Sunday, January 28, 2018

"GEMPUR TUMPUAN EMPAT P" AKAN DILANCAR SEGERA

DUNGUN, 27 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu bertekad memberi tumpuan sepenuhnya untuk merampas kembali empat kawasan parlimen yang kini diwakili pembangkang, dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata program 'Gempur Tumpuan Empat P' akan dilancarkan dalam tempoh masa terdekat.

"Kita akan lancarkan program itu bermula di Parlimen Kuala Terengganu, diikuti Parlimen Kuala Nerus, Parlimen Marang dan akhir sekali Parlimen Dungun.

Jadi keempat-empat parlimen itu kita akan memberi tumpuan sepenuhnya kerana kita yakin dan nampak potensi serta peluang mendapatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen amat cerah sekali. Kita juga tidak akan mengabaikan kawasan yang telah kita menangi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Semarak Kasih Kepimpinan UMNO DUN Bukit Besi di sini yang turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Rosli Daud dan Ketua Bahagian UMNO Dungun Datuk Din Adam.

Ketika ini BN menguasai empat parlimen iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala empat lagi (Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun) milik pembangkang.

Ahmad Razif berkata, anggota UMNO dan BN akan bekerja keras dengan menggunakan konsep perpaduan dan bersepadu melibatkan semua jentera yang akan digandingkan serta mendapat bantuan daripada UMNO dan BN pusat.

"Hari ini kita mendapat bantuan daripada Prof Dr Ibrahim Abu Shah, yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia, telah datang ke sini dan secara tidak langsung kita mendapat bantuan daripada UMNO pusat untuk memastikan Bukit Besi memperolehi majoriti yang lebih besar bagi membantu memenangi Parlimen Dungun," katanya.

Mengenai DUN Bukit Besi, Ahmad Razif yang turut melancarkan jentera Jalinan Rakyat (JR), beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya momentum pergerakan parti dan sambutan masyarakat sangat baik.

"Bila kita melihat kepada kekuatan dan program-program yang dijalankan, saya yakin bahawa Bukit Besi kita akan memperolehi majoriti yang lebih baik kerana di sini tidak mempunyai isu yang berbangkit," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment