Sunday, January 28, 2018

KEHADIRAN 15,000 ORANG BUKTI DATUK SERI RAHIM MAMPU TAWAN DUN CHUKAI




KEMAMAN: Sabtu lalu majlis perkahwinan anak Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Maju Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin, Mohd Hakimi Ikmal, 24, dengan penyanyi Mentor Melania 2017, Balqis, 19, di Dewan Seri Amar di sini amat meriah.

Kira kira 15,000 orang terdiri dari pelbagai kaum  menghadiri majlis sambut menantu itu yang  mungkin mencatat kehadiran yang teramai di Terengganu.

Pemerhati politik berpendapat jika Datuk Seri Rahim yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman itu dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Chukai, beliau akan menang besar. Beliau adalah satu-satunya calon yang mampu merampas kembali kerusi DUN tersebut dari tangan PAS yang mana calon BN kalah dengan majoriti 2,400 undi pada tahun 2013.

Malah ADUN Chukai, Hanafiah Mat yang turut hadiri majlis tersebut mengakui berdasarkan kehadiran ini jika Datuk Seri Rahim jadi calon, BN berjaya rampas kerusi DUN Chukai.

Dalam sidang akhbar,  Balqis berkata beliau dan pasangannya bersedia jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

Bagi Balqis  dan suaminya, Mohd Hakimi Ikmal , kehadiran cahaya mata akan menambahkan lagi rezeki sebagaimana keputusan yang diambil mereka untuk mendirikan rumahtangga pada umur yang masih muda.

"Tak salah kahwin muda sebab ia akan murahkan rezeki kita dan kalau ada anak, lagi rezeki bertambah.

"Jadi Balqis dan suami tak merancang, kalau ada rezeki untuk timang cahaya mata awal, kami bersedia dan kalau ada anak sekalipun nanti, ia tak akan jejaskan tumpuan Balqis pada karier," kata Balqis pada majlis resepsi bagi pihak lelaki itu yang diadakan di Dewan Seri Amar, Chukai, di sini.

Balqis atau nama sebenarnya, Nor Balqis Ahmad Tajudin diijabkabulkan dengan Hakimi yang juga seorang ahli perniagaan dalam satu majlis yang cuma dihadiri keluarga dan rakan terdekat pada 30 November lalu di The Regency Waterfront Kuala Terengganu.

Kata Balqis lagi, keputusan untuk berkahwin awal juga agar hubungan mereka lebih manis dipandang kerana mereka berdua yang berasal dari Kemaman telah mengenali antara satu sama lain sejak empat tahun lalu.

Suami Balqis juga jenis yang sangat memahami kerjaya seni Balqis, dia tak halang karier selagi tak melebihi batas," katanya.

Malah, menurutnya, sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada suami tersayang itu juga dia akan melebarkan lagi karier seninya dengan terjun ke bidang lakonan pula pada bulan depan.

Tambah Balqis, dia akan berlakon dalam drama rantaian untuk TV3 yang akan menjalani penggambaran pada Februari ini.

Dalam pada itu, selepas hampir dua bulan bergelar isteri, Balqis berkata, tugas sebagai suri rumah termasuk memasak dilakukan sendiri bagi mengeratkan lagi ikatan suami isteri yang baharu terbina.

"Banyak perubahan yang Balqis rasa selepas nikah, ia jadikan Balqis lebih matang. Walaupun selepas ini Balqis akan lebih sibuk dengan karier seni, namun keutamaan tetap pada suami," katanya.

Balqis juga meluahkan rasa terharu apabila majlis resepsi itu dibanjiri kira-kira 15,000 tetamu termasuk peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihatnya dan suami berada di atas pelamin.

"Sebenarnya perasaan Balqis bercampur baur, Balqis rasa bertuah, gembira dan bersyukur kerana ramai yang hadir termasuk peminat.

"Tapi Balqis juga sedikit kecewa dan terkilan kerana ayah Balqis baru meninggal dunia pada 11 Januari lalu, arwah ayah nak sangat berada di sisi Balqis pada hari bersejarah ini tapi tak sempat," katanya sebak.

Sementara itu, bapa mertua Balqis, Datuk Seri  Rahim Hussin  berkata, pihaknya tidak menghalang Balqis meneruskan karier seninya namun ada batas yang perlu dijaga kerana Balqis sudah bergelar seorang isteri dan pada masa akan datang akan jadi seorang ibu.

"Saya sebenarnya sudah anggap Balqis seperti anak sebab saya dengan arwah ayah Balqis adalah kawan baik, saya pun tak sangka anak saya berkenan pada Balqis dan saya terima pilihan anak seadanya," katanya.

Mohamed Rahim turut meluahkan rasa gembira dengan kehadiran kira-kira 15,000 tetamu pada majlis berkenaan yang dianggap sangat ramai biarpun cuaca hujan.

Lebih menggembirakan, katanya, kehadiran ramai tetamu kaum Cina menyerikan lagi majlis itu dan menyerlahkan semangat 1Malaysia kerana sejak dahulu keluarga beliau rapat dengan masyarakat Cina seperti saudara mara sendiri.

Resepsi yang bertemakan 'Megat Panji Alam' iaitu pahlawan terbilang Terengganu berkenaan menyaksikan Balqis dan Hakimi anggun mengenakan busana pengantin berona kuning dan paling istimewa pasangan mempelai dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan rakan Balqis sendiri, Usop Mentor dan Wany Hasrita.

No comments:

Post a Comment