Sunday, March 31, 2019

DANA KHAS BIAYAI PENYELIDIKAN UMT



LANGKAWI, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Terengganu setuju mewujudkan dana 'khas' bagi membiayai penyelidikan dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khusus bagi menangani pelbagai isu melibatkan sains marin di Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai kepakaran tujahan dalam bidang sains marin dan maritim perlu terlibat secara langsung bagi manfaat rakyat Terengganu serta negara.

"UMT satu-satunya universiti yang mempunyai kapal penyelidikan RV Discovery yang telah memberi sumbangan besar kepada bidang maritim di Terengganu dan negara dan kita mahu ia diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Kita hargai inisiatif yang dijalankan oleh UMT ini dan bagi memastikan ia terus berkembang hingga dikenali di peringkat antarabangsa...kita bersetuju bekerjasama dengan UMT bagi mencari dana khas untuk membiayai penyelidikan khusus melibatkan isu-isu di negeri ini seperti hakisan pantai dengan pakar-pakar dalam bidang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat booth UMT selepas perasmian Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata, dana khas itu adalah bagi membangunkan pelbagai penyelidikan yang akan menjadi 'flagship' kepada negeri Terengganu bukan sahaja dalam bidang sains, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan.

"Sebagai contoh mungkin akan diwujudkan muzium akuarium yang akan memberi peluang pekerjaan kepada graduan UMT dalam bidang pengurusan perikanan sekali gus menarik kedatangan pelancongan ke negeri ini.

"Kita juga berharap kerjasama itu juga dapat menyediakan prasarana yang diperlukan seperti tapak dan sumbangan lain yang diperlukan agar UMT menjadi tempat rujukan dan penyelesaian kepada isu-isu melibatkan rakyat dan negeri Terengganu," katanya.

Pameran dwitahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu menerima penyertaan delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan serta komersial.

-- BERNAMA

Saturday, March 30, 2019

PELUANG KEDUA UNTUK RAWAT RANTAU

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Lebih tiga dekad dalam bidang perubatan serta membantu mereka yang memerlukan sudah menjadi darah daging calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Malah pakar bius Pusat Perubatan Nilai berusia 60 tahun berkenaan aktif sebagai doktor sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara konflik termasuk di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011.

Baginya, tiada apa yang lebih memuaskan hati daripada dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan peluang bertanding sebagai wakil rakyat akan memberinya satu platform baharu untuk meluaskan perkhidmatannya di luar bidang perubatan.

Thursday, March 28, 2019

TAK RAMAI USAHAWAN YPU DAPAT SIJIL HALAL JAKIM

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Hanya 170 daripada 2,760 usahawan yang mendaftar dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah memperoleh pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setakat ini, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah itu terlalu kecil dan agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

"Mungkin usahawan kita masih berada dalam 'zon selesa' kerana tiada desakan yang kuat daripada pengguna di Terengganu, tambahan pula kebanyakan usahawan di sini terutama dalam produk makanan adalah orang Islam dan keadaan ini sangat berbeza dengan negeri lain terutama di sebelah Pantai Barat.

Wednesday, March 27, 2019

MIERA AKUI IKUT EMOSI MUAT DALAM FB KES MUHAMMAD ADIB

SHAH ALAM, 27 Mac (Bernama) -- "Saya terlalu ikut emosi tanpa ketahui fakta sebenar kejadian," kata jururawat Institut Jantung Negara (IJN), pemilik akaun Facebook dengan nama Cik Miera, yang memuat komen di laman sosial itu mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, yang berkhidmat di bilik pembedahan IJN selama enam tahun berkata beliau memuat naik komen kontroversi itu pada 22 Mac lepas tanpa mengetahui fakta sebenar.

"Saya emosi buat kenyataan ini kerana semasa Adib di sana (IJN) saya lihat keluarganya menangis. Saya juga nampak pihak bomba tidur luar Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN setiap hari atas kerusi menunggu. Saya rasa dalam keadaan kekeluargaan," katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Zafran Rahim Hamzah semasa prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner hari ini.

Tuesday, March 26, 2019

MAHATHIR TERHARU RASMI LIMA EDISI KE 15

LANGKAWI, 26 Mac (Bernama) -- Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-15 di sini hari ini, turut menjadi detik-detik nostalgia buat Perdana Menteri.

Ia mengimbau kembali peristiwa 28 tahun yang lalu pada 1991, ketika beliau melancarkan edisi pertama pameran itu yang berkembang menjadi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Beliau tidak menyembunyikan perasaannya: “Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, " katanya dalam ucapan perasmian LIMA’19.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia ketika itu. LIMA terakhir yang dirasmikannya ialah pada 2003 sebelum meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Hari ini, 16 tahun kemudian, beliau melancarkan LIMA sekali lagi, dan sebagai perdana menteri ketujuh.

Dr Mahathir yang sinonim dengan LIMA, bangga melihat LIMA masih dapat menarik peserta maritim dan aeroangkasa antarabangsa serta perniagaan dari seluruh pelosok dunia.

Pada 1991, sebanyak 172 negara dari 20 negara mengambil bahagian pada LIMA pertama.

Hari ini, pada edisi ke-15, menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa.

Semua produk dan perkhidmatan mereka akan dipamerkan sepanjang pameran lima hari, sehingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

LIMA`19 terdiri daripada 60 peratus pertahanan dan 40 peratus komersial dianjurkan secara bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi-sgensi di bawahnya dalam menganjurkan seminar industri, mesyuarat perniagaan dan perbincangan untuk menggalakkan penglibatan perniagaan serta menampilkan inisiatif kerajaan terhadap pembangunan industri kemudahan perdagangan.

-- BERNAMA

Saturday, March 23, 2019

PRK RANTAU IBU SEGALA PRK

SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai ibu kepada semua PRK kerana bakal berdepan dengan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.

"PRK ini akan tarik perhatian dari semua negara dan saya berani cakap ini akan jadi PRK paling penting dan signifikan berbanding PRK lain sebelum ini.

Friday, March 22, 2019

MASUK BERSATU DIBUAT SECARA BERAMAI RAMAI

BEAUFORT, 22 Mac (Bernama) -- Keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat secara beramai-ramai dan bukan atas faktor individu, kata Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Menurut beliau ia keputusan bersama dan difikir sedalam-dalamnya yang melalui pelbagai proses untuk kebaikan negara, Sabah dan kawasan diwakili.

"Kami sepakat membuat keputusan ini dan bukan persoalan perjuangan individu, selamatkan diri atau ada agenda peribadi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Klias di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika membahaskan usul di Parlimen semalam bahawa tindakan golongan yang melompat parti dianggap tidak mempunyai kekuatan, tiada perjuangan selain tidak mempunyai maruah.

Lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk Azizah antara enam wakil rakyat menyertai Bersatu dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kad keahlian parti kepada mereka di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 15 Mac lepas.

Selain Azizah lima wakil rakyat bebas berkenaan ialah Anggota Parlimen Kudat Datuk Abd Rahim Bakri; Anggota Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris, Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor dan ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Selain mereka, turut menyertai Bersatu ialah dua lagi Senator, iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Azizah berkata tindakan melompat parti sudah berlaku dalam politik di negara ini termasuk di Sabah antaranya ketika Barisan Nasional (BN) dapat menawan pemerintahan Sabah pada 1994 apabila dua wakil rakyat dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias (Datuk Lajim Ukin) dan DUN Kemabong (Datuk Rubin Balang) dari Parti Bersatu Sabah menyertai BN.

Menurutnya perjuangan membangunkan kawasan luar bandar masih perlu diperjuangkan di negara ini khususnya di Sabah.

Justeru, beliau senada kenyataan Ronald bahawa kenyataan Bung Moktar itu sebagai bersifat politik.

Thursday, March 21, 2019

BN SABAH TERBENTUK HASIL LOMPATAN ADUN PBS

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini membidas dakwaan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan anggota parlimen melompat parti sebagai tidak bermaruah dan tiada pegangan.

Menganggap dakwaan yang dikeluarkan itu hanyalah bersifat politik, Kiandee berkata Bung Moktar sebenarnya telah maklum akan sejarah UMNO di Sabah yang terbentuk hasil daripada mereka yang turut beralih parti.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dipimpin UMNO pada 1994, adalah mewarisi daripada mereka yang beralih parti daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada UMNO dan menyokong BN sehingga terbentuk Kerajaan UMNO-BN pada 1994

Wednesday, March 20, 2019

PELOMPAT PARTI TIADA MARUAH



KUALA LUMPUR 20 Mac – Golongan lompat parti tidak akan memberi apa-apa keistimewaan kepada parti yang baharu disertai serta tidak memberi apa-apa kesan kepada parti yang ditinggalkan.



Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, golongan seperti ini dianggap tidak mempunyai perjuangan, tiada kekuatan selain tidak mempunyai maruah.


Beliau malah memberitahu, lompat parti hanya terkenal di negara ini sebaliknya hal itu jarang berlaku di luar negara.

“Pemimpin seperti ini yang tidak ada pegangan dan kekuatan mereka. Mereka hilang maruah. Dalam perjuangan ini, banyak barang boleh kita jual, banyak barang boleh kita gadai. Orang tua saya kata, jangan sesekali kita gadai maruah kita.

“Sebetulnya, mereka ini seperti melukut di tepi gantang. Ada pun tidak nampak, tidak ada lagi baik. Jadi, pada saya, biarlah rakyat yang menentukan untung nasib mereka,” katanya sewaktu membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.


Tuesday, March 19, 2019

MANDIKAN KAMBING SETIAP HARI HADAPI CUACA PANAS

KULIM, 19 Mac (Bernama -- Umum mengetahui kambing termasuk dalam kalangan haiwan yang takut air dan tidak suka mandi, namun seorang penternak di Kampung Sungai Seluang di sini terpaksa memandikan haiwan peliharaannya setiap hari ekoran cuaca panas yang membuatkan kambingnya itu kelihatan kurang bermaya.

Muhammad Iqbal Ahmad, 25, yang mula menternak kambing sejak tiga tahun lalu itu berkata ini kali pertama cuaca panas memberi kesan kepada ternakannya.

"Selalunya saya mandikan kambing pada waktu tengahari antara jam 12 atau pun 1 tengahari, kerana waktu ini cuaca memang panas.

Monday, March 18, 2019

UMNO JADI PEMBANGKANG MESRA KERAJAAN



KOTA BHARU, 18 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membayangkan UMNO mungkin menjadi pembangkang yang mesra kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas parti itu mengesahkan kerjasama dengan PAS baru-baru ini.

Mohd Amar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata ini berikutan tiada sebarang perjanjian untuk mengadakan kerajaan campuran dengan UMNO walaupun kedua-dua pihak dilihat berbaik-baik.

"UMNO masih pembangkang dan kita (PAS) masih kerajaan. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diwakili ADUN Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed) pun pembangkang juga. Kita tak ada kerajaan campuran,” katanya kepada pemberita selepas Isitiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Kelantan ke-14 yang dirasmikan Sultan Muhammad V di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengulangi setakat ini kerjasama kedua-dua parti hanya merangkumi pilihan raya kecil selain mengukuhkan blok pembangkang di Parlimen dan negara amnya.

"(Perbincangan) sampai ke peringkat nak bergabung, tak ada (setakat ini). Yang akan datang kita tak tahu lagi sebab pilihan raya umum pun tak tahu bila, masa masih panjang lagi," katanya.

Ditanya mengenai bayaran royalti oleh kerajaan persekutuan, Mohd Amar berkata kes berkaitan penarikan balik saman yang dikemukakan kerajaan negeri beberapa tahun lepas dijangka selesai pada 17 April depan.

"Jadi kita harap, insya-Allah April ini kita dapat bayaran royalti. Jumlah bayaran kita tak bincang lagi cuma kita minta royalti lima peratus (sebagaimana perjanjian asal)," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, March 17, 2019

KEBERANIAN ABDUL BARI DAPAT PERHATIAN HANIPA

KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Keberanian Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd menyelamatkan lima sekeluarga di Pulau Warisan bulan lalu mendapat perhatian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin.

Melalui program 'unsung hero', Hanipa meluangkan masa kira-kira sejam berkunjung ke kediaman keluarga Abdul Bari Asyraf untuk bertanya khabar dan menyampaikan plat penghargaan kepada bapanya, Mohd Mustaffa, 66, sebagai mengenang serta menghargai arwah.

Menurut Hanipa, beliau telah lama berhasrat menziarahi keluarga mangsa tetapi baharu berkesempatan ekoran perlu menyelesaikan pelbagai tugasan berkaitan negara.

"Program unsung hero ini adalah inisiatif saya sendiri untuk menghargai jasa dan sumbangan seseorang itu kepada masyarakat. Rakyat perlu tahu apa mereka buat dan ini adalah cara kita untuk uar-uarkan kepada orang ramai di luar sana," katanya kepada pemberita ketika lawatan di Kampung Panji, di sini hari ini.

Menurut Hanipa, nilai murni yang ada pada diri anak muda tersebut perlu dicontohi bagi melahirkan masyarakat yang penyayang dan saling bertanggungjawab.

Abdul Bari Asyraf, 31, terkorban ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga yang hampir mati lemas selepas Mitsubishi Storm yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Teluk Warisan, pada 9 Feb.

Sebelum ini Abdul Bari turut dikurniakan anugerah Wira Darul Iman oleh kerajaan negeri.

-- BERNAMA

Saturday, March 16, 2019

PEMEGANG SIJIL PALSU DILANTIK PENGERUSI PH PERLIS

KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Perlis dan Pakatan Harapan (PH) Perlis buat sementara waktu.

Beliau menggantikan Amier Hassan yang ‘direhatkan’ daripada menyandang jawatan dalam parti di peringkat bahagian dan negeri. Langkah serupa turut melibatkan bekas Setiausaha Bersatu negeri, Wan Saiful Wan Jan.

Mereka, bagaimanapun, masih boleh menjadi Ketua Cawangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

Friday, March 15, 2019

PANJAT TEMBOK MASJID SELAMATKAN DIRI

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Seorang remaja Malaysia terpaksa memanjat tembok masjid dan berlari sejauh hampir 1.5 kilometer untuk menyelamatkan diri dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Idris Khairudin, 14, pergi ke Masjid Al Noor untuk menunaikan solat Jumaat dan tidak seperti selalu, remaja itu sering bersolat di bahagian dalam masjid tetapi hari ini memilih solat di ruang belakang.

Dalam tempoh menunggu untuk berjemaah sebelum solat Jumaat, tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan dan cermin pecah serta jeritan menyuruh jemaah lari.

“Tanpa berfikir panjang, Idris pantas meluru keluar, memanjat tembok masjid, berselindung seketika sebelum berlari menyelamatkan diri,” kata kakaknya Nur Balqis Khairudin, 20, yang menceritakan pengalaman adiknya itu.

Nur Balqis, penuntut Hagley College di Christchurch, berkata demikian kepada Bernama ketika dihubungi di sana.

“Idris hubungi saya sambil berlari tetapi dia tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Lalu saya suruh dia lari ke Hagley College.

“Memang panik dan risau sangat fikirkan dia. Ketika itu saya dan seorang lagi adik Nur Zahirah berada di rumah dan tak ada pengangkutan. Saya terpaksa meminta bantuan orang awam tumpangkan kami ke kolej untuk mengambil Idris. Lepas tu kami terus bawa Idris pulang dan hubungi mama,” kata Nur Balqis.

Menurut Nur Balqis, beliau dan dua adiknya kini berada dalam keadaan selamat, terkawal dan berada di rumah mereka yang terletak kira-kira 3km dari tempat kejadian.

Idris merupakan pelajar di Hilmorton High School di Christchurch manakala Nur Zahiran belajar di kolej yang sama dengan kakaknya.

Sementara itu, ibu mereka, Zarita Abdul Razak, 49 yang berada di Nibong Tebal, Pulau Pinang, bersyukur sebaik dihubungi tiga anaknya menerusi panggilan video.

Menurut Zarita, beliau berasa tidak sedap hati sebaik mendapat mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada Nur Balqis bertulis ‘Ma, can I call you’ (Boleh saya panggil anda).

Zarita, seorang suri rumah, menarik nafas lega dan bersyukur sebaik sahaja selesai mendapat panggilan video tersebut dan bertambah tenang apabila mengetahui ketiga-tiga anaknya itu dalam keadaan selamat di dalam rumah mereka.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu, tiga anak saya ada di sana sedangkan kita di sini. Lemah lutut rasanya. Syukur mereka selamat namun kami tetap bimbang dan bersedih apabila mengetahui ada rakyat Malaysia yang tercedera,” katanya.

Zarita berkata suaminya, Dr Khairudin Mohamed, 52, pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik di Universiti Sains Malaysia Nibong Tebal, baru sahaja pulang ke Malaysia hujung bulan lepas sebaik selesai urusan kerja serta menguruskan pengajian anak-anak mereka.

Sekurang-kurang 49 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera dalam serangan keganasan di dua masjid di bandaraya Christchurch.

-- BERNAMA

Thursday, March 14, 2019

SEMUA PIHAK DIMINTA HENTIKAN SPEKULASI KERAJAAN CAMPURAN

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Semua pihak termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang di negeri ini diminta menghentikan spekulasi kononnya kemungkinan berlaku kerajaan campuran antara Barisan Nasional dan PAS di Perak, kata Menteri Besar Perak.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata semua pihak seharusnya tidak berterusan bercakap mengenai perkara itu, sebaliknya memberi perhatian kepada usaha untuk membangunkan negeri dan berkhidmat kepada rakyat.

"Tolong la berhenti (cerita) politicking, sekarang ini masa kita buat kerja, fokus kepada tanggungjawab hakiki kita sekarang. Cerita ini memang seronok dimainkan di media sosial tapi tidak bawa apa-apa keuntungan kepada usaha untuk bangunkan negeri dan beri perkhidmatan kepada rakyat,”

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai spekulasi kononnya ADUN PH akan melompat menyertai pembangkang, yang masih hangat diperkatakan.

Wednesday, March 13, 2019

JANGAN AMBILALIH KERAJAAN MELALUI JALAN BELAKANG

KOTA BHARU, 13 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpandangan tidak wajar untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui “jalan belakang” dan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan harus dibiarkan memerintah sehingga tamat penggal.

"Kalau tanya saya secara peribadi biarlah berjalan apa yang ada hari ini. Biar kekal kerajaan Pakatan Harapan (di Perak dan Kedah)... biar mereka memerintah sehingga habis penggal. Bukan cara kita ambil sesebuah kerajaan di tengah jalan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas cadangan kerajaan penyatuan ummah (UG) oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kerjasama di antara PAS dan UMNO.

Tuesday, March 12, 2019

DINAFI HAK BERTANDING PUNCA DR S STRERAM DIPILIH CALON

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram dipilih bertanding semula pada PRK tersebut berikutan dinafikan hak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata beliau berpegang kepada prinsip keadilan iaitu calon yang layak harus dibenarkan bertanding untuk menjadi wakil rakyat.

“Kita dapati bahawa calon dulu adalah orang tertentu kerana penipuan maka dia kalah. Sekarang didapati (keputusan) PRU di kawasan itu dibatalkan dan diadakan PRK untuk menentukan siapa sebenarnya yang patut jadi wakil rakyat di situ. Jadi orang yang lama diletakkan di situ.

"Kita pegang kepada prinsip, takkan dia lawan dengan bekas Menteri Besar, calon PH tidak besar macam calon BN. Kita terpaksa juga letak calon yang lama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Dr Streram gagal menjelaskan hutang berkaitan dengan PRK Rantau, Dr Mahathir berkata selagi calon tidak bankrap mereka dibenarkan untuk bertanding meskipun mempunyai hutang.

"Kalau calon itu melanggar undang-undang dan tidak layak jadi calon, kita tidak akan letak dia. Tetapi setakat yang kita tahu walaupun ada hutang dia masih boleh jadi calon, lainlah kalau bankrap,” katanya.

Dr Streram tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Berikutan itu, pada 23 Mei tahun lepas, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon pilihan raya DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Susulan itu, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Nov memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta-merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata gabungan tenaga dan jentera PH yang kuat bakal memberi saingan yang sengit pada PRK Rantau 13 April ini.

“Kita akui perjalanan ke Rantau itu mungkin menghadapi satu cabaran yang besar sekiranya UMNO meletakkan calon Datuk Seri Mohamad Hasan kerana sudah pastilah beliau mempunyai kelebihan memandangkan statusnya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan selaku wakil rakyat di kawasan tersebut (sebelum ini),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu perkauman bakal dibangkitkan oleh pihak pembangkang pada kempen PRK Rantau, Azmin berkata ia merupakan survival parti itu.

“PH sentiasa berpegang kepada prinsip yang mahukan semua rakyat negara ini mendapat nikmat dari kemakmuran dan pembangunan negara.

“Kita akan berikan penjelasan beberapa inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan dan kita berharap rakyat dapat menerimanya,” katanya.

--BERNAMA

Monday, March 11, 2019

SEMAKMULE SENARAIKAN 92,000 AKAUN BANK PENIPU

TAWAU, 11 Mac (Bernama) -- Orang awam disaran mengunjungi portal SemakMule bagi menyemak akaun bank melibatkan urus niaga dalam talian bagi mengelak ditipu sebelum melakukan transaksi pembayaran.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Victor Sanjos berkata SemakMule itu merekodkan lebih 92,000 akaun bank yang didakwa pernah melakukan kegiatan jenayah menipu.

"Kesemua akaun ini wujud dan pernah direkodkan jenayah komersil dan rekod itu berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa,” katanya sebagai seorang daripada penceramah pada kempen taklimat kesedaran pencegahan jenayah siber dan anti-pemerdagangan orang peringkat Sabah di sini, hari ini.

Sunday, March 10, 2019

MOWGLI MALAYSIA TERJATUH DARI KERBAU



KUALA TERENGGANU, 9 Mac (Bernama) -- Muhammad Syukur Khamis, 14, yang digelar 'Kampung Boy' dan 'Mowgli Malaysia' dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam ini ekoran muntah-muntah setelah terjatuh dari kerbau 7 pagi tadi.

Bapanya, Khamis Jusoh, 63, berkata pada awalnya, anak bongsu lapan beradik itu hanya luka di bahagian bahu.

"Muhammad Syukur tidak pula mengadu sakit dan terus aktif sepanjang hari seperti biasa. Malah, beliau sempat mengikut abang-abangnya pergi memancing ikan kira-kira 3.30 petang tadi.

"Pulang memancing, mereka juga sempat singgah di kedai untuk menikmati roti tempayan, namun dalam perjalanan pulang, Muhammad Syukur ada mengadu loya dan terus muntah-muntah. Oleh kerana risau ia simptom akibat insiden terjatuh itu, beliau dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama lewat malam ini.

Menurut Khamis, Muhammad Syukur yang sejak kecil telah biasa bersama lebih 100 ekor kerbau peliharaannya tidak pernah terjatuh sebelum ini dan kejadian itu adalah pertama kali berlaku.

Insiden itu berlaku ketika sesi fotografi, untuk merakamkan aksinya melompat dari belakang seekor kerbau ke seekor kerbau lain.

Sementara itu, abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 29, yang membawa beliau ke HSNZ berkata adiknya itu terpaksa bermalam di wad hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Setakat ni, Syukur baik-baik sahaja, cuma doktor mahu lakukan pemeriksaan lebih teliti untuk memastikan insiden jatuh itu tidak memberi kesan kepadanya," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, March 9, 2019

JEMPUTAN KE MAJLIS PELANCARAN BUKU PADA 23 APRIL 2019

Adalah saya dengan segala hormatnya menjemput tan sri/dato seri/dato/datin/tuan/puan dan semua pembaca blog ini ke majlis pelancaran buku autobiografi bekas editor bahasa malaysia free malaysia today (FMT), Mohd Zabidi Saidi pada 23 april 2019 hari selasa jam 11.30 pagi di Hotel KL International, Chow Kit oleh YB Dato Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan.

Sila sahkan kehadiran tan sri/dato seri/dato/datin/tuan/puan kepada zabidi 01115726582. Orang yang mengesahkan kehadiran sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan. Masuk adalah percuma serta dapat buku percuma.

Friday, March 8, 2019

LEBIH BAIK MCA DAN MIC KELUAR DARI BN



KUALA LUMPUR : MCA dan MIC kekal bersama Barisan Nasional (BN) ekoran tiada sebarang konsensus dicapai mengenai pembubaran BN semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung hari ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi mesyuarat tersebut MCA ada membawakan resolusi mengenai pembubaran BN namun tiada konsensus dicapai mengenai perkara berkenaan.

Namun begitu jelasnya, BN telah mengambil berat tentang satu lagi resolusi yang dibawa oleh MCA iaitu untuk sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menstruktur semula gerak kerja BN bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Saya memang tahu ia (pembubaran) tidak akan tercapai kerana saya sendiri tidak bersetuju malah UMNO memang tidak mahu melihat BN dibubarkan.

"MCA punya resolusi adalah untuk membubar dan menyelaras semula BN, kita tiada konsensus mengenai pembubaran tetapi kita bersetuju untuk menyelaras semula BN mengikut kehendak semasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran


Thursday, March 7, 2019

RANTAU TAK SAMA DENGAN SEMENYIH



SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 13 April depan memandangkan demografi pengundi di kawasan itu tidak sama dengan DUN Semenyih, Selangor.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dengan strategi yang telah dirangka berserta calon boleh menang, PH mampu menawan kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.

“Kita kena lihat dalam politik ini kita tidak bergantung kepada persepsi sahaja tapi kita kena lihat demografi dan geografi di sesuatu tempat. Kita tahu pengundi-pengundi di sesuatu tempat itu tidak sama bilangannya, di samping itu juga kita melihat potensi di Rantau adalah tidak sama di Semenyih," katanya.

Wednesday, March 6, 2019

BIAR MESYUARAT BN JUMAAT INI BUAT KEPUTUSAN

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

Mohamed Nazri turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN Jumaat ini setelah parti-parti komponen MCA dan MIC mengugut untuk tidak akan menghadirinya sekiranya beliau hadir.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan, saya tidak mahu orang melihat saya...sebagai telah mengabaikan BN, biarlah mesyuarat itu yang memutuskan. Saya dilantik (sebagai setiausaha agung) dan saya boleh dibuang (jawatan ditarik balik).

Tuesday, March 5, 2019

FUZI MUNGKIN JUAL DURIAN SELEPAS BERSARA



KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan kesediaannya untuk bersara wajib dalam beberapa bulan lagi kerana sudah tiba masa untuk dirinya berbuat demikian.

Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tempoh masa persaraannya itu ketika ini.


“Kami sedar bila tiba masanya untuk bersara, kita kena pergi. Perkara itu bukan masalah, maka hentikan spekulasi yang bukan-bukan.

“Kita akan selesai tanggungjawab yang diberikan dan harapan kita telah jalankan amanah dengan baik susulan tanggungjawab yang telah diserahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras hari ini.

Selain itu juga, Mohamad Fuzi secara berseloroh memberitahu banyak perkara yang boleh dilakukannya apabila pencen nanti antaranya berkahwin dan berniaga.

“Saya masih bujang sekarang jadi mungkin saya akan berkahwin, banyak perkara yang saya boleh lakukan kelak selepas bersara. Jangan risau apa saya hendak lakukan selepas bersara, saya mungkin akan menjual durian di tepi jalan dan kamu (pemberita) mungkin boleh membeli serta mengambil gambar,” ujarnya berseloroh.

Jelas Mohamad Fuzi, selain dirinya malah beberapa pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tiba masa untuk berundur akan menyusul bersama.

“Timbalan saya (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Datuk Seri Mohmad Salleh) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.) akan turut bersara.

“Saya tidak susah hati, gembira sahaja dan berharap telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” jelasnya.


Monday, March 4, 2019

KARNIVAL TEKUN KELANTAN TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Karnival Usahawan peringkat negeri Kelantan anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang dijadualkan dari 7 sehingga 9 Mac ini di Tanah Merah, Kelantan, menerima sambutan luar biasa apabila kira-kira 190 usahawan sudah mengesahkan penyertaan.

Pengerusi TEKUN Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah itu melebihi sasaran awal penyertaan 100 usahawan.

“Karnival ini melibatkan penyertaan 190 usahawan Tekun dalam pelbagai sektor industri, menjadi platform terbaik bagi usahawan bumiputera untuk meneroka peluang pasaran selain mendapatkan informasi perniagaan dan pembiayaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata karnival usahawan itu merupakan inisiatif TEKUN bagi mewujudkan komuniti dan jaringan usahawan bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 48 agensi kerajaan akan turut serta dalam karnival yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 dan 2, Tanah Merah, Kelantan yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah seminar usahawan, forum agama, ‘business matching’ dan ‘business talk’ selain persembahan artis serta penampilan istimewa karekter kartun kanak-kanak, Omar dan Hana.

Sehingga Feb lepas, TEKUN memberikan pinjaman kepada 423,981 usahawan, mencatatkan jumlah RM5.324 billion.

-- BERNAMA

Sunday, March 3, 2019

TAPAK PASAR PAYANG TETAP KEKAL

SETIU, 3 Mac (Bernama) -- Nasib peniaga asal di Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang akan terus terbela dan diberi keutamaan apabila bangunan baharu siap kelak, dua tahun lagi, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Beliau berjanji kerajaan negeri tidak akan melakukan perubahan begitu sahaja tanpa persediaan malah peniaga akan ditempatkan di bangunan sementara yang tidak jauh dari lokasi asal.

“Bukan kita robohkan sebegitu (sewenang-wenangnya). Tapak Pasar Payang itu akan kekal. Apa yang penting kita ingin memberi nafas baharu yang berperanan bukan sekadar jual beli tetapi memaparkan unsur-unsur budaya dan tradisi serta jati diri rakyat Terengganu.

Katakanlah mereka ini (peniaga) ada 100 orang...mereka ini jugalah yang akan berniaga di tempat sementara dan apabila siap Pasar Payang nanti mereka akan berniaga di situ semula. Nama mereka ini tidak akan dibuang daripada senarai peniaga asal pasar tersebut,” katanya.

Saturday, March 2, 2019

SUARA PEMBANGKANG BERTAMBAH DI DUN SELANGOR

SHAH ALAM, 2 Mac (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diyakini dapat menguatkan lagi suara pembangkang memperjuangkan kepentingan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang DUN Selangor Rizam Ismail yang berterima kasih kepada rakyat Semenyih dengan menyifatkan keputusan PRK itu mengekalkan momentum kemenangan BN sejak PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya, dengan penambahan seorang lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (daripada parti pembangkang) di DUN Selangor, maka suara pembangkang akan semakin kuat didengari,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemenangan ini menjadikan pembangkang mempunyai enam kerusi dengan lima bagi Barisan Nasional dan PAS (satu kerusi). Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kawasan DUN.

BN menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

-- BERNAMA

Friday, March 1, 2019

BN DIJANGKA MENANG TIPIS?

SEMENYIH: Calon BN, Zakaria Hanafi dijangka menang tipis pada PRK Semenyih hari ini. Selepas dua minggu berkempen, para pengundi Semenyih nampaknya memberi sambutan luar biasa kepada calon BN berbanding tiga calon lain, calon PH, Aiman Zainali, calon PSM, Nik Aziz dan calon Bebas, Uncle Kentang.

Para pengundi nampaknya kecewa dengan  kerajaan PH yang dianggap kerajaan mandul oleh pemimpin Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Selepas sembilan bulan memerintah, PH gagal menghapuskan tol dan menghapuskan bayaran PTPTN yang dijanjikan dalam manifesto PH.

Calon BN dikatakan lebih berpengalaman dan matang berbanding dengan calon PH yang tidak pandai berkomunikasi. Yang paling lucu menang malam ini, esok beliau akan selesai semua masalah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana wakil rakyat.

Dua penggal BN memenangi DUN Semenyih melalui Datuk Johan Abdul Aziz pada PRU 2008 dan 2013 tetapi Johan tewas kepada calon PH, Bakhtiar pada PRU 2018. Dapatkah BN menebus kembali kekalahan 2018? Sama sama kita tunggu keputusan PRK Semenyih malam ini.