KUALA NERUS, 21 Jan (Bernama) -- Poliklinik akan dibangunkan di lima kem tentera dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan dan rawatan untuk anggota tentera, keluarga mereka dan juga veteran, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau berkata poliklinik yang perkhidmatannya menyamai sebuah hospital daerah itu masing-masing akan dibangunkan di kem tentera di Sungai Petani, Kedah; Seberang Takir dan Kuala Nerus, Terengganu, Sarawak dan Sabah.
"Sebelum ini di kem ada pusat kesihatan dan pergigian...bila ada poliklinik ini kelak rawatan yang akan diberikan adalah lebih khusus di mana ada mesin dialisis dan sebagainya yang perkhidmatannya menyamai sebuah hospital daerah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan jamuan petang Veteran Bersama Panglima Angkatan Tentera bagi Zon Timur, di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 500 anggota veteran Zon Timur itu turut dihadiri Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Datuk Azizan Md Delin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Mejar Jeneral Datuk Mohamd Khir Abdullah.
No comments:
Post a Comment