BESUT, 20 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu mempunyai kekuatan tersendiri dalam memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata keistimewaan BN yang tidak dimiliki parti lain adalah bantuan untuk rakyat disalurkan secara berterusan dan tidak secara bermusim malah setiap janji yang dilafazkan pasti ditunaikan demi kebajikan rakyat.
Idris yang juga anggota Parlimen Besut memberikan contoh bahawa di Besut program Rumah Komuniti untuk golongan rakyat miskin telah dilaksanakan secara berterusan dan janji untuk membina 200 unit rumah itu telah tercapai.
"Begitu juga dengan aspek pendidikan di Besut, apa yang kita (BN) janjikan pasti dilaksanakan dengan pembinaan banyak institusi pengajian tinggi seperti Kolej Komuniti dan Politeknik - pada dasarnya rakyat lebih tahu apa perubahan positif yang dibawa BN kepada mereka selama ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Marang semalam yang menaruh keyakinan tinggi dapat memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Terengganu pada PRU14.
Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi yakin BN Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan dapat mencatatkan kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment