Tuesday, October 16, 2018

SETPOL MENTERI TIADA HAK BUAT KENYATAAN AKHBAR DAKWA TAJUDDIN



KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang membidas tindakan Tony Pua yang disifatkan melangkaui bidang tugas setiausaha politik menteri kewangan dalam mengeluarkan kenyataan.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) merujuk tindakan Pua membuat kenyataan berhubung projek mega, termasuk Transit Aliran Massa 2 (MRT2).

“Saya nak tanya timbalan menteri, apa kuasa yang ada pada setiausaha politik ini? Dia kata projek MRT hendak dibatalkan, perlu ditender semula, siapa dia ini?

“Setiausaha politik tidak ada hak mengeluarkan kenyataan tentang perkara yang berkaitan dengan hal-hal menteri dan kerajaan,” katanya yang bangkit mencelah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi bagaimanapun enggan menjawab soalan Tajuddin.

Tajuddin berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Pua berhubung perkembangan projek di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pada 10 Oktober lalu, Pua dilaporkan berkata, kerajaan tidak menamatkan projek kerja bawah tanah MRT2, sebaliknya akan memberi tender kepada kontraktor yang boleh melaksanakan projek itu dengan kos lebih rendah.

Ia selepas Lim mengumumkan keputusan Kabinet menamatkan kontrak kerja bawah tanah MRT2 dengan MMC-Gamuda dan memutuskan untuk menawarkan semula tender semua kerja bawah tanah yang belum siap.

Sementara itu, Radzi berkata, kenyataan Pua termasuk berkaitan penjualan aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Saya ambil maklum kenyataan ahli Parlimen Damansara, tapi itu pendirian beliau dan bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Kerajaan sedang melihat penjualan aset, kalau diperlukan. Tidak guna buat spekulasi berdasarkan kenyataan setiausaha politik menteri kewangan. Kita tunggu kenyataan kerajaan,” kata Radzi.

Pada 9 Oktober lalu, Pua dilaporkan berkata, PNB dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menyemak semula serta melepaskan aset bukan strategik sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan hutang negara.

Katanya, Kementerian Kewangan juga akan melihat pegangan bukan teras dan aset bukan strategik bagi meneroka nilai penuhnya, selain bekerjasama dengan sektor swasta menentukan bagaimana aset itu boleh dilepaskan dengan cara teratur.

Bagaimanapun, Pua semalam berkata, PNB tidak akan terjejas kerana dana dan pelaburannya dimiliki pemegang saham, bukannya kerajaan.

No comments:

Post a Comment