KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Keberanian Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd menyelamatkan lima sekeluarga di Pulau Warisan bulan lalu mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin.
Melalui program 'unsung hero', Hanipa meluangkan masa kira-kira sejam berkunjung ke kediaman keluarga Abdul Bari Asyraf untuk bertanya khabar dan menyampaikan plat penghargaan kepada bapanya, Mohd Mustaffa, 66, sebagai mengenang serta menghargai arwah.
Menurut Hanipa, beliau telah lama berhasrat menziarahi keluarga mangsa tetapi baharu berkesempatan ekoran perlu menyelesaikan pelbagai tugasan berkaitan negara.
"Program unsung hero ini adalah inisiatif saya sendiri untuk menghargai jasa dan sumbangan seseorang itu kepada masyarakat. Rakyat perlu tahu apa mereka buat dan ini adalah cara kita untuk uar-uarkan kepada orang ramai di luar sana," katanya kepada pemberita ketika lawatan di Kampung Panji, di sini hari ini.
Menurut Hanipa, nilai murni yang ada pada diri anak muda tersebut perlu dicontohi bagi melahirkan masyarakat yang penyayang dan saling bertanggungjawab.
Abdul Bari Asyraf, 31, terkorban ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang hampir mati lemas selepas Mitsubishi Storm yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Teluk Warisan, pada 9 Feb.
Sebelum ini Abdul Bari turut dikurniakan anugerah Wira Darul Iman oleh kerajaan negeri.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment