Wednesday, November 30, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2016

Tahniah kepada grup whatsapp Kemaman Kite (KK)  kerana berita mengenai program KK mendapat rating tertinggi bagi bulan November 2016 dengan posting bertajuk Datuk Rahim cadangkan hidupkan semula Gelombang Biru pada 26 November dengan 395 hits.

Lebih mengejutkan posting mengenai Imtiaz selepas keputusan UPSR keluar dapat rating kedua tertinggi sebanyak 387 hits yang menunjukkan bahawa pembaca blog Today Terengganu bukan sahaja meminati berita politik malah turut meminati berita pendidikan.

10 rating tertinggi bagi blog ini untuk November 2016  adalah seperti berikut:-

1. Datuk Rahim cadangkan hidupkan semula Gelombang Biru (26 November)
2. Syarat masuk Imtiaz dan sekolah agama dikekalkan (17 November)
3. Nasir bukannya dipecat Bnedahari Perhubungan (23 November)
4. Razif bukan MB Seberang Takir (24 November)
5. Jangan cabar hak umat Islam, kata Haji Hadi (25 November)
6. Terengganu beri RM30 juta untuk DUN dimenangi BN (10 November)
7. Dua tahun penjara bagi yang tidak solat Jumaat (24 November)
8. MB promosi Tahun Melawat Terengganu 2017 di London (10 November)
9. Kita kongsi fitnah pembangkang dari grup sebelah (29 November)
10. Datuk Dai Niezal selamat dikebumikan (14 November)

Tuesday, November 29, 2016

KITA KONGSI FITNAH PEMBANGKANG DARI GROUP SEBELAH

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang adalah antara empat cabaran utama UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, selain pengundi muda, perpecahan dalaman dan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata jentera penerangan UMNO harus bangkit melawan fitnah dengan hujah dan fakta yang jelas supaya rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak lawan.

Katanya jentera penerangan dan anggota UMNO tidak sepatutnya hanya berdiam diri apabila mendapati terdapat fitnah yang dilemparkan terhadap UMNO terutama melalui media sosial, sedangkan mereka mengetahui ia adalah tidak benar.

"Masalahnya kita sendiri yang menyebarkan fitnah itu...ini saya lihat sendiri di aplikasi WhatsApp, dia kongsi fitnah yang katanya dia dapat dari 'group sebelah', seronok dengar fitnah dari pihak lawan sedangkan kita ada fakta yang baik yang boleh kita sebarkan.

"Ada juga yang minta saya sekat laman tertentu...memanglah kalau salah akan diambil tindakan tetapi sepatutnya bila kita tahu itu fitnah kita lawan dengan fakta dan hujah dahulu," katanya semasa merasmikan Konvensyen Penerangan Media 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Konvensyen julung kali diadakan itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang bertujuan memantapkan saf jentera penerangan UMNO bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Salleh berkata cabaran yang dihadapi daripada pengundi muda juga amat besar apabila mereka mudah mempercayai apa sahaja yang disebarkan melalui media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Menurutnya jentera penerangan UMNO perlu mencari jalan untuk memahami dan mendekati 'generasi gajet' itu bagi meyakinkan mereka bahawa UMNO adalah parti yang bergerak dalam satu pasukan yang jelas.

"Pihak lawan tiada pasukan pun, bergaduh antara mereka. Terangkan kekurangan di pihak lawan ini dan apabila mereka dapat lihat ini, mereka akan nampak kebaikan parti kita," katanya.

Menurutnya, UMNO juga perlu mengelakkan perpecahan dalaman parti dan terus memperjuangkan ideologi mempertahankan kontrak sosial untuk memastikan parti keramat Melayu itu terus kekal bertahan.

"Kita hanya ada satu ketua iaitu Presiden kita, itu prinsip berorganisasi. Jika terlalu banyak subpemimpin, sejarah membuktikan parti tidak kuat.

"DAP dapat bertahan lama kerana parti itu ada perjuangan iaitu melawan perjuangan UMNO," jelas Salleh.

Mengenai Dr Mahathir, katanya bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu kini bersekongkol dengan DAP yang memperjuangkan ideologi yang jelas bertentangan dengan dasar perjuangan UMNO iaitu mempertahankan kontrak sosial.

Salleh turut berkata UMNO tidak boleh dilihat eksklusif untuk orang Melayu sahaja dan bersifat politik retorik, sebaliknya perlu bersifat inklusif dan berjuang untuk rakyat keseluruhannya.

-- BERNAMA

Monday, November 28, 2016

BAYARAN HAJI TAHUN DEPAN KEKAL RM9,980



KUALA TERENGGANU 28 Nov. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memutuskan untuk mengekalkan bayaran haji tahun depan pada kadar RM9,980 untuk setiap jemaah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagaimanapun berkata, kos menunaikan haji secara muassasah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 seorang ketika ini berikutan kos penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain perkhidmatan yang turut bertambah.

“Maka subsidi haji akan meningkat kepada RM9,570 untuk seorang jemaah.

“Ini menjadikan jumlah subsidi yang bakal ditanggung oleh Tabung Haji adalah lebih RM200 juta pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas penutupan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-33 Musim Haji 1438 Hijrah di TH Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas nege­ri, Ghazali Taib

Sunday, November 27, 2016

PAU MEDAN TERBAIK UNTUK PERBETULKAN KEKALUTAN

KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO, yang diadakan saban tahun bukanlah sekadar acara tahunan, sebaliknya ia menjadi medan mencantum idea perjuangan parti dalam kalangan anggota keluarga besar UMNO di seluruh negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata perhimpunan yang bermula 29 Nov di Kuala Lumpur, memberi peluang kepada perwakilan untuk menyuntik semula semangat para anggota parti.

"Ia juga peluang untuk kita merapatkan barisan dan meningkatkan solidariti dalam satu keluarga besar UMNO. Ucapan dasar dan ucapan penggulungan presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) sentiasa dinanti-nantikan anggota parti dan juga seluruh rakyat.

"Inilah keunikan dan tarikan Perhimpunan Agung UMNO dari dahulu sampai sekarang," kata Menteri Besar Terengganu itu ketika dihubungi Bernama di sini.

Ahmad Razif berkata perhimpunan parti kali ini juga diharap bukan sahaja fokus pada perancangan menghadapi pilihan raya tetapi perlu merencana pelbagai agenda penyatuan dan merapatkan solidariti.

Beliau berkata perhimpunan parti itu juga menjadi medan terbaik untuk memperbetulkan kekalutan dan salah faham yang timbul ekoran pemecatan beberapa pemimpin utama dan sebilangan individu keluar parti.

"Tiada siapapun daripada kalangan ahli UMNO yang lebih besar daripada parti UMNO itu sendiri. Kita hormati pendirian bekas pemimpin UMNO yang telah memilih haluan berbeza.

"Anggota UMNO perlu terus melangkah ke hadapan. Kita akan berhadapan dengan mereka, sama seperti kita berhadapan dengan musuh-musuh politik kita yang lain," ujarnya.

Ahmad Razif berkata perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan anggota UMNO seharusnya tidak memecah-belahkan parti sehingga menggagalkan matlamat parti untuk kelangsungan politik Melayu.

"Perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat. Ia berlaku dalam mana-mana organisasi. Saya tidak melihat sebarang masalah besar kerana saya percaya semua ahli dan pemimpin parti di peringkat negeri tahu pentingnya UMNO mengekalkan kemenangan dalam PRU14," katanya.

Ahmad Razif berkata UMNO harus dilihat membawa suara rakyat terbanyak, bukan sahaja suara orang Melayu dan Bumiputera tetapi juga suara seluruh rakyat Malaysia.

"Strategi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional ialah dengan menyerang bertubi-tubi secara konsisten, kepada hanya satu sasaran iaitu UMNO. Sebarang kesilapan, yang mungkin ada, akan dieksploitasi habis-habisan," katanya.

Justeru, katanya anggota UMNO tidak boleh putus asa kerana mereka telah diuji zaman berzaman dan pernah mengharungi pelbagai cabaran getir termasuk krisis ekonomi.

"Saya percaya rakyat meletak harapan yang tinggi ke atas presiden parti yang sentiasa tenang dan fokus. UMNO akan berjaya harungi cabaran ini.

"Persidangan setiap tahun ini memberi ruang untuk kita perbaharui iltizam mendukung perjuangan parti dan menyatakan sokongan padu kita kepada presiden parti," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, November 26, 2016

DATUK RAHIM CADANGKAN HIDUPKAN SEMULA GELOMBANG BIRU

KEMAMAN: Penaung grup whatsapp Kemaman Kite, Datuk Rahim Husin mencadangkan supaya Gelombang Biru yang dapat menawan Terengganu pada tahun 2004 dihidupkan semula untuk menawan DUN Chukai.

Katanya, semangat Gelombang Biru yang memberi kemenangan besar kepada BN Terengganu pada tahun tersebut wajar dijadikan formula untuk menawan 15 kerusi DUN yang kalah.

"Di Kemaman, kita perlu gunakan Semangat Gelombang Biru untuk menawan DUN Chukai," kata beliau di majlis ramah mesra dengan ahli grup whatsapp Kemaman Kite di sebuah restoran di sini semalam. Turut hadir ialah bekas Mufti Terengganu, Datuk Haji Ismail Yahya dan admin grup whatsapp berkenaan, Mat Dalam Awang.

Pada tahun 2013, BN gagal mempertahankan kerusi DUN Chukai apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat dengan majoriti 2,446 undi. Hanafiah mendapat 12,457 undi manakala Wan Ahmad Nizam mendapat 10,011 undi.

Katanya, tujuan grup whatsapp itu ditubuhkan adalah untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan untuk membantu Umno Kemaman.

Oleh itu, tegasnya, semua pihak jangan salah faham dengan Kemaman Kite yang mengumpulkan bekas pemimpin yang kalah di peringkat bahagian dan cawangan.

"Mereka berada dalam Kemaman Kite bukannya mahu menyaingi sesiapa sebaliknya mereka mahu bersatu dalam satu wadah untuk membantu Umno bahagian yang kurang aktif," katanya. Majlis itu dihadiri oleh 200 orang ahli grup whatsapp tersebut.

Datuk Rahim yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman berharap Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dapat membuka bandar baharu di Chukai kerana ia dapat menjana ekonomi penduduk setempat.

Malah, beliau berharap lebih banyak infrastruktur dibina di Chukai seperti jalan raya empat lorong dari exit LPT2 di Pasir Gajah ke Chukai; balai polis baharu Chukai;terminal bas baharu; hospital baharu, pasar baharu dan projek perumahan mampu milik, SPNB, PR1MA dan perumahan kakitangan kerajaan.

Sehubungan dengan itu Kemaman Kite akan mengadakan forum tidak lagi lagi di mana semua resolusi daripada forum tersebut akan dikemukakan kepada Menteri Besar untuk perlaksanaan.

Beliau juga berhasrat menemui ahli parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya menjadikan daerah Kemaman sebagai pusat penanaman jagung terbesar di Malaysia.

"Dengan ini kerajaan boleh buka kilang jagung yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan," katanya.

Sebagai grup whatsapp, Kemaman Kite akan melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun depan dan beliau berharap semua ahli grup dapat memberi sokongan kepada semua aktiviti yang akan dijalankan.











Friday, November 25, 2016

JANGAN CABAR HAK UMAT ISLAM KATA HAJI HADI

KUALA TERENGGANU, 25 Nov (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu semua pihak menghormati dan tidak mencabar hak umat Islam di negara ini seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 olehnya di Dewan Rakyat semalam hanya tertakluk kepada umat Islam di negara ini dan tidak melibatkan penganut agama lain.

Malah katanya, usul berkenaan telah mendapat persetujuan antara PAS, UMNO serta sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman negara.


Khamis lalu, anggota Parlimen bukan Islam diingatkan supaya tidak menghina Islam sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan seperti yang berlaku di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Abdul Hadi Awang berkata anggota Parlimen bukan Islam tidak seharusnya mencampuri urusan berkaitan agama Islam dan umatnya kerana agama Islam merupakan hal yang berada di bawah bidang kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu.

"Ini bukan urusan mereka (bukan Islam). Saya memberi amaran kepada mereka supaya tidak bertindak seperti yang dilakukan Gabenor Jakarta Basuki Ahok Tjahaja Purnama di Jakarta," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen Khamis.

Thursday, November 24, 2016

RAZIF BUKAN MB SEBERANG TAKIR

Berucap di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat memang kebal tidak boleh didakwa. Sebab itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berani menyebut perkataan sial kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Rahman.

Menuduh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai MB Seberang Takir oleh ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim  (gambar) dalam perbahasan Bajet 2017 di Dewan Undangan Negeri Terengganu pada Rabu lalu adalah tidak tepat. Sebagai MB takkan beliau langsung tidak boleh bawa projek ke Seberang Takir, ke kawasan DUNnya langsung. Adalah tidak cerdik seorang MB itu jika dia langsung tidak mahu membangunkan DUNnya sendiri.

Sudah jadi amalan MB terdahulu membangunkan kawasan masing masing. Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selama 25 tahun menjadi MB membangunkan daerah Kemaman sebagai kawasan minyak dan gas. Jika Wan Mokhtar ADUN Jertih ketika itu, mungkin pangkalan minyak dan gas Terengganu berpindah ke daerah Besut.

Semua MB membangunkan daerah masing masing. Datuk Seri Idris Jusoh membangunkan daerah Besut dengan Taman Ilmu, Sekolah Imtiaz dan Masjid Hadhari yang menelan belanja ratusan juta. Begitu juga Datuk Seri Ahmad Said membangunkan Kemaman dengan Bandar Baru Kijal dan Zoo Kemaman. Razif pula membangunkan Kuala Nerus yang baru digazetkan sebagai daerah baru dengan Bandar Baru Kuala Nerus.

Itulah kelebihan MB masing-masing. Malah jika Datuk Seri Haji Hadi Awang adalah MB Umno, daerah Marang sudah dibangunkan oleh beliau dari tahun 1999 hingga 2004. Rakyat Kuala Nerus bersyukur kerana Idris bukan sahaja memajukan Besut malah membangunkan parlimen Kuala Nerus dengan Taman Tamadun Islam,  Stadium Sultan Mizan dan menaiktaraf lapangan terbang Sultan Mahmud dan menaiktaraf KUSZA sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Tradisi yang dilakukan Idris di Kuala Nerus pada tahun 2004 diteruskan oleh Razif sebagai MB. Oleh itu menuduh Razif sebagai MB Seberang Takir adalah tidak tepat kerana Razif juga memajukan daerah lain terutamanya Tasik Kenyir di daerah Hulu Terengganu. Malah Razif juga mahu menaiktaraf Zoo Kemaman dengan taman tema air seperti Gambang Theme Park. Jadi menuduh Razif sebagai MB Seberang Takir adalah tuduhan yang tidak berasas.

Sepatutnya Hishamuddin insaf bahawa selama ini beliau makan gaji dengan kerajaan BN sebagai pegawai penempatan dan penghulu tetapi memilih PAS sebagai wadah perjuangannya. Sebagai ADUN Tepuh beliau sepatutnya bangga kerana Razif tidak pilih kasih tetap membangunkan projek mencegah hakisan pantai di dalam DUNnya sedangkan Tanjung Gelam adalah kawasan PAS yang diwakilinya. Ini macam punya wakil rakyat pun ada. Tak tahu bersyukur.

DUA TAHUN PENJARA BAGI YANG TIDAK SOLAT JUMAAT?

KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu bakal berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun tidak lama lagi.

Ia susulan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang disokong sebulat suara oleh para Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menghadiri persidangan dewan semalam.


Pindaan Seksyen 16 berkaitan perkara tidak menunaikan solat Jumaat dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib.

Wednesday, November 23, 2016

NASIR BUKANNYA DIPECAT BENDAHARI PERHUBUNGAN

KUALA TERENGGANU:  Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman menjelaskan bahawa Nasir Yusuf tidak dipecat dari jawatan Bendahari Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Katanya, Nasir yang meletakkan jawatan tersebut pada 14 November lalu dan bukannya beliau dipecat. Heboh di Facebook kononnya Razif sudah memecat Nasir yang selama ini dianggap sebagai orang kanan yang merosakkan imej Menteri Besar Terengganu selama ini.

"Oleh kerana beliau seorang ahli perniagaan maka beliau ambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana beliau tidak mahu dianggap ada conflict of interest," kata Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Tempat beliau digantikan oleh Bendahari Umno Bahagian Kuala Nerus, Anuar Mohamad seorang peguam. Razif mengucapkan terima kasih kepada Nasir yang telah menjalankan tugas yang baik sebagai Bendahari Umno Terengganu sejak tahun 2014.


Tuesday, November 22, 2016

ENAM PROJEK CEGAH HAKISAN AKAN DILAKSANAKAN DALAM RMK 11

KUALA TERENGGANU, 22 Nov (Bernama) -- Enam lokasi di sepanjang perairan Terengganu telah dikenal pasti berisiko mengalami hakisan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman.

Beliau berkata bagi mencegah perkara itu, enam projek jangka masa panjang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) melibatkan peruntukan keseluruhan RM681 juta.

"Enam projek itu ialah pemuliharaan muara di tiga sungai iaitu Sungai Paka di Dungun (RM150 juta), muara Sungai Merchang di Marang (RM40 juta), muara Sungai Setiu (RM150 juta) dan projek naik taraf ban pantai lagun di Gong Batu dekat Setiu (RM10 juta).....

Monday, November 21, 2016

TERENGGANU BENTANG BAJET DEFISIT RM170 JUTA

KUALA TERENGGANU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu membentangkan bajet defisit RM170 juta, dengan perbelanjaan dianggarkan berjumlah RM1.867 bilion berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh RM1.697 bilion.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman ketika membentangkan Bajet Terengganu 2017 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini, berkata jumlah itu termasuk RM739.70 juta untuk pembangunan dan RM2.97 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

Beliau berkata di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM85 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.782 bilion untuk perbelanjaan perbekalan.

Sunday, November 20, 2016

KELULUSAN TABUNG DARUL IMAN DIPERCEPATKAN KEPADA TIGA HARI

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menambah baik kaedah permohonan Tabung Darul Iman supaya ia menjadi lebih baik dan memudahkan rakyat membuat permohonan pada tahun depan.
Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) pada masa ini adalah 5 hari dan kerajaan berhasrat memendekkan lagi tempoh menunggu kelulusan sesuatu permohonan bantuan.
‘Prosedur mohon bantuan hanya memerlukan perakuan perubatan, perakuan pemimpin masyarakat setempat dan saya telah beri SOP dalam masa 5 hari mesti perkara ini selesai.’
‘Jadi saya akan pertingkatkan lagi kalau boleh saya nak dalam masa 3 hari lepas pada ini, dulu saya beri SOP 5 hari jadi kita cuba pertingkatkan tahun depan menjadi 3 hari’.
‘Kita akan tengok apa yang boleh diselesaikan dan akhirnya mungkin pada suatu hari nanti kita boleh buat satu hari atau mungkin dalam masa satu jam sahaja kita boleh buat keputusan’.
‘Kita tahu Orang yang sakit ni dia memerlukan segera keputusan dan tidak boleh lambat ia melibatkan nyawa’.
‘Kita kena pastikan mempermudahkan lagi kaedah (permohonan) lebih efisyen dan berkesan’.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Sumbangan Derma kepada Tabung Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.
Hadir sama Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita keluarga dan Masyarakat negeri Roslee Daud dan Pegawai Kewangan Negeri Dato A Rahim Jusoh.
Sumbangan boleh disalurkan ke ke akaun Maybank bernombor 563019258034 atas nama Tabung Darul Iman. 

Saturday, November 19, 2016

DEMONSTRASI JALANAN TIDAK SELESAIKAN MASALAH

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Kumpulan Bersih 5 yang mengadakan perhimpunan haram di ibu negara hari ini digesa menghentikan demonstrasi jalanan yang tidak menyelesaikan masalah malah memperjudikan suasana aman damai negara pada ketika ini.

Ketika menyelar tindakan kumpulan itu, beberapa pemimpin negara berkata jika kumpulan itu berhasrat menukar kepimpinan negara, lakukan menerusi pilihan raya.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, "Kita seru yang merah (kumpulan baju merah) atau yang kuning (Bersih 5) agar tidak (lagi) berhimpun untuk pastikan negara kita terus aman damai".

Friday, November 18, 2016

HAJI HADI DALAM KEADAAN BAIK

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sedang menerima pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini.

Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi satu kenyataan media berkata Abdul Hadi dikejarkan ke hospital selepas mengadu kepenatan siang tadi.

"Oleh itu kerjasama daripada semua pihak diperlukan agar dapat memberi ruang rehat secukupnya kepada Tuan Guru, dan PAS mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat handai kerana tidak menziarahi beliau pada waktu ini," katanya.

Thursday, November 17, 2016

SYARAT MASUK IMTIAZ DAN SEKOLAH AGAMA DIKEKALKAN

HULU TERENGGANU, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu masih lagi mengekalkan syarat kelayakan bagi kemasukan ke sekolah menengah Imtiaz dan sekolah menengah agama di negeri ini.

Menteri Besarnya Ahmad Razif Abd Rahman berkata ianya bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat 5A melanjutkan pelajaran di sekolah itu.

"Sebelum ini syarat ke Imtiaz dan sekolah agama negeri memang 5A, mungkin kita akan gunakan syarat yang sama dan beri peluang kepada mereka yang dapat 5A...tetapi keutamaan kita adalah kepada pelajar yang mendapat 6A," katanya..

Wednesday, November 16, 2016

ANAK TERENGGANU HEBAT DIBERI INSENTIF RM10,000



KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Insentif sekurang-kurang­nya bernilai RM10,000 akan diberikan kepada setiap anak negeri yang mencatat pencapai­an yang dianggap ‘hebat’ dan membanggakan negeri dalam pelbagai lapangan kehidupan.


Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika meng­umumkan demikian berkata, ia sebagai penghargaan buat mereka yang berani bertindak di luar kelaziman dengan kegigihan dan komitmen untuk mengejar setiap impian, malah mencatat sejarah tersendiri.

“Segala usaha yang baik boleh menjadi rangsangan kepada anak-anak negeri lain untuk mencabar kemampuan mereka dengan mencipta kejayaan bertaraf antarabangsa dalam kegiatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam majlis minum pagi di sini semalam bagi meraikan Sofian Mohd., 56, yang melakukan ka­yuhan solo sejauh kira-kira 22,000 ki­lometer dengan berbasikal me­rentasi 22 negara dalam misinya mengelilingi dunia.

Yang turut hadir ibu Sofian, Hasmah Muda,73; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail; barisan Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Abdul Razak Mat Amin.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mewujudkan satu galeri yang memaparkan pencapaian setiap individu yang secara tidak langsung mengangkat imej dan mengharumkan nama ne­geri.

Menurutnya, anak-anak ne­ge­ri yang mencatat pencapaian besar boleh diketengahkan sebagai ikon dan menjadi idola kepada anak-anak muda.

“Ini sebahagian daripada pro­ses transformasi minda yang sedang digerakkan dengan ke­se­diaan menimba ilmu dan pe­ngalaman agar berkeupayaan ber­­saing bukan sekadar di pe­ringkat kampung dan negeri tetapi di peringkat global.

“Saya meminta Exco berkaitan dengan sukan dan juga pendi­dikan agar ikon-ikon ini di­tampilkan untuk menceritakan pe­ngalaman mereka kepada go­longan sasar melalui perancangan tersusun dan berkesan,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, kegemaran anak-anak muda yang negatif seperti merempit boleh dialihkan kepada kegiatan yang bermanfaat termasuk program mengerjakan haji melalui ekspedisi menunggang motosikal ke Mekah.

Sementara itu, Sofian me­ngu­capkan menyatakan rasa ter­haru dan berterima kasih kepada kepemimpinan negeri yang memberi sokongan padu menjayakan misinya yang mengambil masa16 bulan.

“Dalam arena berbasikal, se­perti yang diimpikan oleh ba­nyak orang, saya rasa saya sudah capai kemuncaknya. Saya bersedia membantu kerajaan untuk berkongsi pengalaman,” ujarnya.

Tuesday, November 15, 2016

TERENGGANU BERI RM30 JUTA UNTUK DUN DIMENANGI BN

MARANG, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi projek pembangunan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.


Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata peruntukan itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sokongan yang diberikan oleh rakyat terhadap kepimpinan BN.

"Setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas melakukan sebarang projek atau pembangunan yang dirasakan terbaik di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis peletakan batu asas projek Pusat Perniagaan Binjai Rendah, di sini hari ini.

Projek yang dianggarkan menelan kos RM8.2 juta dibangunkan di tapak seluas 0.68 hektar itu dijadual siap dalam tempoh 18 bulan.

Projek itu adalah sebahagian daripada pembangunan baharu di DUN Pengkalan Berangan selain pembinaan Pusat Pertumbuhan Desa baharu di Merchang yang juga akan dilaksanakan dalam tahun ini.

Ahmad Razif berkata peruntukan itu perlu dilihat sebagai satu bentuk motivasi kepada barisan kepimpinan BN dan UMNO agar bekerja lebih keras untuk kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

Monday, November 14, 2016

TERENGGANU RANCANG WUJUDKAN PUSAT TRANSFORMASI KEUSAHAWANAN WANITA

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang mewujudkan Pusat Transformasi Keusahawanan Wanita (PTKW) bagi mengumpul produk-produk yang dihasilkan secara setempat.

Exco Pembangunan Wanita, Roslee Daud berkata PTKW mampu mengumpul pelbagai produk seperti batik, sutera, songket serta produk makanan yang dihasilkan kaum wanita di bawah satu bumbung.

"Ia dapat memudahkan pelancong asing membeli produk keluaran tempatan sempena Tahun Melawat Terengganu 2017," katanya pada Program Semarak Keusahawanan Wanita 2016, di sini semalam.

Sunday, November 13, 2016

TIGA PUSAT PINDAH BANJIR BERNILAI RM2.5 JUTA SIAP DIBINA

HULU TERENGGANU, 13 Nov (Bernama) -- Tiga kompleks pusat pemindahan banjir bernilai RM2.5 juta peruntukan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu telah siap dibina untuk kemudahan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang yang menghadapi bencana itu setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri Tengku Putera Tengku Awang berkata tiga kompleks pusat pemindahan tersebut dibina di Kampung Paya Besar, Kampung Batu 23 dan Kampung Bukit Tok Bat.

"Kerajaan pusat memperuntukkan RM1.2 juta untuk membina pusat pemindahan Kampung Batu 23 manakala RM1.3 juta lagi peruntukan kerajaan negeri untuk membina pusat pemindahan di Kampung Paya Besar dan Kampung Bukit Tok Bat yang masing-masing bernilai RM800,000 dan RM500,000," katanya.

Saturday, November 12, 2016

ANAK TERENGGANU TAMATKAN BERBASIKAL SOLO KELILING DUNIA

KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Pengembaraan anak jati Terengganu yang berbasikal secara solo mengelilingi dunia berakhir hari ini selepas berjaya merentasi 22 negara membabitkan jarak 22,000 kilometer dalam tempoh 16 bulan.

Sofian Mohd, 55, yang juga seorang pensyarah dan Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Kuching, Sarawak tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Ketibaan wira Terengganu itu disambut Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Rozi Mamat serta Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan lebih 500 pelajar serta alumni sekolah tersebut

Friday, November 11, 2016

MBKT GIAT BERSIHKAN KAWASAN TUMPUAN PELANCONG

KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini giat membersihkan kawasan tumpuan pelancong dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengabaikan kebersihan.

Datuk Bandar Mohd Zulkifli Abu Bakar (paling kanan dalam gambar)  berkata walaupun Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman memberi kelonggaran berniaga di hadapan rumah, namun segelintir daripada mereka bersikap keterlaluan hingga berniaga di tepi longkang dan jalan raya.

Katanya ia bukan sahaja mencemarkan imej bandar raya Kuala Terengganu tetapi mampu mengundang pelbagai penyakit ekoran pengabaian kebersihan

Thursday, November 10, 2016

MB PROMOSI TAHUN MELAWAT TERENGGANU 2017 DI LONDON



LONDON: Kerajaan negeri Terengganu telah menyertai rombongan Tourism Malaysia di dalam mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 kepada rakyat Eropah.


Delegasi Terengganu yang dketuai Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman datang ke London sempena World Trade Mart London dalam rancangan menarik pengunjung benua Eropah datang ke negeri Terengganu.

Ahmad Razif sempat berjumpa 10 pengusaha restoran Malaysia di sekitar London serta turut membawa sajian istimewa dari Terengganu iaitu nasi dagang frozen untuk dicuba warga England.

MB juga bertemu dengan pemilik cafe kepunyaan anak Terengganu Kak Ani di Portobello Road.



Beliau turut mengedarkan stiker, brosur pelancongan di lokasi-lokasi strategik di kota London.

Turut serta dalam rombongan itu Timbalan Exco Pelancongan Negeri Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Adun Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Ahmad. 

Wednesday, November 9, 2016

10,000 RAKYAT TERENGGANU PENAGIH DADAH?

KUALA TERENGGANU, 9 Nov (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan hampir 10,000 orang terlibat dalam penagihan dadah di negeri ini, kata Pengarah AADK Terengganu Rohayu Ahmad.

Katanya statistik menunjukkan 2,664 penagih didaftarkan untuk pengawasan AADK di negeri ini namun berdasarkan penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya terdapat seorang penagih berdaftar, ada empat penagih di belakang mereka yang tidak berdaftar.

"Dalam melaksanakan program perangi dadah habis-habisan, kita ada beberapa komponen utama seperti mengadakan rondaan, menyampaikan mesej, poster dan operasi secara bersepadu dan persendirian," katanya

Tuesday, November 8, 2016

JPNT SEDIAKAN PUSAT ALTERNATIF JIKA SEKOLAH DILANDA BANJIR KETIKA SPM

KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengenal pasti semua pusat peperiksaan dan laluan yang berisiko dilanda banjir serta bersedia dengan pusat peperiksaan alternatif bagi memudahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan itu.

Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin berkata semua pejabat pendidikan daerah dan sekolah mempunyai bilik gerakan banjir bagi memudahkan pelarasan dibuat sekiranya berlaku banjir sepanjang tempoh peperiksaan.

"Paling penting, semua sekolah mempunyai data lengkap calon terutama alamat rumah mereka kerana jika laluan ke pusat peperiksaan dinaiki air, kita akan sediakan kenderaan khas untuk memastikan calon tetap hadir duduki peperiksaan.....

Monday, November 7, 2016

KITAR SEMULA JIMATKAN TERENGGANU RM21 JUTA SETAHUN

KUALA TERENGGANU, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu mampu menjimatkan sekurang-kurangnya RM21 juta setahun jika mencapai sasaran mengamalkan kitar semula dalam masa lima tahun lagi.

Timbalan Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri Bazlan Abdul Rahman berkata wang yang berjaya dijimatkan itu boleh digunakan untuk projek pembangunan lain yang lebih diperlukan rakyat.

Menurutnya, ketika ini Terengganu menghasilkan kira-kira 1,400 tan sampah sehari atau sebanyak 504,000 tan setahun dan penghasilan sampah di negeri itu dijangka meningkat pada kadar 20 peratus setahun berikutan pertambahan penduduk dan kegiatan ekonomi yang semakin pesat.

Sunday, November 6, 2016

MADU KELULUT PERLU PIAWAIAN STANDARD

KEMAMAN, 6 Nov (Bernama) -- Satu piawaian seragam untuk produk madu kelulut perlu dibangunkan bagi memastikan keluaran produk itu bermutu tinggi dan tulen bagi menembusi pasaran eksport.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata berdasarkan sambutan semasa kelulut diperkenalkan di China dan Timur Tengah sebelum ini, kementerian itu menyasarkan kelulut akan menjadi produk negara yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

"Untuk itu satu pasukan telah dibentuk melibatkan pelbagai agensi termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Standard Malaysia, Institut Genom Malaysia (MFI) untuk membangunkan standard yang seragam," katanya

Saturday, November 5, 2016

HSR AKAN RANCAKKAN EKONOMI TERENGGANU

KUALA NERUS, 5 Nov (Bernama) -- Rancangan kerajaan untuk membina sistem keretapi laju Kuala Lumpur-Pantai Timur bakal merancakkan kegiatan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Terengganu, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata projek itu kelak akan menarik pelabur ke Terengganu di samping dapat merancakkan sektor pelancongan negeri.

"Saya nampak banyak peluang yang boleh diambil oleh Terengganu berkaitan dengan pembinaan kereta api laju ini," kata beliau.

Friday, November 4, 2016

DATUK DAI NIEZAL SELAMAT DIKEBUMIKAN

KEMAMAN: Jenazah Embong Awang, 72 tahun, datuk kepada Dai Niezal pemenang juara Dai TV3 2016 selamat dikebumikan di tanah perkuburan Air Putih di sini semalam.

Beliau meninggal dunia di Hospital Kemaman pagi semalam kerana kencing manis.  Beliau yang mempunyai 18 orang anak (tetapi 11 masih hidup), 53 orang cucu dan 4 orang cicit.

Semalam wakil Kemaman Kite, Cikgu Mohamad Husoh turut berada di Hospital Kemaman menguruskan jenazah datuk Dai Niezal.





Dua minggu lepas admin Kemaman Kite, Mat Dalam Awang dan rombongan  telah menziarahi beliau yang sedang dirawat di hospital tersebut. Blog TODAY TERENGGANU mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Embong. Al Fatihah.

Thursday, November 3, 2016

ECRL KHABAR GEMBIRA BAGI RAKYAT TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Cadangan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dalam Bajet 2017 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Okt lalu merupakan khabar gembira buat rakyat Terengganu khususnya mereka yang berada di Dungun.

Projek sepanjang 600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bernilai RM55 bilion itu merentasi Terengganu yang pastinya memberi impak positif terhadap sektor ekonomi dan sosial bagi penduduk setempat.

Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam ketika dihubungi Bernama berkata ECRL menyediakan satu lagi kemudahan pengangkutan alternatif kepada rakyat dengan lebih selesa dan masa lebih singkat berbanding perjalanan darat sebelum ini.

Wednesday, November 2, 2016

DUA MINGGU PERIKSA KESELAMATAN HOSPITAL DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 2 Nov (Bernama) -- Semua hospital dan klinik kesihatan di Terengganu diberi tempoh dua minggu melakukan pemeriksaan keselamatan terutama yang melibatkan pendawaian elektrik bagi memastikan ia mematuhi piawaian ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata tempoh itu yang bermula sejak 26 Okt lalu adalah bagi memastikan tahap keselamatan di semua hospital dan klinik kesihatan berada dalam keadaan yang terbaik.

"Memang kita ada buat pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala, namun selepas tragedi di Hospital Sultanah Aminah, Johor baru-baru ini, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan semuanya benar-benar selamat terutama bangunan yang telah lama.

Tuesday, November 1, 2016

105 PAKAR BERKAMPUNG TIGA HARI DI UMT

KUALA NERUS, 1 Nov (Bernama) -- Persidangan Antarabangsa Pembangunan Ekonomi dan Sosial (ICSED) 2016 membuka tirainya dengan tema 'Komuniti Inovatif: Halangan, Trend dan Peluang bagi Transformasi Sosial dan Ekonomi' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Dan Ekonomi (PPPSE) Prof Madya Dr Suriyani Muhamad berkata persidangan tiga hari itu merupakan anjuran pusat pengajian itu dengan kerjasama Bait Al-Amanah.

Beliau berkata objektifnya adalah untuk mengutarakan aspek-aspek kritikal yang menjadi trend, peluang dan halangan dalam mentransformasikan sosial dan ekonomi terutama komuniti B40 di luar bandar
.