Wednesday, October 31, 2018

KES SUDAH DITARIK BALIK TAPI MEDIA YANG HEBOHKAN



KUALA LUMPUR: Selepas heboh dakwaan seorang anggota parlimen Perlis melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil memberi penjelasan.

Dalam sidang media di parlimen hari ini anggota parlimen Arau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan dirinya itu.

Kata Shahidan, ini kerana kedua-dua pihak kini telah membuat permohonan maaf ekoran "salah faham" yang berlaku.

“Saya pasti semua pihak memahami perkara ini dan minta tidak dipanjangkan perkara ini dan kita serah kepada pihak polis.

“Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya.

Menurut Shahidan yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, dakwaan kononnya beliau berduaan dalam kereta adalah tidak benar.

Namun, kata Shahidan pertemuan di dalam kereta itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan yang dinaikinya.

“Sebagai wakil rakyat saya memberi galakan kepada semua anak supaya terlibat dalam aktiviti yang halal. Jadi ada kumpulan busker, muzik saya tolong semua, jadi itu perkara biasa.

“Kalau ada tempat kenduri pun saya tolong, jadi atas niat ini, saya anggap anak-anak dan cucu saya. Jadi tidak timbul ingin lebih daripada itu, lagi pun saya tak berapa boleh berjalan,” katanya.

Ketika diminta mengulas dakwaan beliau menyentuh pada bahagian tangan dan bahu, Shahidan enggan mengulas lanjut.

“Itu semua ada dalam keterangan saya,” katanya ringkas meskipun beberapa kali diasak pemberita dengan soalan yang sama.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Perlis itu berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan menyebarkan dakwaan tersebut.

Namun, kata Shahidan ia akan membincangkan perkara itu dengan peguamnya Thalia Rohaina Abdul Latiff.

“Saya akan berbincang dengan peguam berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang tapi sudah pasti saya tidak akan berdiam diri.

“Kes ini sudah ditarik balik tetapi yang membukanya semula adalah pihak media. Ini merupakan penganiayaan terhadap keluarga ini, biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan,” katanya.

Semalam, Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dilapor telah merakamkan keterangan Shahidan selama tujuh jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini.

Tuesday, October 30, 2018

JABATAN AGAMA ISLAM PERAK LANCAR WEBSITE CARI JODOH

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini melancarkan portal mencari jodoh, yang pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh agensi kerajaan sebagai usaha untuk membantu individu khususnya yang lanjut usia mencari mencari pasangan.

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata portal yang dibangunkan oleh JAIPk dengan kerjasama kPerak, anak syarikat kerajaan negeri itu, boleh diakses menerusi laman web cintasakinahjaipk.perak.my mulai hari ini.

Bagaimanapun ada beberapa syarat yang dikenakan ke atas individu yang ingin mendaftar di portal itu antaranya beragama Islam dan belum berkahwin.

"Sebagai contoh individu itu belajar atau bekerja dan sukar mendapat jodoh, jadi kita akan bantu mereka dengan kandungan yang ada dalam laman web itu untuk memudahkan mereka mencari jodoh. Buat sementara ini keutamaan adalah rakyat Perak dan sekiranya sambutan diterima mengalakkan kemungkinan usaha itu akan dikembangkan ke peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran laman sesawang itu dan Modul Pemahaman Poligami Negeri Perak yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak Asmuni Awi di sini

Monday, October 29, 2018

RUMAH UNTUK REMAJA HAMIL TANPA NIKAH DILANCAR DI TERENGGANU


MARANG, 28 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini melancarkan Rumah Generasiku Sayang (RGKS) yang pertama di negeri ini bagi memberi perlindungan kepada remaja yang hamil tanpa ikatan perkahwinan.

Pengarahnya Dr Mohd Jusoh berkata buat permulaan RGKS yang terletak di Bukit Payong, di sini hanya mampu menerima lapan penghuni pada satu-satu masa dan akan dikendalikan oleh kakitangan JKNT serta sukarelawan yang bergabung tenaga memberi perkhidmatan kepada remaja tidak bernasib baik.

"Program ini adalah satu inisiatif 'safe motherhood' oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu remaja hamil tanpa nikah mendapat rawatan antenatal, postnatal, psikososial, bimbingan kerohanian dan mengelakkan pengguguran haram.

"Ia mengambil model RGKS yang diperkenalkan negeri Johor bagi memberi perlindungan serta kesejahteraan kepada ibu dan bayi sebelum diteruskan di Kelantan. JKNT juga telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Generasiku Sayang (PKGKST) untuk tujuan pengurusan rumah itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran RGKS Negeri Terengganu 'Raudhatul Nisaa' di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd berkata RGKS yang beroperasi sejak 1 Okt lalu tidak hanya dibuka kepada remaja yang berasal dari negeri ini. Malah mereka dari luar yang mempunyai masalah kehamilan luar nikah dan tidak mempunyai hala tuju juga boleh mendapatkan bantuan.

Sunday, October 28, 2018

40 AHLI PARLIMEN UMNO AKAN SERTAI BERSATU BUKAN CAKAP CAKAP KOSONG



ARAU 28 Okt. - Dakwaan terdapat kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan cakap-cakap kosong sebaliknya bakal menjadi realiti dalam tempoh terdekat.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris memberitahu, kebanyakkan mereka sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan tertinggi parti seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan hasrat tersebut.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin tersebut, beliau berkata, proses tersebut pada masa ini sudah 80 peratus selesai.

“Memang betul ada (akan ada pemimpin UMNO sertai Bersatu), mereka telah berjumpa Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Bila dan siapa, minta maaf saya tidak boleh dedahkan dengan lebih lanjut.Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di Pusat Tranformasi Nelayan, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin turut mendedahkan perkara sama dan memaklumkan pemimpin-pemimpin terbabit sama ada secara perseorangan atau berkumpulan telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi parti.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO baru-baru ini mengesahkan menyertai Bersatu.

Sementara itu, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa Bersatu melakukan provokasi bagi menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri adalah tidak benar.

“Soal ini (Ahli Parlimen UMNO akan sertai Bersatu) tidak ada kena mengena dengan Anwar,” katanya-


Saturday, October 27, 2018

TOK PA PERLU DILANTIK MENTERI GANTI MENTERI "KASUT HITAM"

TANGKAK, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penyertaan Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam parti adalah ikhlas dan tidak berhajat memegang sebarang jawatan.

Beliau berkata Mustapa atau Tok Pa membuat keputusan itu kerana beliau yakin dengan perjuangan parti itu selain menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi BERSATU.

“Mustapa awal-awal lagi menyatakan kepada saya dia tidak berhajat untuk memegang apa-apa jawatan dalam parti, dan saya yakin beliau bersikap ikhlas untuk menyertai parti.

“BERSATU sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang boleh memperkukuhkan parti dan Mustapa pun dah lama (dalam politik) juga sebagai menteri dan anggota parlimen,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pemimpin tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengakui beberapa anggota Parlimen UMNO yang lain ada membuat pertemuan dengannya untuk bertanyakan pandangan mengenai penyertaan dalam Bersatu namun mereka tidak membuat sebarang keputusan.

Mustapa yang bertindak keluar UMNO bulan lepas, menyerahkan borang keanggotaannya secara rasmi kepada Dr Mahathir sambil disaksikan Muhyiddin dan pimpinan tertingginya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan di Petaling Jaya, malam tadi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum memuktamadkan pemansuhan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk diteliti terlebih dahulu sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Kita sedang mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak, media pun buat kajian ada yang setuju ada yang tidak, setakat ini keputusan muktamad belum dibuat,” kata Muhyiddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gambir.

Beliau berkata, meskipun banyak negara lain telah melaksanakan pemansuhan berkenaan, namun Malaysia perlu meneliti pelbagai sudut sebelum mengambil langkah sama.

Friday, October 26, 2018

NEGERI SEMBILAN NEGERI PERTAMA TARIK DARJAH KEBESARAN NAJIB DAN ROSMAH

SEREMBAN, 26 Okt (Bernama) — Berikut adalah kenyataan akhbar mengenai Penarikan Darjah Kebesaran kerajaan Negeri Sembilan.

Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang diadakan pada 26 Oktober 2018 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan telah memutuskan bahawa pengurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) kepada Mohd. Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak pada tahun 2005 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.5 bertarikh 2 Mac 2006 ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Pendaftar Darjah Dr Razali Ab Malik dalam satu kenyataan hari ini berkata

dalam mesyuarat tersebut juga telah memutuskan bahawa pengurniaan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) kepada Rosmah Bt. Mansor pada tahun 2006 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.23 Tambahan 1 bertarikh 9 November 2006 ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Di-Raja di Negeri Sembilan.

— BERNAMA

Thursday, October 25, 2018

JAMBATAN ANGKAT SIAP PADA FEBRUARI HADAPAN

KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Jambatan angkat bernilai RM248 juta yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus yang sepatutnya siap bulan ini, dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata meskipun berlaku sedikit kelewatan dalam pembinaan projek itu namun kerajaan negeri yakin ia akan siap sepenuhnya Februari depan dan dibuka kepada orang ramai dua bulan selepas itu (April).

"Kelewatan itu antaranya disebabkan ada sedikit penambahan pada lif, beberapa lagi kerja di tingkat 14 dan di bahagian menara jambatan angkat tersebut yang masih belum siap.

"Jambatan angkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 manakala di tingkat 13 pula ada ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan.

"Di sebelah selatan pula, akan ada galeri untuk orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu, khususnya pada waktu malam," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata jambatan itu kelak tidak akan memberi masalah kepada golongan nelayan kelas C kerana dibina pada ketinggian yang sepatutnya.

"Difahamkan jambatan angkat itu akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).

Wednesday, October 24, 2018

KPDNHEP DAN MOF BINCANG MEKANISME BAHARU SUBSIDI PETROL BERSASAR

PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan sedang dalam peringkat perbincangan mengenai mekanisme baharu subsidi petrol bersasar bersama pihak-pihak berkepentingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan tersebut mengambil kira implikasi kewangan kepada kerajaan, selain memastikan sistem pemberian subsidi itu dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Saya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat merangka satu mekanisme setelah meninjau aspek-aspek tersebut serta meneliti kumpulan yang benar-benar layak untuk mendapat subsidi itu.

“Aspek yang diambil kira dalam menentukan kelayakan itu antaranya paras pendapatan atau jenis kenderaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan, di sini hari ini.

Selain menyasarkan golongan berpendapatan terendah (B40), katanya kementerian turut mengambil kira kesan pelaksanaan mekanisme baharu itu kelak kepada golongan pertengahan (M40).

Tuesday, October 23, 2018

FRIM HASILKAN PRODUK ANTI GOUT

SETIU, 23 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terus mencipta inovasi baharu dalam bidang perubatan negara dengan penghasilan produk anti gout daripada pokok cucur atap yang tumbuh meliar di sekitar kawasan pantai di Terengganu.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata pokok cucur atap atau nama saintifiknya Baeckea Frutescens telah lama digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti sembelit, sakit perut, sakit belakang dan turut digunakan bersama herba lain untuk mengawal tekanan darah dan paras gula dalam darah.

"Hasil kajian saintifik FRIM selama lapan tahun juga mendapati herba ini mempunyai nilai perubatan yang berpotensi sebagai anti gout.

"Prototaip produk herba cucur atap yang dilancarkan hari ini juga didapati sangat berkesan menghalang penghasilan dan pengumpulan asid urik di bahagian sendi. Ia telah pun dipatenkan dan akan dipasarkan secara komersial dengan mana-mana pihak yang berminat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran produk prototaip anti gout dikenali sebagai GouTree di Stesen Penyelidikan FRIM dekat Bari di sini hari ini.

Penggunaan produk itu boleh diambil dalam dua kaedah iaitu dengan cara memakan kapsulnya atau kaedah semburan di bahagian sendi yang sakit.

Mengulas lanjut, beliau berkata penemuan baharu itu juga bakal memberi impak positif kepada ekonomi Terengganu kerana negeri ini mempunyai 60,000 hektar keluasan tanah berpasir yang sangat sesuai ditanam pokok cucur atap..

Monday, October 22, 2018

HORMATI APA YANG DILAKUKAN SPRM




 
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar dipersalahkan dalam siri siasatan dan penahanan pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau menghormati dan mempercayai kebebasan SPRM dalam melakukan siasatan dan meminta supaya orang ramai tidak mempersoalkan tindakan badan bebas itu.

“Menurut saya, apa yang SPRM lakukan itu kita perlu hormati. Sekiranya ada yang mahu membela diri mereka boleh ke mahkamah, jangan salahkan SPRM.

“Kena ingat dulu saya Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang menjaga SPRM dari tahun 2004 sehingga 2013. Saya yakin dan percaya tentang kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Selain bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut terbabit dengan siasatan oleh SPRM baru-baru ini.

Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas berkata beliau menyokong cadangan pengisytiharan harta anggota Kabinet dan anggota Parlimen kepada SPRM.

“Sekiranya itu yang diputuskan kerajaan kita akur la dan itu sudah cukup, tidak perlu libatkan anak atau keluarga mereka,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, October 21, 2018

PM DAH SURUH ANTHONY LOKE AMBIL TINDAKAN TAPI TAK ADA KEMAJUAN



LANGKAWI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan rasa kecewanya dengan sikap pemandu teksi yang enggan mendengar penjelasannya berkaitan isu e-hailing.

Kejadian itu berlaku apabila kira-kira 10 pemandu teksi bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu sesi dialog yang diadakan bersama perdana menteri di Langkawi.

Sesi dialog itu dihadiri hampir 200 pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan Grab yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan mereka, lapor Berita Harian.

“Saya nak tolong tapi kalau tak ada bantuan...saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara...orang panggil balik, jadi saya datang.

“Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum kejadian itu, Dr Mahathir berkata Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan dan membayar insuran serta cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan yang adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam kabinet. Saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi, saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan majlis perjumpaan itu kecoh apabila beberapa orang anggota persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Sekitar 10 pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu berlaku sekitar dua minit sebelum reda.

Saturday, October 20, 2018

ABIM KEKAL RELEVAN SELAMA 47 TAHUN

NILAI, 20 Okt (Bernama) — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia disaran untuk mencontohi model pergerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang bukan sahaja menjadi suara lantang anak muda tetapi juga kekal relevan selama 47 tahun sejak penubuhannya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ABIM ialah antara pertubuhan yang mengangkat dan menerajui gerakan Islam yang progresif dan moderate, selain berjaya melahirkan ramai pemimpin yang disegani di Malaysia.

“ABIM telah mendapat penarafan lima bintang dari Kementerian Belia dan Sukan dan kita memang mahu memberi penghargaan menerusi bantuan kewangan kepada pertubuhan itu.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk memberi apa sahaja bantuan dan dalam masa sama menjadikan pertubuhan ini sebagai contoh kepada NGO belia yang lain,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Relawan Malaysia di sini malam ini.

Syed Saddiq berkata ABIM perlu sentiasa komited menjadi benteng dan gerakan utama mempertahankan nasib anak muda, walaupun landskap politik di negara akan sentiasa berubah

SPRM SAHKAN MYEG SERVICES BERHAD TIDAK DISIASAT

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) – MyEG Services Bhd dan Lembaga Pengarahnya tidak disiasat, atau menjadi pihak yang terlibat dalam siasatan yang membawa kepada dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Syarikat telah menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan dan menjelaskan bahawa MYEG dan Lembaga Pengarahnya tidak disiasat, atau menjadi pihak yang terlibat dalam siasatan yang membawa kepada dakwaan terhadap Ahmad Zahid,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, saham MyEG di Bursa Malaysia diniagakan dalam jumlah yang besar susulan berita syarikat itu dikaitkan dengan dakwaan terhadap Ahmad Zahid.

Beliau didakwa menerima 10 cek bernilai RM5 juta untuk membantu sebuah syarikat mendapat projek MyEG.

Selain itu, beliau didakwa menerima RM250,000 dalam kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk membantu sebuah syarikat perunding mendapat projek MyEG.

Ahmad Zahid turut didakwa menerima 13 cek berjumlah RM8 juta untuk membantu sebuah syarikat mendapat projek MyEG dan meminta dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan itu.

Dagangan dalam saham MyEG digantung dari 2.30 petang dan akan disambung semula pada 22 Okt (Isnin

Thursday, October 18, 2018

ZAHID PERLU BERCUTI PEGANG JAWATAN PRESIDEN UMNO



KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin perlu bercuti daripada menjalankan tugas-tugas parti selepas berdepan dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram hari ini.

Timbalannya, Datuk Mohamad Hassan (di atas), memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

"Ia (amalan ini) digunakan untuk mengggantung pemimpin yang menghadapi tuduhan, tetapi SOP baru memerlukan mereka yang didakwa bercuti.

"Bagaimanapun, jika mereka kemudiannya didapai tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka," katanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 10.20 pagi ini.

Beliau menambah bahawa SOP dibuat dengan tujuan untuk melindungi Umno daripada dituduh atau dikaitkan dengan sebarang salahlaku.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat di kalangan ahli Umno, berkata perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan oleh jawatankuasa pengurusan parti itu.

Keputusan dari mesyuarat itu, katanya, akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno untuk membuat keputusan.

ZAHID HAMIDI ENGGAN DIIKAT JAMIN

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan peguamnya bagi membuat permohonan kebenaran untuk diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Perkara itu dimaklumkan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan SPRM.

“Peguam nak bagi dia keluar tetapi dia tak nak. Dia (Ahmad Zahid) akan di sini sampai esok pagi dan dari sini (Ibu Pejabat SPRM) pergi ke mahkamah (Kuala Lumpur),” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya, Hamidah berkata : “Saya ok”.

“Dulu, masa dia (Ketua) Pemuda UMNO, dia ditahan 10 hari (di bawah ISA),.. jangan bimbang, doakan untuknya,” kata Hamidah.

SPRM hari ini memaklumkan penahanan Ahmad Zahid berhubung kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bekas timbalan perdana menteri itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada 8.00 pagi untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

-- BERNAMA

Wednesday, October 17, 2018

TEY SEDIA SERAH KEMBALI PINGAT DATUK MELAKA

MELAKA,17 Okt (Bernama) -- “Saya terima pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kerana menghormati anugerah yang diberikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob,” kata Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok View.

“Penganugerahan tersebut adalah satu penghargaan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka atas jasa dan sumbangan yang saya berikan kepada kerajaan negeri dan saya menghargainya,” kata Tey kepada pemberita di sini hari ini.

Tey yang juga anggota Exco bagi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar berkata beliau bagaimanapun akur dengan arahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sekiranya diminta untuk menyerahkan kembali pingat tersebut yang membawa gelaran Datuk.

Katanya sehingga kini, beliau belum menerima sebarang arahan daripada pusat untuk berbuat demikian.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima anugerah darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka “sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat”.

Tuesday, October 16, 2018

SETPOL MENTERI TIADA HAK BUAT KENYATAAN AKHBAR DAKWA TAJUDDIN



KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang membidas tindakan Tony Pua yang disifatkan melangkaui bidang tugas setiausaha politik menteri kewangan dalam mengeluarkan kenyataan.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) merujuk tindakan Pua membuat kenyataan berhubung projek mega, termasuk Transit Aliran Massa 2 (MRT2).

“Saya nak tanya timbalan menteri, apa kuasa yang ada pada setiausaha politik ini? Dia kata projek MRT hendak dibatalkan, perlu ditender semula, siapa dia ini?

“Setiausaha politik tidak ada hak mengeluarkan kenyataan tentang perkara yang berkaitan dengan hal-hal menteri dan kerajaan,” katanya yang bangkit mencelah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi bagaimanapun enggan menjawab soalan Tajuddin.

Tajuddin berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Pua berhubung perkembangan projek di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pada 10 Oktober lalu, Pua dilaporkan berkata, kerajaan tidak menamatkan projek kerja bawah tanah MRT2, sebaliknya akan memberi tender kepada kontraktor yang boleh melaksanakan projek itu dengan kos lebih rendah.

Ia selepas Lim mengumumkan keputusan Kabinet menamatkan kontrak kerja bawah tanah MRT2 dengan MMC-Gamuda dan memutuskan untuk menawarkan semula tender semua kerja bawah tanah yang belum siap.

Sementara itu, Radzi berkata, kenyataan Pua termasuk berkaitan penjualan aset Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Saya ambil maklum kenyataan ahli Parlimen Damansara, tapi itu pendirian beliau dan bukan pendirian rasmi kerajaan.

“Kerajaan sedang melihat penjualan aset, kalau diperlukan. Tidak guna buat spekulasi berdasarkan kenyataan setiausaha politik menteri kewangan. Kita tunggu kenyataan kerajaan,” kata Radzi.

Pada 9 Oktober lalu, Pua dilaporkan berkata, PNB dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menyemak semula serta melepaskan aset bukan strategik sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan hutang negara.

Katanya, Kementerian Kewangan juga akan melihat pegangan bukan teras dan aset bukan strategik bagi meneroka nilai penuhnya, selain bekerjasama dengan sektor swasta menentukan bagaimana aset itu boleh dilepaskan dengan cara teratur.

Bagaimanapun, Pua semalam berkata, PNB tidak akan terjejas kerana dana dan pelaburannya dimiliki pemegang saham, bukannya kerajaan.

Monday, October 15, 2018

KERAJAAN SERU LEBIH RAMAI HULUR SUMBANGAN KEPADA TDI



KUALA TERENGGANU, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menyeru lebih ramai individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan kepada Tabung Darul Iman (TDI) bagi membantu pesakit kronik dan mereka yang ditimpa musibah selain bencana alam.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setakat Ogos lepas, sebanyak RM3.8 juta telah diagihkan kepada hampir 3,000 penerima menerusi tabung itu.

"TDI ditubuhkan bagi membantu golongan susah dan kurang bernasib baik mengharungi dugaan hidup, seperti penyakit kronik yang pastinya memerlukan kos perubatan yang tinggi dan berterusan.

"Jumlah pemohon yang datang daripada pelbagai latar belakang dijangka meningkat dari tahun ke tahun dan kita memerlukan dana yang lebih banyak bagi menjaga kebajikan rakyat," katanya pada Majlis Makan Malam Amal TDI di Wisma Darul Iman, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat.

Sebanyak RM1.5 juta berjaya dikumpul menerusi sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT).

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri memerlukan lebih banyak dana untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti pesakit-pesakit kronik yang memerlukan peruntukan besar iaitu sekitar RM1 juta sebulan.

"Jumlah tabungan TDI pada masa ini ialah RM3.5 juta dan kita memerlukan lebih banyak dana untuk membantu rakyat yang memerlukan.

"Di samping bantuan daripada syarikat GLC kita juga menerima sokongan melalui potongan gaji penjawat awam negeri secara sukarela yang berjumlah sekitar RM10,411 sebulan," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, October 14, 2018

PEMERGIAN SALEEM ANAK TERENGGANU YANG SUKAR DICARI GANTI

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pemergian Allahyarham Saleem satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air kerana beliau adalah seorang penyanyi yang unik dan sukar dicari ganti.

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave berkata Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed mempunyai suara yang hebat selain mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik.

“Allahyarham apabila menyanyi secara ‘live’ dan rakaman, suaranya apabila didengar sama sahaja...ini tidak boleh diganti,” katanya ketika ditemui pemberita di surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras di sini, hari ini.

DJ Dave, penyanyi popular dekad 1970-an itu menyifatkan Allahyarham Saleem sebagai seorang peramah, mudah mesra dan sahabat yang baik.

“Saya terkejut mendengar berita pemergian Allahyarham..Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa jenazah penyanyi Saleem atau nama sebenarnya A.M. Salim Abdul Majeed, selamat dikebumikan pada 2.15 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini.

Allahyarham Saleem meninggal dunia kira-kira 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan disolatkan di Surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran keluarga, saudara mara, kenalan serta rakan artis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Saleem.

Isterinya, Juriah Bachok merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir membantu beliau sekeluarga.

“Saya reda dengan pemergiannya...Dia (Saleem) seorang yang baik serta tidak pernah kacau orang lain," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

“Dia juga tidak mahu tunjuk dia sakit, memang lepas kemalangan dia tidak boleh bercakap banyak tetapi dia sentiasa positif,” jelas Juriah.

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’ bersama kumpulan Iklim, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 Sept lepas yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk

Saturday, October 13, 2018

SPR HARI INI LEBIH BAIK DARI ZAMAN RASHID JADI PENGERUSI SPR



KUANTAN: Teguran Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berhubung kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak adil.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, berkata beliau dukacita dengan kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang banyak mengkritik PH, terutama Anwar.

Katanya, kenyataan dibuat Abdul Rashid satu hari sebelum proses pengundian PRK Port Dickson yang berlangsung hari ini disifatkan janggal, lebih-lebih lagi beliau pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kenyataan itu menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli PKR terhadap PPBM walaupun saya yakin ia bukan pendirian parti itu, kenyataannya itu kurang matang. Beliau sendiri pernah menjadi Pengerusi SPR.

“Saya terbabit dengan pilihan raya sejak 1955 dan mula aktif pada 1974. Saya rasa keadaan SPR hari ini lebih baik, berbanding ketika beliau menjadi Pengerusi SPR,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini, hari ini.

Beliau mengulas teguran Abdul Rashid terhadap kegiatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kempen Anwar antaranya kehadiran dua menteri, jamuan makan malam percuma dan kehadiran isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

Abdul Rashid berkata, tidak menjadi kesalahan kehadiran Dr Wan Azizah sebagai isteri dan Presiden PKR, namun memperkenalkannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kurang sesuai.

Friday, October 12, 2018

RAKYAT SEMUA KAUM TANPA KUOTA BUMIPUTERA LAYAK MOHON RUMAH PPR

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kuota bumiputera bagi pembelian rumah mampu milik akan dikaji semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kajian dan semakan semula dasar itu akan merangkumi penyeragaman harga rumah standard bagi semua lapisan masyarakat.

"Kementerian perlu masa untuk kaji semula dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri dan pembeli rumah. Kita perlu tahu sebabnya, mungkin sebab faktor demografik yang berbeza di sesuatu negeri. Kita lihat ada keperluan untuk seragamkan polisi.

"Pada dasarnya, dalam kerajaan baharu ini, rakyat akan dinilai dari segi kemampuan pendapatan dan tidaklah mengenai bangsa, kalau kita tetapkan rumah mampu milik itu untuk mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, maka kita akan gunakan garis panduan itu tidak mengira agama dan bangsa. Begitu juga dengan rumah yang berharga RM500,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX 2018) di Pusat Pameran Mid Valley anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di sini hari ini.

Thursday, October 11, 2018

ANWAR KINI IBARAT KAIN PUTIH KATA RAIS YATIM



PORT DICKSON: Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mengingatkan PAS bahawa tidak timbul soal sama ada calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Port Dickson layak atau tidak bertanding di parlimen tersebut.

Bekas menteri besar itu berkata ini jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Malaysia bahawa apa yang diperlukan oleh calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah cuma pengampunan penuh.

“PAS pun ada mengkritik, kononya Anwar ini nak dicabar kelayakkan. Tapi saya tak payah sebut siapalah yang menyebut perkara ini.

“Dia macam mahir benar undang-undang, tapi saya yakin dia mungkin mahir dari segi undang-undang, tapi bila bicarakan satu persatu akan kalah.

“Dia lupa, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Malaysia, yang diperlukan cuma pengampunan penuh dan apabila dikatakan pengampunan penuh 42 perlembagaan kita, selesai semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana, Port Dickson, malam tadi.

Mengulas lanjut, Rais menegaskan Anwar kini ibarat kain putih selepas mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan lampaunya.

“Tak ada lagi salah Anwar, kain dibandingkan kain dengan guni, beliau menjadi kain putih sekarang ini,” tegasnya.

Sementara itu, Rais juga turut menasihati calon bebas Sri Isa Abdul Samad yang juga adalah seorang lagi menteri besar Negeri Sembilan agar kembali kepada realiti kerana masanya sebagai ahli politik sudah tamat.

Katanya, berbeza dengan Anwar, Isa tidak akan mampu membawa perubahan kepada Port Dickson.

“Kamu sudah berkuasa selama 22 tahun, kenapa tidak laksanakan apa yang kamu janjikan, 22 tahun tempoh yang lama sebagai menteri besar, saya hanya menjadi menteri besar selama sepenggal.

“Beliau sepatutnya memenuhi kehendak rakyat selama 22 tahun itu, bagi pendapat saya, Isa telah gagal dengan apa yang kami mahu laksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Rais, yang juga bekas penasihat sosiobudaya kerajaan ketika pentadbiran BN menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada 1978 hingga 1982.


Katanya, sentimen semata-mata tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan Isa.

“Politik adalah mengenai realiti, sentimen sahaja tidak akan mengembalikan zaman kegemilangan, berapa banyak sokongan daripada veteran kita tak tahu, sentimen tidak boleh bawa kita ke mana-mana,” katanya.

Rais berkata, anggota Parlimen Port Dickson yang baru seharusnya seseorang yang mempunyai kuasa, yang mampu meningkatkan imej bandar tentera darat itu.

“Perlu saya katakan kepada Isa, masanya telah tiba dan beliau harus serahkan kepada orang lain untuk melaksanakan apa yang beliau gagal lunaskan suatu ketika dahulu,” katanya.

“Apa yang perlu kita sedar sekarang adalah sama ada kita boleh bergantung harap kepada Anwar? Jawapannya ya,” kata Rais lagi.

Isa yang bertanding atas tiket bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menjadi menteri besar Negeri Sembilan menggantikan Rais bermula 1982 hingga 2004.

Beliau dilihat menjadi pencabar utama kepada Anwar dalam pertandingan tujuh penjuru merebut kerusi yang dilepaskan penyandang, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR.

Isa juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Bagan Pinang dan Linggi, yang merupakan antara lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson.




Beliau dikatakan mempunyai sokongan kuat di dua kawasan tersebut, terutamanya pengundi berusia 45 tahun ke atas.

Keputusan Umno memboikot PRK Port Dickson menyebabkan Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding atas tiket bebas.

Lima calon lain termasuk dari PAS, alah Mohd Nazari Mokhtar, yang merupakan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu terkait kes liwat Anwar, yang bertanding tiket bebas.

Calon bebas lain adalah Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.

Wednesday, October 10, 2018

PEREMPUAN JOHOR CUBA MELACURKAN DIRI DI KUALA TERENGGANU



KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- “Kamu telah berusia 45 tahun. Tidak sepatutnya kamu terlibat dengan kesalahan begini. Kamu sepatutnya telah matang dan boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang halal, mana yang haram dan berdosa.”

Demikian kata Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail ketika penghakiman terhadap seorang janda yang mengaku bersalah atas tuduhan persediaan untuk melacurkan diri.

Bagi kesalahan itu Kamalruazmi menjatuhkan hukuman empat kali sebatan dan tertuduh akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor bermula hari ini selama enam bulan.

Katanya, hukuman sebat akan dijalankan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh rayuan selama 14 hari selesai manakala kos sepanjang tempoh pemulihan di pusat perlindungan tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu.

“Tertuduh lahir di Johor tetapi tinggal di Klang, Selangor. Ketika prosiding lalu ketika ditanya mahkamah kenapa kamu datang ke sini (Kuala Terengganu), kamu memberitahu datang semata-mata untuk membuat servis urut dan perkhidmatan seks. Bermakna kamu datang ke sini adalah semata-mata untuk perkara tersebut,” katanya.

Wanita yang pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi tidak mempunyai anak itu, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di sini bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, pada kira-kira pukul 11.45 malam 19 Sept lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Dalam penghakiman itu juga, Kamalruazmi sempat menasihati wanita itu supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu dan menerima bahawa hukuman yang dijatuhkan untuk memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat.

“Kes sebegini biasanya ada rangkaian dan satu tempat tahanan adalah amat perlu untuk tujuan menyekat gangguan daripada mana-mana pihak. Pemulihan boleh dibuat ke atas kamu...mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain bahawa perkara yang dibuat ini adalah salah dan tidak akan dibuat pada masa akan datang,” katanya.

Ketika prosiding itu, Kamalruazmi sempat mencadangkan supaya sebuah pusat tahanan khas dibina ataupun menyediakan tempat tahanan khusus di penjara yang sama bagi mengasingkan antara pesalah sivil dan syariah kerana pendekatan pemulihan adalah berbeza.

Sementara itu, sebelum bermula prosiding wanita yang memakai baju t-shirt berlengan panjang, skirt labuh dan bertudung itu menangis teresak-esak selepas melihat seorang ahli keluarganya hadir kerana sejak ditangkap tiada seorang pun yang tampil hingga beliau terpaksa ditahan di penjara kerana tiada penjamin.

Berdasarkan rayuan yang dikemukakan peguam syarie, Fazru Anuar Yusof, yang mewakilinya, tertuduh bagaikan sebatang kara sejak berpisah dengan suaminya setahun lalu dan perlu menyara hidupnya sendiri.

Wanita itu dilaporkan menerima bayaran untuk setiap perkhidmatan antara RM200 hingga RM1,000 dan memperoleh pelanggan menerusi online.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah.

-- BERNAMA

Tuesday, October 9, 2018

APABILA PEMANDU LORI JADI EXCO

MELAKA, 9 Okt (Bernama) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka Norhizam Hassan Baktee berkata video yang ditularkan tentang dirinya tidak menjelaskan isu sebenar jalan pintas Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia yang ditutup demi keselamatan rakyat.

Beliau berkata video yang tular di laman sosial itu hanyalah sebahagian kecil daripada perbincangan dan penjelasan yang dilakukannya dengan penduduk di kawasan tersebut berhubung isu itu, namun bahagian terutama fakta sebenar tentang penutupan jalan itu tidak disebarkan.

“Yang disebarkan hanyalah sisi buruk saya, sisi saya mendengar atau memuji, menyokong atau membantu penduduk kampung tidak pula disebarkan, tidak mengapa.

“Saya terima dan akur kerana saya sedia maklum, itulah sifat sebenar manusia yang lebih terarah menggali keburukan berbanding mengangkat kebaikan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Video berdurasi dua minit, 26 saat yang tular di laman sosial mengudang kritikan negatif terhadap Norhizam sehingga beliau dilabelkan sebagai ‘YB Kurang Ajar’ oleh netizen..

Monday, October 8, 2018

SAIFUL YAKIN 8,000 PENGUNDI YANG BERSALAM DENGANNYA AKAN UNDI BELIAU



PORT DICKSON: Calon Bebas,  Mohd Saiful Bukhari, 33, amat berpuas hati dengan sokongan dan penerimaan masyarakat terhadap dirinya sepanjang tempoh sembilan hari berkempen.

"Saya sudah berkempen di kelima-lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Port Dickson… rasanya hampir 8,000 orang saya bersalaman," katanya sambil menambah telah menjelajah hampir 70 peratus di daerah berkenaan.

Mengenai kutipan Tabung RM1 yang dilancarkannya pada 2 Okt lepas bagi menampung kos perbelanjaan kempennya, beliau mendedahkan ia sudah mencecah RM3,000.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar, Mohd Saiful Bukhari, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 13 Okt ini, manakala pengundian awal, esok.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Dalam perkembangan lain, Mohd Saiful Bukhari Azlan menafi menggunakan isu lamanya dengan Ketua Umum PKR itu sebagai bahan kempen dalam siri ceramah kelompok yang diadakan baru-baru ini.

Sebaliknya, calon bebas PRK itu menegaskan bahawa beliau berpegang teguh kepada pendirian yang dibuatnya pada hari penamaan calon, 29 Sept lepas untuk tidak mengungkit kisah lama ‘Anwar-Saiful’.

“Saya tidak membuka cerita lama itu dalam ceramah sebaliknya berkongsi isu itu atas kapasiti menjawab soalan penduduk ketika sesi soal jawab selepas ceramah. Bukan saya nak menjadikan ia sebagai bahan kempen dengan menyerang peribadi Anwar.

"Saya pegang kepada ikrar saya sebelum ini... kempen saya dalam bentuk ceramah dan ada sesi soal jawab..soalan tentang isu liwat itu diajukan pengundi semasa sesi soal jawab bukan dalam ceramah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Port Dickson dekat Port Dickson hari ini.

Sunday, October 7, 2018

BAKAL PM BERI KELEBIHAN KEPADA ANWAR UNTUK MENANG SABTU INI

PORT DICKSON, 7 Okt (Bernama) -- Status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri kelapan diyakini memberi kelebihan kepada beliau untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar berkata kedudukan Anwar itu menjadi daya penarik bagi pengundi di Port Dickson untuk menyokong beliau.

Beliau berkata pihaknya percaya keputusan PRK itu akan berpihak kepada calon Ketua Umum PKR tersebut yang juga calon Pakatan Harapan (PH).

“Kami selaku komponen PH akan terus membantu dan dengan komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri untuk turun berkempen, ia bakal memberi kelebihan kepada Anwar menang dalam pilihan raya kecil ini,” katanya,.

Beliau bercakap kapada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Adnan Othman, seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor, Rabu lepas

Saturday, October 6, 2018

MENTERI LUAR NAFI WISMA PUTRA MINTA BANTUAN HISHAMUDDIN

KUANTAN, 6 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menafikan laporan yang menyatakan Putrajaya ada meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Arab Saudi.

Menurutnya, kesahihan berita di portal berita berkenaan diragui berikutan hanya memetik 'sumber dari Putrajaya' tanpa diketahui siapa dan kebenarannya.

"Saya tidak ada pertemuan dengan beliau (Hishammuddin) dan Wisma Putra tidak pernah minta bantuan daripada beliau dari segi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Apa yang berlaku ialah perbincangan antara saya dan duta Arab Saudi ke Malaysia kira-kira sebulan selepas dilantik sebagai Menteri Luar yang telah menerangkan tindakan menarik kembali tentera Malaysia dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemerkasaan Pendidikan Daerah Kuantan di Kolej Universiti Widad di sini hari ini

Friday, October 5, 2018

RAFIZI DAHULUI AZMIN DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) – Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pertandingan jawatan timbalan presiden menerusi pengundian melibatkan lapan cabang parti di Terengganu hari ini.

Mohd Rafizi memperoleh 1,506 undi manakala Mohamed Azmin meraih 1,269 undi, menurut laman sesawang Pemilihan PKR 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com.

Sebelum ini, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mendahului pemilihan di Pulau Pinang dan Johor.

Hari ini, pusat pengundian dibuka bagi lapan cabang iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din, menerusi laman sesawang berkenaan, berkata JPP hanya akan memuktamadkan keputusan untuk cabang-cabang negeri Terengganu setelah peti undi ragu dibuka.

-- BERNAMA

Thursday, October 4, 2018

WHATSAPP HIFDZUL SEAKAN SUDAH TAHU BELIAU AKAN PERGI




PASIR MAS, 4 Okt (Bernama) -- Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi, seakan sudah mengetahui beliau akan meninggalkan keluarga tersayang buat selama-lamanya.

Allahyarham telah memuatkan status di aplikasi WhatsApp dengan ayat "Manusia Mati Meninggalkan Jasa, Haiwan Mati Meninggalkan Rangka", kata sepupunya, Mohd Hafrawi Fauzi, 22, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Terap di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hafrawi status yang diletakkan oleh Muhammad Hifdzul, 25, itu agak pelik walaupun tidak ramai yang menyedarinya termasuk saudara mara yang lain malah hanya disedari malam tadi.

Katanya Allahyarham memang seorang yang periang dan mesra dengan anggota keluarga dan sepupu-sepupunya yang lain kerana rapat sejak dari kecil.

Mohd Hafrawi berkata Allahyarham memang seorang anak yang baik dan berbakti kepada keluarga malah akan pulang ke kampung halaman setiap kali diberikan pelepasan.

"Kali terakhir Allahyarham balik ke kampung adalah pada Ahad lalu kerana mahu menjenguk ayah tirinya, Tengku Din Tengku Lega, 74, dan ibunya, Wan Kamilah Wan Yaakub, 53, yang sakit.

"Apa yang saya tahu Allahyarham memang meminati karier sebagai pegawai bomba dan sanggup mengetepikan peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) kerana menyahut panggilan selepas diterima menyertai pasukan berkenaan," katanya.

Jenazah Allahyarham yang sudah lima tahun menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Terap di sini, kira-kira pukul 6 petang ini.

Dua kakak Muhammad Hifdzul, Nur Ehfazna, 29, dan Nur Atiqah, 28, kini sedang mengiringi jenazah Allahyarham dari Hospital Serdang, Selangor ke sini.

Selain Allahyarham, lima lagi anggota bomba yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Izatul Akma Wan Ibrahim, 32.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam tadi, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja lima minit berada dalam air, mencari seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.

Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain menyebabkan mereka lemas.

-- BERNAMA


Wednesday, October 3, 2018

TERENGGANU TIDAK BENARKAN ISLAND MUSIC FESTIVAL 2018 DIANJURKAN




KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan Terengganu tidak pernah mengeluarkan permit penganjuran Island Music Festival 2018 meskipun tular di media sosial yang ia akan berlangsung dari 12 hingga 14 Okt ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Beliau berkata festival itu tidak akan diadakan di Pulau Redang seperti diuar-uarkan malah mesyuarat mingguan Exco negeri hari ini memutuskan menolak permohonan penganjur kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga tidak mengeluarkan sebarang notis kebenaran penganjurannya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, hari ini..

“Penularan video ini memberi impak negatif kepada negeri. Kita tengok iklan yang ditularkan di laman sosial langsung tidak menepati dan menyimpang banyak daripada enakmen hiburan negeri yang ditetapkan. Visual yang ditayangkan banyak menampilkan adegan seksual.

“Ini menyalahi prinsip moral, ketimuran apa lagi agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. Oleh itu selepas mengambil pandangan banyak pihak dan juga komuniti di Pulau Redang...kita ambil keputusan untuk tidak keluar permit,” katanya.

Mengulas lanjut, Alias berkata bagi memastikan pihak penganjur mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri, pasukan penguat kuasa PBT akan ditempatkan di Pulau Redang bagi memantau sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan.

“Kita dapati festival ini telah dianjurkan sejak 2013 lagi dan mereka tidak pernah ambil permit daripada PBT, bila ada isu baru minta (buat permohonan) baru-baru ini.

“Kita telah panggil mereka berbincang tetapi penganjur, FGS KL sehingga sekarang tidak datang. Jadi kami buat keputusan untuk tidak benarkan kerana festival sebelum ini kami dapati banyak berlaku sesuatu yang melanggar batas sosial seperti pesta arak dan zina,” katanya.

Alias berkata Terengganu bukanlah menyekat semua bentuk hiburan, tetapi ia perlu mematuhi syarat tertentu berdasarkan peraturan sedia ada dalam Enakmen Hiburan Negeri Terengganu 2003.

Antara garis panduan yang ditekankan ialah tidak boleh berlaku percampuran terlampau antara lelaki dan perempuan di atas pentas serta lagu-lagu yang dipersembahkan tidak mengandungi lirik melalaikan.

-- BERNAMA

Tuesday, October 2, 2018

GHAH PERTIKAI POLIS TAHAN ADIK LOKMAN



PETALING JAYA: Sebuah kumpulan membantah Akta Hasutan membidas penahanan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam di bawah akta itu yang tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan semangat Malaysia Baru.

Penyelaras Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), Amir Abd Hadi turut mempertikaikan tindakan polis menahan Azman Noor Adam kerana berkongsi catatan media sosial yang dianggap menghina perdana menteri, awal pagi tadi.

“GHAH melihat ini sebagai satu bentuk intimidasi yang telah diwarisi dari kerajaan sebelum ini.

“Penahanan ini tidak ada bezanya dengan penahanan ke atas aktivis, Fahmi Reza, suatu ketika duhulu yang dikatakan menghina Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri) Najib Razak menggunakan karikatur yang disebarkan melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, Lokman dilaporkan berkata, adiknya ditahan sepasukan polis dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam kira-kira 3 pagi tadi di rumahnya Bukit Subang, Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dipetik Bernama sebagai berkata, polis mendapat perintah reman 4 hari ke atas lelaki itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Amir menggesa ahli politik Pakatan Harapan yang memperjuangkan kebebasan bersuara, tidak cepat melatah dengan kritikan dalam media sosial dan menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara.

“Kebebasan berekspresi dijamin Perlembagaan dan seharusnya dihormati semua.

“Sekiranya terdapat unsur fitnah dan penipuan, tindakan saman boleh diambil.”

Katanya, GHAH turut kesal dengan kerajaan yang gagal menghentikan tangkapan dan pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

“Gesaan agar moratorium dilaksanakan dengan kadar segera telah dibuat sejak hari pertama pertukaran kerajaan oleh organisasi masyarakat sivil.

“GHAH juga menggesa semua pertuduhan yang dibuat di bawah Akta Hasutan yang belum digugurkan seperti kes (penceramah bebas) Wan Ji Wan Hussin digugurkan segera.”

15,042 ORANG BACA BERITA SKANDAL TIMBALAN MENTERI

"Timbalan menteri mengaku ada skandal dengan pegawainya" yang disiarkan pada 22 September lalu dalam blog Today Terengganu mendapat rating tertinggi bagi bulan September dengan 15,042 hit.

10 rating tertinggi bagi bulan September adalah seperti berikut:-

1. Timbalan menteri mengaku ada skandal dengan pegawainya (22/9) - 15,042 hits.
2. Melacur kerana anak akan diumum hukumannya pada Khamis ini (23/9)
3. Jangan anak tirikan penyokong PAS dalam program PAS (3/9)
4. Terengganu akan cepatkan keluar garis panduan selia aktiviti hiburan (22/9)
5.Akibat enggan letak jawatan maka Umno terima padahnya (21/9)
6. Siapa nyanyuk: Lim Kit Siang atau Hanif Omar? (7/9)
7. Penembak bekas ADUN Alor Limbat ditembak mati (10/9)
8. Khidmat Zakaria ditamatkan (12/9)
9. SST berjalan lancar dengan aduan harga makanan di restoran seluruh negara (1/9)
10. Dapatkah orang Negeri Sembilan terima Anwar pada 13 Oktober? (20/9)

Monday, October 1, 2018

LOKMAN NOOR ADAM SUDAH TIADA MODAL

PORT DICKSON, 1 Okt (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan sebarang fitnah atau tuduhan kerana mahu fokus sepenuhnya berkempen dalam usaha memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Ketua Umum PKR itu berkata beliau telah melalui pelbagai tuduhan hampir 20 tahun dan meminta pihak yang terlibat supaya mencari modal lain bagi menentangnya.

"Saya mahu terus dengan kerja saya, 20 tahun dah saya lalui ini (fitnah), sudahlah... saya juga ingin beri nasihat kepada (Datuk) Lokman Noor Adam (anggota Majlis Tertinggi UMNO) sudahlah, carilah modal lain.

“Malah bila Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Pengarah Komunikasi PKR) membuat laporan polis pun, beliau tidak memaklumkan saya. Kalau maklum pun, saya akan buat tidak tahu sahaja... malas saya nak fikir,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Semalam, Lokman Noor menerusi satu kiriman dalam akaun Facebook miliknya memetik sumber berita kononnya dari Mediacorp di Singapura yang mendakwa kononnya Anwar disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara itu.

Pihak Mediacorp kemudiannya menafikan laporan berita tersebut dan semakan juga mendapati Lokman Noor telah memadamkan kiriman berkenaan di akaun Facebooknya.