Tuesday, March 5, 2019
FUZI MUNGKIN JUAL DURIAN SELEPAS BERSARA
KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan kesediaannya untuk bersara wajib dalam beberapa bulan lagi kerana sudah tiba masa untuk dirinya berbuat demikian.
Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tempoh masa persaraannya itu ketika ini.
“Kami sedar bila tiba masanya untuk bersara, kita kena pergi. Perkara itu bukan masalah, maka hentikan spekulasi yang bukan-bukan.
“Kita akan selesai tanggungjawab yang diberikan dan harapan kita telah jalankan amanah dengan baik susulan tanggungjawab yang telah diserahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras hari ini.
Selain itu juga, Mohamad Fuzi secara berseloroh memberitahu banyak perkara yang boleh dilakukannya apabila pencen nanti antaranya berkahwin dan berniaga.
“Saya masih bujang sekarang jadi mungkin saya akan berkahwin, banyak perkara yang saya boleh lakukan kelak selepas bersara. Jangan risau apa saya hendak lakukan selepas bersara, saya mungkin akan menjual durian di tepi jalan dan kamu (pemberita) mungkin boleh membeli serta mengambil gambar,” ujarnya berseloroh.
Jelas Mohamad Fuzi, selain dirinya malah beberapa pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tiba masa untuk berundur akan menyusul bersama.
“Timbalan saya (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Datuk Seri Mohmad Salleh) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.) akan turut bersara.
“Saya tidak susah hati, gembira sahaja dan berharap telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” jelasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment