Sunday, October 14, 2018

PEMERGIAN SALEEM ANAK TERENGGANU YANG SUKAR DICARI GANTI

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pemergian Allahyarham Saleem satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air kerana beliau adalah seorang penyanyi yang unik dan sukar dicari ganti.

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave berkata Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed mempunyai suara yang hebat selain mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik.

“Allahyarham apabila menyanyi secara ‘live’ dan rakaman, suaranya apabila didengar sama sahaja...ini tidak boleh diganti,” katanya ketika ditemui pemberita di surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras di sini, hari ini.

DJ Dave, penyanyi popular dekad 1970-an itu menyifatkan Allahyarham Saleem sebagai seorang peramah, mudah mesra dan sahabat yang baik.

“Saya terkejut mendengar berita pemergian Allahyarham..Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa jenazah penyanyi Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed, selamat dikebumikan pada 2.15 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini.

Allahyarham Saleem meninggal dunia kira-kira 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan disolatkan di Surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran keluarga, saudara mara, kenalan serta rakan artis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Saleem.

Isterinya, Juriah Bachok merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir membantu beliau sekeluarga.

“Saya reda dengan pemergiannya...Dia (Saleem) seorang yang baik serta tidak pernah kacau orang lain," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

“Dia juga tidak mahu tunjuk dia sakit, memang lepas kemalangan dia tidak boleh bercakap banyak tetapi dia sentiasa positif,” jelas Juriah.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’ bersama kumpulan Iklim, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 Sept lepas yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk

No comments:

Post a Comment