kemaman," katanya.
Bagaimanapun, Wan Abdul Hakim berkata setiap indikator serta statistik mengenai perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan hanya dari satu sudut semata-mata.
"Ini kerana pada tahun 2016, Pendapatan Pertengahan Isi rumah (Median Household Income) menunjukkan Terengganu bersama Negeri Sembilan telah melonjak mengatasi tahap kebangsaan 2014 berbanding tujuh negeri lain.
"Ini menunjukkan ekonomi rakyat dari sudut pendapatan telah meningkat di negeri Terengganu dari tahun 2014 iaitu RM3,777 melonjak kepada RM4,694 pada tahun 2016 walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi ketika itu," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment