KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO, yang diadakan saban tahun bukanlah sekadar acara tahunan, sebaliknya ia menjadi medan mencantum idea perjuangan parti dalam kalangan anggota keluarga besar UMNO di seluruh negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata perhimpunan yang bermula 29 Nov di Kuala Lumpur, memberi peluang kepada perwakilan untuk menyuntik semula semangat para anggota parti.
"Ia juga peluang untuk kita merapatkan barisan dan meningkatkan solidariti dalam satu keluarga besar UMNO. Ucapan dasar dan ucapan penggulungan presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) sentiasa dinanti-nantikan anggota parti dan juga seluruh rakyat.
"Inilah keunikan dan tarikan Perhimpunan Agung UMNO dari dahulu sampai sekarang," kata Menteri Besar Terengganu itu ketika dihubungi Bernama di sini.
Ahmad Razif berkata perhimpunan parti kali ini juga diharap bukan sahaja fokus pada perancangan menghadapi pilihan raya tetapi perlu merencana pelbagai agenda penyatuan dan merapatkan solidariti.
Beliau berkata perhimpunan parti itu juga menjadi medan terbaik untuk memperbetulkan kekalutan dan salah faham yang timbul ekoran pemecatan beberapa pemimpin utama dan sebilangan individu keluar parti.
"Tiada siapapun daripada kalangan ahli UMNO yang lebih besar daripada parti UMNO itu sendiri. Kita hormati pendirian bekas pemimpin UMNO yang telah memilih haluan berbeza.
"Anggota UMNO perlu terus melangkah ke hadapan. Kita akan berhadapan dengan mereka, sama seperti kita berhadapan dengan musuh-musuh politik kita yang lain," ujarnya.
Ahmad Razif berkata perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan anggota UMNO seharusnya tidak memecah-belahkan parti sehingga menggagalkan matlamat parti untuk kelangsungan politik Melayu.
"Perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat. Ia berlaku dalam mana-mana organisasi. Saya tidak melihat sebarang masalah besar kerana saya percaya semua ahli dan pemimpin parti di peringkat negeri tahu pentingnya UMNO mengekalkan kemenangan dalam PRU14," katanya.
Ahmad Razif berkata UMNO harus dilihat membawa suara rakyat terbanyak, bukan sahaja suara orang Melayu dan Bumiputera tetapi juga suara seluruh rakyat Malaysia.
"Strategi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional ialah dengan menyerang bertubi-tubi secara konsisten, kepada hanya satu sasaran iaitu UMNO. Sebarang kesilapan, yang mungkin ada, akan dieksploitasi habis-habisan," katanya.
Justeru, katanya anggota UMNO tidak boleh putus asa kerana mereka telah diuji zaman berzaman dan pernah mengharungi pelbagai cabaran getir termasuk krisis ekonomi.
"Saya percaya rakyat meletak harapan yang tinggi ke atas presiden parti yang sentiasa tenang dan fokus. UMNO akan berjaya harungi cabaran ini.
"Persidangan setiap tahun ini memberi ruang untuk kita perbaharui iltizam mendukung perjuangan parti dan menyatakan sokongan padu kita kepada presiden parti," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment