Tuesday, February 14, 2017

KERAJAAN LANCAR PROGRAM TERENGGANUKU



KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri telah melancarkan program TerengganuKu untuk membantu golongan muda di bawah umur 40 tahun yang berumahtangga dan kakitangan awam Negeri memiliki rumah pertama mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dalam program ini kerajaan negeri memberi subsidi kepada rakyat sebanyak RM40,000 bagi setiap unit rumah di pangsapuri Ladang Tok Pelam Kuala Terengganu dan Pangsapuri Bandar Baru Kerteh Kemaman.


Tambahnya, ini adalah inisiatif kerajaan dalam menyediakan keperluan perumahan untuk rakyat bagi memudahkan memiliki kediaman serta mengurangkan beban mereka melalui Terengganuku.

‘Pangsapuri Ladang Tok Pelam yang berada di tempat strategik seperti mana yang dijanjikan untuk kita menyediakan peluang kepada orang muda di bawah umur 40 tahun yang mempunyai keluarga untuk memiliki rumah’.

‘Pangsapuri itu mempunyai lebih 200 unit dan sebuah rumah ada 3 bilik ia memang sesuai dimiliki oleh mereka dan pada masa yang sama kita nak membantu orang muda mempunyai aset sendiri terutamanya di kawasan bernilai tinggi yang mempunyai prospek untuk harga meningkat pada masa akan datang’.

‘Kita menawarkan kepada orang muda yang 40 tahun ke bawah yang mempunyai kemudahan untuk mendapatkan pinjaman perumahan untuk diberi subsidi RM40 ribu dengan nilai rumah yang ada sekarang’.

‘Nilai rumah RM190 ribu selepas subsidi menjadi RM150 ribu sahaja dan ini adalah sumbangan kerajaan negeri untuk rakyat’.

‘Kedua Pangsapuri Bandar Baru Kerteh juga kurangkan RM40 ribu dan akan kita melihat lagi beberapa rumah yang siap dibina di bawah ACDC juga kita akan kenal pasti untuk kita berikan tawaran ini’ katanya selepas Majlis Ucap Negeri 2017 di Wisma Darul Iman pagi semalam
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, Exco-Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Harga asal rumah Pangsapuri Ladang Tok Pelam adalah RM225 ribu hingga RM248 ribu seunit bergantung kepada aras dan pemandangan manakala pangsapuri Kerteh berharga RM197 ribu menjadi RM157 ribu selepas subsidi.

Ahmad Razif memberitahu kerajaan negeri juga bercadang membina Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di lokasi kuarters kerajaan Batu Buruk untuk kemudahan kakitangan kerajaan.

No comments:

Post a Comment