Wednesday, October 3, 2018

TERENGGANU TIDAK BENARKAN ISLAND MUSIC FESTIVAL 2018 DIANJURKAN




KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu tidak pernah mengeluarkan permit penganjuran Island Music Festival 2018 meskipun tular di media sosial yang ia akan berlangsung dari 12 hingga 14 Okt ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Beliau berkata festival itu tidak akan diadakan di Pulau Redang seperti diuar-uarkan malah mesyuarat mingguan Exco negeri hari ini memutuskan menolak permohonan penganjur kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga tidak mengeluarkan sebarang notis kebenaran penganjurannya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, hari ini..

“Penularan video ini memberi impak negatif kepada negeri. Kita tengok iklan yang ditularkan di laman sosial langsung tidak menepati dan menyimpang banyak daripada enakmen hiburan negeri yang ditetapkan. Visual yang ditayangkan banyak menampilkan adegan seksual.

“Ini menyalahi prinsip moral, ketimuran apa lagi agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. Oleh itu selepas mengambil pandangan banyak pihak dan juga komuniti di Pulau Redang...kita ambil keputusan untuk tidak keluar permit,” katanya.

Mengulas lanjut, Alias berkata bagi memastikan pihak penganjur mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri, pasukan penguat kuasa PBT akan ditempatkan di Pulau Redang bagi memantau sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan.

“Kita dapati festival ini telah dianjurkan sejak 2013 lagi dan mereka tidak pernah ambil permit daripada PBT, bila ada isu baru minta (buat permohonan) baru-baru ini.

“Kita telah panggil mereka berbincang tetapi penganjur, FGS KL sehingga sekarang tidak datang. Jadi kami buat keputusan untuk tidak benarkan kerana festival sebelum ini kami dapati banyak berlaku sesuatu yang melanggar batas sosial seperti pesta arak dan zina,” katanya.

Alias berkata Terengganu bukanlah menyekat semua bentuk hiburan, tetapi ia perlu mematuhi syarat tertentu berdasarkan peraturan sedia ada dalam Enakmen Hiburan Negeri Terengganu 2003.

Antara garis panduan yang ditekankan ialah tidak boleh berlaku percampuran terlampau antara lelaki dan perempuan di atas pentas serta lagu-lagu yang dipersembahkan tidak mengandungi lirik melalaikan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment