KUALA TERENGGANU, 25 Jan (Bernama) -- Petugas media di Terengganu diminta menyokong agenda Kerajaan Negeri melalui lapan prinsip dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) kerana ia adalah landasan tepat dalam membangunkan negeri ini menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan petugas media dengan kedua-dua pihak saling memahami dan menyokong peranan dan tanggungjawab satu sama lain.
"Media sangat penting dalam menyalurkan maklumat tepat dan benar agar masyarakat dapat memahami sesuatu isu dengan sempurna supaya mereka tidak mudah dikelirukan dengan agenda pihak tidak bertanggungjawab.
"Dalam dunia teknologi tanpa sempadan, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi, sudah pasti cabarannya lebih sengit.
"Pelbagai maklumat tidak tepat akan disebarkan pihak yang mempunyai agenda tertentu, di sinilah kerajaan negeri berharap agar petugas media Terengganu terus bersama-sama memberi pendedahan sebenar supaya rakyat dapat menilai situasi yang betul hasil laporan yang disiarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Tabung Amanah Warisan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) dan makan malam bersama media bertema 'Kembali Ke Sekolah 2018' di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles, Presiden KAWAT Wan Abdul Rahman Hayat dan lebih 170 petugas media di Terengganu.
Pada majlis itu juga, Ahmad Razif mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada KAWAT bagi tujuan pengurusan dan menyampaikan bantuan persekolahan kepada semua petugas media.
Sementara itu, Wan Abdul Rahman berkata KAWAT sentiasa berusaha bergerak seiring misi dan visi kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam membantu agenda pembangunan negara dan negeri khususnya.
"Kami sangat berterima kasih dengan kecaknaan Menteri Besar yang sentiasa peka dengan keperluan petugas media di negeri ini, terutama dalam menjaga kebajikan kami selama ini," katanya.
Beliau memberitahu tabung itu bertujuan menjaga kebajikan pengamal media yang menjadi anggota penerima manfaat tabung tersebut ketika ditimpa musibah agar dapat meringankan beban mereka.
Penyertaan adalah secara sukarela dengan yuran komitmen sebanyak RM50 manakala sumbangan bulanan hanya RM10 seorang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment