MARANG, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi projek pembangunan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.
Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata peruntukan itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sokongan yang diberikan oleh rakyat terhadap kepimpinan BN.
"Setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas melakukan sebarang projek atau pembangunan yang dirasakan terbaik di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas projek Pusat Perniagaan Binjai Rendah, di sini hari ini.
Projek yang dianggarkan menelan kos RM8.2 juta dibangunkan di tapak seluas 0.68 hektar itu dijadual siap dalam tempoh 18 bulan.
Projek itu adalah sebahagian daripada pembangunan baharu di DUN Pengkalan Berangan selain pembinaan Pusat Pertumbuhan Desa baharu di Merchang yang juga akan dilaksanakan dalam tahun ini.
Ahmad Razif berkata peruntukan itu perlu dilihat sebagai satu bentuk motivasi kepada barisan kepimpinan BN dan UMNO agar bekerja lebih keras untuk kepentingan rakyat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment