KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Jambatan angkat bernilai RM248 juta yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus yang sepatutnya siap bulan ini, dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata meskipun berlaku sedikit kelewatan dalam pembinaan projek itu namun kerajaan negeri yakin ia akan siap sepenuhnya Februari depan dan dibuka kepada orang ramai dua bulan selepas itu (April).
"Kelewatan itu antaranya disebabkan ada sedikit penambahan pada lif, beberapa lagi kerja di tingkat 14 dan di bahagian menara jambatan angkat tersebut yang masih belum siap.
"Jambatan angkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 manakala di tingkat 13 pula ada ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan.
"Di sebelah selatan pula, akan ada galeri untuk orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu, khususnya pada waktu malam," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata jambatan itu kelak tidak akan memberi masalah kepada golongan nelayan kelas C kerana dibina pada ketinggian yang sepatutnya.
"Difahamkan jambatan angkat itu akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).
No comments:
Post a Comment