Friday, February 10, 2017

ECER DAN UNISZA TINGKAT PENDIDIKAN ORANG ASLI DI TERENGGANU

KEMAMAN, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengambil langkah pro-aktif bergabung dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Orang Asli di negeri ini.

Pengurus Besar ECER Ahmad Fuad Sulaiman berkata seminar 'Move The Heart' melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Berua dari Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di sini yang membabitkan 59 pelajar Orang Asli serta ibu bapa mereka.

"Seminar itu diadakan bagi mengukuhkan kefahaman dan kesedaran tentang per
anan ibu bapa dan guru dalam meningkatkan potensi akademik dan sahsiah pelajar daripada kalangan Orang Asli.

"Selain itu, ia dapat meningkatkan motivasi dan semangat ibu bapa dan guru dalam usaha memajukan diri pelajar melalui program Empower ECER," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada majlis penutup Seminar Move The Heart yang disempurnakan Timbalan Exco Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Terengganu Nik Man Nik Ya.

Sementara itu, Wan Abdul Hakim dalam ucapannya berkata seminar itu diharap dapat meningkatkan pencapaian akademik yang lebih baik dalam kalangan peserta.

"Usaha ini adalah selaras dengan Model Ekonomi Baharu (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara yang bertujuan mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi di samping merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dan bandar," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment