KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Agensi berita negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberi jaminan komitmen liputan terbaik dan penyampaian maklumat yang tepat, cepat dan objektif sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berlangsung.
Pengurus Besarnya Datuk Zulkefli Salleh berkata Bernama bersedia memainkan peranan penting dalam memberi input dan maklumat yang tepat kepada pengundi supaya mereka boleh membuat keputusan dan pilihan yang tepat pada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos itu.
"Dalam masa kempen nanti tentu ada bermacam-macam maklumat sehingga menyukarkan masyarakat untuk menilai mana yang benar dan tepat.
"Sebagai agensi berita, Bernama akan beri liputan terbaik kepada orang ramai dari segi menyampaikan berita dan maklumat yang cepat, tepat dan objektif melalui pengalaman pemberitaan lebih 50 tahun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2018 dan sesi 'Town Hall' bersama warga kerja Bernama di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Menurut Zulkefli, untuk mendapatkan perhatian masyarakat, pemberitaan Bernama haruslah lebih bersifat objektif dan tepat.
"Namun paling penting ia perlu cepat kerana dalam era digital, berita sampai kepada khalayak dengan cepat, kalau lambat masyarakat mungkin cenderung percaya kepada berita-berita kurang tepat yang disebarkan oleh pihak-pihak yang ada agenda tertentu dalam media sosial," katanya.
Zulkefli berkata berita Bernama disalurkan kepada pelanggan yang terdiri daripada akhbar, stesen televisyen serta radio tempatan.
"Selain itu, orang ramai boleh mengikuti berita Bernama melalui pelbagai saluran, antaranya menerusi laman web www.bernama.com, stesen televisyen Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio," katanya.
Terdahulu, ketika sesi town hall Zulkefli turut memperkenalkan slogan baharu pertubuhan itu iaitu 'Pastikan Benar' dan 'Semuanya Tentang Anda'.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment