Wednesday, January 10, 2018

PAK ALI YANG SAYA KENALI

KEMAMAN: Bekas Ketua Umno Cawangan Pasir Gajah yang paling lama, Pak Ali Ismail, 92, telah meninggal dunia semalam. Beliau bukan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman tetapi beliau adalah ketua cawangan yang tidak mementingkan diri sendiri yang patut jadi contoh tauladan kepada semua ahli Umno.

Ketika pemimpin cawangan lain berebut mengejar projek dan balak, Pak Ali tetap dengan rumah yang menumpang di tanah kerajaan. Beliau adalah contoh pemimpin Umno yang tidak kayakan diri sendiri sedangkan sekarang ini ramai pemimpin Umno mengejar tender MPK dan sebagainya.

Yang paling lucu pada tahun 1995 ada orang yang mahu menentang Pak Ali sebagai ketua cawangan telah berkata akan lelong basikal buruk Pak Ali jika dia menang ketua cawangan. Pak Ali senyum dengan kempen lawannya itu yang ada kereta mewah.

 Di hari pemilihan Umno cawangan, Pak Ali jemput ketua bahagian Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad rasmikan mesyuarat agung cawangan.

Dalam ucapan perasmiannya Wan Mokhtar yang juga MB Terengganu berkata kampung Pasir Gajah terkenal dengan penduduk yang bersatu padu. Maka kekalkanlah pemimpin yang ada. Lawannya kalah teruk di tangan Pak Ali gara gara ucapan MB.

Pak Ali berasal dari Kuala Terengganu tetapi menetap di Pasir Gajah ketika bekerja di Machang Setaun di kawasan bijih besi pada tahun 50an. Oleh kerana dia jaga motor (sejenis mesin) di kawasan bijih besi itu maka dia dipanggil Pak Ali Motor.

Orang Pasir Gajah terkenal dengan pelbagai gelaran seperti Pak Lah TV (orang Pasir Gajah yang pertama memiliki televisyen), Man Bopeng, Pak Man Jawa, Zali Bugis dan pelbagai gelaran. Pada tahun 30an orang Jambi dari Batu Pahat datang ke pasir gajah diikuti oleh orang kelantan maka Pasir Gajah dari tahun 30an adalah gabungan orang Jambi dengan orang Kelantan.

Abdul Rahman dari Kelantan pernah duduk di Pasir Gajah dan kahwin dengan orang Paloh, Kuala Terengganu yang melahirkan Tan Sri Razali CEO Peremba. Tan Sri Razali selalu datang ke pasir gajah menemui saudara maranya. Saidi taukeh tahi getah di pasir gajah adalah anak buah Tan Sri Razali kerana datuk Saidi, Abdul Latif adalah saudara Abdul Rahman ayah Tan Sri Razali.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz orang jambi yang duduk di Parit Raja, Batu Pahat, Johor selalu datang ke Pasir Gajah menemui saudara maranya orang Jambi di pasir gajah.

Tan Sri Mohamad pernah beritahu saya dia tiada nama Tengku Mohamad kerana bila keturunannya lari dari jambi ke batu pahat buang nama Tengku takut dicari orang Belanda. Sebaliknya saudara mereka yang berhijrah dari batu pahat ke pasir gajah dibenarkan oleh Sultan Terengganu menggunakan nama Tengku semula. Sebab itu semua orang jambi di Pasir gajah ada nama Tengku kecuali anak perempuan mereka yang bernama tengku kahwin dengan orang biasa maka anaknya sudah hilang nama Tengku.

Masyarakat Jambi dan Kelantan di pasir gajah hidup dalam harmoni. Mereka boleh terima orang luar seperti Pak Ali sebagai pemimpin mereka. Pak Ali ketua cawangan yang paling lama. Beliau pernah jadi wakil calon ketika Dr Ramli Taib bertanding sebagai calon bagi DUN Air Putih pada tahun 1999.

Masa itu Pak Ali dah tahu BN akan kalah kerana gelombang anti Mahathir terlalu kuat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno.

"Awang, BN akan kalah kali ini," kata Pak Ali yang memanggil nama  saya Awang. Orang pasir gajah tidak panggil saya Zabidi kerana mereka panggil Awang. Kawan saya dari KL tanya mana rumah Zabidi. Orang kampung kata tak kenal. Bila dia sebut Zabidi yang kerja wartawan Watan baru mereka jawab rumah Awang.

Pak Ali pernah mendapat penghargaan jasamu dikenang dari Umno Bahagian Kemaman. Pak Ali adalah orang yang sederhana. Sepatutnya dia jadi ketua kampung tetapi dia beri laluan kepada Pak Mat Yahya sebagai ketua kampung kerana dia lebih suka menjaga Umno cawangan. Sewajarlah orang yang tidak pentingkan diri seperti Pak Ali menjadi contoh kepada anak anak muda dalam Umno sekarang. Al Fatihah buat Pak Ali.


3 comments:

  1. Pok Ali Motor - Perginya Pejuang Yang Tidak Berkepentingan Diri http://zamrimohamad71.blogspot.com/2018/01/pok-ali-motor-perginya-pejuang-yang.html

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Al Fatihah buat insan yg saya sgt hargai. Beliaulah penjamin pinjaman pelajaran saya semasa di universiti dan kawan rapat ayah saya. Beliau juga saya anggap spt ayah sendiri....terasa diri ini sudah tua.... semoga Allah merahmati beliau dan menjadi ahlu Jannah aamin!

    ReplyDelete