Monday, January 29, 2018

ISTIMEWA IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK SURIA HOT SPRING BENTONG

BENTONG, 29 Jan (Bernama) -- Sudah menjadi satu kemestian buat sesiapa sahaja yang singgah di Pahang untuk mencuba sajian 'Ikan Patin Masak Tempoyak', yang sinonim dengan negeri itu.

Kelembutan isi ikan yang segar dicampur pula dengan kuah tempoyak yang sedikit berlemak, menjadikan hidangan itu sangat istimewa sehingga ada yang sanggup memandu berjam-jam semata-mata untuk merasai keaslian masakan ikan eksotik itu.

Dari warung tepi jalan sehinggalah restoran bertaraf bintang, pasti hidangan itu tidak terlepas
daripada menjadi pilihan pengunjung.

Menyedari ramai yang 'memburu' hidangan itu, eRYA By SURIA Hot Spring Bentong turut tidak ketinggalan dalam menyediakan sajian itu yang kini menjadi hidangan identiti di Restoran Bunga Padi milik resort itu.

Pembantu Tukang Masak eRYA By SURIA Hot Spring Bentong, Mohd Fadzli Mohamad Suhaimi berkata, pihak resort mementingkan kualiti ikan patin bagi mengekalkan rasa segar dalam hidangan.

"Keenakan masakan ini bergantung kepada kesegaran ikan patin dan pihak resort hanya menggunakan ikan sangkar yang diambil dari Temerloh dan tidak berbau hanyir lumpur, " katanya.

"Kuahnya pula bergantung kepada rasa tempoyak dan kami menggunakan durian kampung yang didapati di sekitar kawasan resort, " tambahnya.

Fadzli berkata, kuahnya tidak terlalu pekat bagi memberi keseimbangan rasa dan untuk mereka yang pertama kali mahu mencuba, ia tidak terlalu 'sarat' dengan rasa tempoyak.

Menariknya di Suria Hot Spring Bentong, sajian itu hanya akan disediakan mengikut permintaan bagi memastikannya dihidangkan panas kepada pengunjung.

Ditambah pula dengan gabungan nasi putih, ulam-ulaman dan air jus markisa, ia pasti membuka selera sesiapa sahaja.

Dengan hanya RM25 semangkuk, pengunjung boleh menikmati sajian itu, yang pasti memberi kelainan rasa dengan taburan daun kesum dan aroma bunga kantan yang menyelerakan.

Beliau berkata bagi tetamu yang datang secara berkumpulan dan ingin menikmati menu istimewa itu, pihak resort boleh menyediakan hidangan itu mengikut kuantiti yang diperlukan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat dan membuat tempahan dengan menghubungi Suria Hot Spring Resort di talian 09-2210200 atau layari laman sesawang www.eryabysuria.com.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment