Sunday, February 5, 2017

TERENGGANU HARGAI PERANAN MEDIA TANGKIS TOHMAHAN

KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Peranan media dalam menyebarkan kefahaman dan memberi penjelasan tepat mengenai sesuatu isu mampu menangkis pelbagai tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata banyak isu dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu terutama menjelang pilihan raya umum.

"Jika nak diikutkan sejak dulu lagi, apa sahaja pembangunan yang kita buat pasti ada sahaja yang membangkang, namun sekarang kita lihat mereka yang membangkang dulu turut menikmati kemudahan hasil pembangunan yang dijalankan kerajaan.

"Namun, saya sangat berterima kasih atas hubungan baik yang terjalin antara media dan kerajaan negeri selama ini kerana banyak penjelasan diberi kepada rakyat mengenai isu-isu tersebut yang akhirnya dapat memberi mereka kefahaman yang sangat jelas dan tidak lagi terpengaruh dengan tohmahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama media di Seri Iman, kediaman rasmi Menteri Besar malam tadi yang dihadiri lebih 150 pengamal media dari pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga sangat menghargai peranan media dalam menyampaikan berita dan maklumat pantas mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Laporan tepat dan pantas ini sangat penting bagi membolehkan kesemua mangsa banjir dibantu sewajarnya walaupun pada masa sama media terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk menjalankan tugas mereka.

"Peranan media dalam penganjuran Visit Beautiful Terengganu 2017 tahun ini juga diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan negeri yang secara tidak langsung memberi banyak manfaat kepada rakyat dalam ekonomi setempat.

"Saya berharap agar semangat ini akan kekal berterusan dan jalinan baik antara media bersama kerajaan negeri membawa lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment