Wednesday, November 16, 2016
ANAK TERENGGANU HEBAT DIBERI INSENTIF RM10,000
KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Insentif sekurang-kurangnya bernilai RM10,000 akan diberikan kepada setiap anak negeri yang mencatat pencapaian yang dianggap ‘hebat’ dan membanggakan negeri dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan demikian berkata, ia sebagai penghargaan buat mereka yang berani bertindak di luar kelaziman dengan kegigihan dan komitmen untuk mengejar setiap impian, malah mencatat sejarah tersendiri.
“Segala usaha yang baik boleh menjadi rangsangan kepada anak-anak negeri lain untuk mencabar kemampuan mereka dengan mencipta kejayaan bertaraf antarabangsa dalam kegiatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis minum pagi di sini semalam bagi meraikan Sofian Mohd., 56, yang melakukan kayuhan solo sejauh kira-kira 22,000 kilometer dengan berbasikal merentasi 22 negara dalam misinya mengelilingi dunia.
Yang turut hadir ibu Sofian, Hasmah Muda,73; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail; barisan Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Abdul Razak Mat Amin.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mewujudkan satu galeri yang memaparkan pencapaian setiap individu yang secara tidak langsung mengangkat imej dan mengharumkan nama negeri.
Menurutnya, anak-anak negeri yang mencatat pencapaian besar boleh diketengahkan sebagai ikon dan menjadi idola kepada anak-anak muda.
“Ini sebahagian daripada proses transformasi minda yang sedang digerakkan dengan kesediaan menimba ilmu dan pengalaman agar berkeupayaan bersaing bukan sekadar di peringkat kampung dan negeri tetapi di peringkat global.
“Saya meminta Exco berkaitan dengan sukan dan juga pendidikan agar ikon-ikon ini ditampilkan untuk menceritakan pengalaman mereka kepada golongan sasar melalui perancangan tersusun dan berkesan,” ujarnya.
Beliau menarik perhatian, kegemaran anak-anak muda yang negatif seperti merempit boleh dialihkan kepada kegiatan yang bermanfaat termasuk program mengerjakan haji melalui ekspedisi menunggang motosikal ke Mekah.
Sementara itu, Sofian mengucapkan menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada kepemimpinan negeri yang memberi sokongan padu menjayakan misinya yang mengambil masa16 bulan.
“Dalam arena berbasikal, seperti yang diimpikan oleh banyak orang, saya rasa saya sudah capai kemuncaknya. Saya bersedia membantu kerajaan untuk berkongsi pengalaman,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment