Wednesday, October 24, 2018

KPDNHEP DAN MOF BINCANG MEKANISME BAHARU SUBSIDI PETROL BERSASAR

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan sedang dalam peringkat perbincangan mengenai mekanisme baharu subsidi petrol bersasar bersama pihak-pihak berkepentingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan tersebut mengambil kira implikasi kewangan kepada kerajaan, selain memastikan sistem pemberian subsidi itu dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Saya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat merangka satu mekanisme setelah meninjau aspek-aspek tersebut serta meneliti kumpulan yang benar-benar layak untuk mendapat subsidi itu.

“Aspek yang diambil kira dalam menentukan kelayakan itu antaranya paras pendapatan atau jenis kenderaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan, di sini hari ini.

Selain menyasarkan golongan berpendapatan terendah (B40), katanya kementerian turut mengambil kira kesan pelaksanaan mekanisme baharu itu kelak kepada golongan pertengahan (M40).

No comments:

Post a Comment